ALHAMDULILLAH segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, tanggal 17 haribulan tujuh, 2017 menyaksikan satu detik yang amat bersejarah bagi negara Malaysia kita yang tercinta.

Hari ini kita menyaksikan pembukaan rasmi laluan MRT Sungai Buloh - Kajang. Satu lonjakan berganda, the real Kajang Move, yang pasti akan membawa perubahan ke dalam kehidupan warga kota dan juga rakyat Malaysia dan juga mereka yang melawat sebagai pelancong.

Saya masih ingat lagi baru sahaja tujuh bulan lalu malah tepat tujuh bulan lalu, 16 September 2016 kita berkumpul di Stesen Kwasa Damansara untuk melancarkan fasa pertama MRT laluan Sungai Buloh-Kajang. Semasa majlis tersebut, saya telah membuat komitmen kepada rakyat bahawa kita akan menyiapkan keseluruhan laluan MRT yang dibanggakan di Malaysia ini pada penghujung, saya kata penghujung, Julai 2017.

Hari ini, dua minggu sebelum tarikh akhir, kita telah dapat me­ngotakan janji kepada rakyat Malaysia. Kita berkumpul di stesen bawah tanah MRT Tun Razak Exchange atau TRX yang tersergam indah, yang dinamakan sempena ayahanda saya, untuk mengisytiharkan kepada rakyat Malaysia dan kepada dunia bahawa line pertama MRT telah dapat kita sempurnakan, lebih awal daripada jadual dan menyeronokkan saya sebagai Menteri Kewangan, lebih rendah daripada bajet yang telah dibentangkan.

Bermula hari ini, tepat pukul 4 petang nanti, kesemua 31 stesen bagi sistem rel yang paling moden dan terbaharu di dunia ini akan membuka pintu kepada seluruh rakyat dan pengguna pengangkutan awam di Malaysia.

Saya masih ingat dan masih segar dalam ingatan, ketika memulakan tugas sebagai Perdana Menteri, antara keputusan paling awal yang kita buat adalah untuk mengenal pasti bahawa apakah sebenarnya kehendak rakyat.

Saya mula dengan ungkapan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah ber­akhir. Kita hendak tahu apa isi hati rakyat. Sebab itu, kita buat satu kajian melalui Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan) , kita buat tinjauan secara terperinci dan salah satu daripada NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) yang ditetapkan ketika itu, 2009 bahawa sebagai sebuah negara lebih-lebih lagi sebagai sebuah ibu kota, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan memerlukan satu sistem pe­ngangkutan moden, yang efisien, yang reliable dan mampu digunakan ataupun diguna pakai oleh orang ramai.

Inilah kriteria yang saya tetapkan kerana kita sedar bahawa bila kita lihat orang ramai di ibu kota lain termasuk di rantau ini, bagaimana keadaan kesesakan lalu lintas, traffic jam, gridlock yang berlaku sehingga setiap seorang itu, pengguna biasa, komuter biasa, terpaksa menghabiskan masa adakala lapan jam, 10 jam setiap hari kerana keadaan lalu lintas yang terlalu sesak.

Maka, kita sedar sebelum perkara itu terjadi di ibu kota Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan ini maka kita perlu mengambil langkah awal lagi supaya kita mengelakkan keadaan tersebut sebab tanda-tandanya sudah pun dapat kita rasai di Kuala Lumpur ini, lebih-lebih lagi waktu hujan lebat. Tak payah tunggu hujan lebat, hujan gerimis pun dah traffic jam.

Jadi maka apanya? Maka jawapannya MRT perlu diwujudkan dan menjadi kenyataan bagi Kuala Lumpur, Lembah Klang ini. Itu kita tetapkan tujuh tahun lalu dan Alhamdulillah hari ini kesannya besar. Apa kesannya?

Antaranya dari segi perjalanan umpamanya, dari Sungai Buloh ke Kajang, kalau gunakan bas saya diberitahu memakan masa dua jam setengah, itu kalau nasib baik, keadaan biasa, dua jam setengah one way. Kalau pergi balik lima jam. Kalau naik MRT 88 minit sahaja.

Jadi dari segi kemudahan tersebut, menjimatkan masa, meningkatkan produktiviti, sudah tentu kesan limpahan kepada ekonomi negara kita, moral kita sebagai pekerja, semangat kita untuk bekerja bertambah lebih baik nanti.

Aktiviti ekonomi putarannya menjadi lebih dinamik kerana ada sistem pengangkutan yang moden. Apa lagi? Kos sara hidup. Sudah tentu kalau kita gunakan kereta umpamanya, kita gunakan kereta. Saya minta buat kajian gunakan kereta dengan minyak, tol, penyelenggaraannya sehala Sungai Buloh ke Kajang, kosnya lebih kurang RM54. Eh, maaf, itu kos Uber, Uber sebagai dia punya perkiraan RM54. Kalau dengan kereta dan sebagainya lebih tinggi daripada kos menggunakan MRT sebab bayarannya cuma RM6.40 tunai dan kalau pakai guna Touch n Go, RM5.50. Jadi tentu sekali menjimatkan perbelanjaan. Itu sebagai perbandingan.

Apa lagi keuntungannya? Dari segi limpahan ekonomi, fasa pertama projek MRT telah dapat memberikan 130,000 peluang pekerjaan termasuk 70,000 secara langsung. Apa lagi? Retailers, orang berniaga, setakat ini di 31 stesen, 41 peluang retailers dan kita akan tambah lagi pada masa akan datang.

Dari segi pencemaran udara, Co2 emission (pelepasan gas karbon dioksida) saya diberitahu bahawa kerana line pertama ini 160,000 kereta will be off the road dan ini translate kepada bila­ngan karbon emission sebanyak 752,000 tan Co2 tiap-tiap tahun. Dan saya tak kira lagi bila siap MRT 3 pada 2027, 700,000 kereta will be off the road bermakna kita menjimatkan 3.3 juta tan C02 emission tidak tercemar udara.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, laluan ini MRT pertama memberi kemudahan kepada 1.2 juta penduduk di Sungai Buloh, Kota Damansara, Cheras, Kajang dapat akses ke pusat bandar raya Bukit Bintang, Pasar Seni dan Cochrane malah ada orang kata kepada saya kemungkinan akan berlaku ‘boom’ kepada penjual-penjual sate di Kajang nanti.

Laluan SBK berintegrasi dengan sempurna sinergi dengan LRT laluan Pandan Jaya, LRT laluan Ampang, LRT laluan Sri Petaling, di Pasar Seni, Dataran Merdeka dan Maluri. Dan pengguna boleh bertukar dari MRT ke LRT, laluan SBK ini juga berintegrasi dengan perkhidmatan KTM Komuter dan KTM ETS Sungai Buloh dan Kajang, manakala dari stesen MRT Muzium Negara penumpang boleh berjalan kaki dengan menggunakan laluan pejalan kaki yang cukup selesa untuk sampai ke KL Sentral di mana mereka boleh menaiki KLIA Ekspress dan KLIA Transit untuk ke KLIA, Putrajaya dan stesen-stesen lain di samping KTM, LRT serta monorel.

Selain tren, bas perantara MRT juga akan beroperasi dari stesen untuk memenuhi keperluan penumpang dari segi kesinambung­an peringkat pertama dan ter­akhir perjalanan ataupun first and last mile connectivity.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, di sini saya suka melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan MRT laluan SBK ini. Pertama sudah tentu kepada warga kerja MRT Corp yang telah berusaha dengan penuh dedikasi dan komitmen yang cukup tinggi. Tidak lupa juga rakan pelaksana projek MMC-Gamuda KVMRT, kontraktor pakej pekerja seperti kontraktor kerja bawah tanah, MMC Gamuda yang telah melakar sejarah dunia dengan pembinaan terowong-terowong dan stesen bawah tanah dengan menggunakan teknologi yang paling canggih. Subkontraktor, pembekal, perunding-perunding yang terlibat semuanya telah memberi khidmat begitu baik sekali bagi menyempurnakan pembinaan projek.

Turut memainkan peranan yang amat penting jelas bila diwujudkan struktur pelaksanaannya di mana struktur itu oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah MRT Corp dan Pengerusi Task Force dan saya juga mengambil kesempatan mengakhirkan penghargaan kepada mantan KSN, Tan Sri Sidek Hassan yang telah memainkan peranan pada peringkat awal pelaksanaan projek.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saya lihat bahawa konsep ini di mana jawatankuasa eksekutif ataupun exco projek MRT ini yang dipengerusikan KSN melihat kepada struktur yang amat berkesan dari segi pelaksa­naan. Saya juga ingin menyatakan bahawa bajet kos pembinaan asal bagi laluan SBK telah disasarkan kepada RM23 bilion tetapi pelaksanaan projek ini telah dapat disiapkan dengan kos sebanyak RM21 bilion. Begitu penjimatan sebanyak RM2 bilion. Ini kejayaan yang boleh kita banggakan.

Saya juga telah diberitahu bila saya bersama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebab selepas ini kita akan serahkan kepada Prasarana supaya Prasarana dapat mengendalikan laluan ini dengan mencapai zero defect atau kecacatan sifar di dalam prestasi mereka. Jadi RapidRail saya harap­lah semuanya telah membuat persedia­an bagi memastikan pengendalian projek ini dijalankan dengan begitu cemerlang sekali.

Projek ini ialah projek infra rakyat, bukan saya hendak kata infrastruktur tetapi infra rakyat dan ini adalah titik permulaan sahaja. This is just the beginning of more to come termasuk MRT laluan kedua ataupun MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, MRT dari Bandar Utama ke Johan Setia, Landasan Kereta Api Pantai Timur, Keretapi Laju KL-Singapura dan juga naik taraf pada sistem monorel dan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Ini semua insya-Allah akan dilaksanakan oleh kerajaan. Apatah lagi bila laluan kedua (MRT) kita siap, nanti MRT 3, bererti menjelang tahun 2027 nanti, kita akan dapat menyaksikan sistem pe­ngangkutan awam di Kuala Lumpur yang bersepadu sepenuhnya. Inilah impian kita.

Beberapa perkara yang agak menarik di bawah pelaksanaan projek ini, bahawa pengalaman mereka yang terlibat di bawah projek ini, memperoleh kemahiran ilmu, misalnya memasang kereta api metro bertaraf dunia, mempunyai kemahiran membaik pulih mesin pengorek terowong, berjaya membekalkan kerusi dan lampu untuk tren, pintu tiket automatik dan sebagainya. Saya anggap ini akan dijadikan sebagai asas untuk kita menerokai pasaran di peringkat antarabangsa.

Dua perkara yang agak menarik pertamanya, penyertaan bumiputera dari segi pelaksanaan projek ini. Kita telah dapat mencapai tahap 50 peratus dari segi nilai projek yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat bumiputera dan juga 51 peratus bilangan peruncit yang berniaga di stesen-stesen laluan pertama.

Apa yang menarik, saya hendak sebutkan di sini bila kita me­laksanakan Agenda Bumiputera, ia tidak menyebabkan projek ini terlambat ataupun mengganggu pelaksanaan dengan syarat kita berikan kepada bumiputera yang layak. Jangan beri kepada kroni, beri kepada bumiputera yang layak dan kita memanggil tender sebenarnya dalam kalangan syarikat bumiputera dan bumiputera yang terbaik sahaja dari segi prestasi teknikal dan tawaran harga dianugerahkan projek.

Bererti bahawa syarikat bumiputera mampu mengendalikan projek-projek seperti ini dengan syarat mereka ini bersaing sesama sendiri dan hanya yang terbaik dipilih. Dan bila kita amalkan prinsip ini kita dapati projek MRT ini berjalan dengan lancar, tak ada masalah seperti rungutan mengenai Agenda Bumiputera. Projek ini milik semua rakyat Malaysia, bumiputera dan bukan bumiputera akan merasai bahawa projek ini projek rakyat Malaysia.

Saya juga tertarik hati sebab daripada mula saya melawat projek ini, dari semasa ke semasa, saya tengok pelaksanaan dan baru-baru ini saya turun bersama-sama dengan rakan-rakan media sosial dan saya pergi ke Stesen Merdeka, stesen ini ada paparan dinding dengan prinsip-prinsip Rukun Negara yang terbesar di negara kita ini.

Jadi kita lalu di situ pun, gerun rasa perasaannya, bila kita tengok Rukun Negara, prinsipnya, gambar Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) ketika hari merdeka dengan begitu bersejarah, ini semua terpampang pada dinding dan ada stesen yang dengan simbol atau logo bendera negeri. Jadi bila kita pergi ke stesen itu, kita boleh ambil gambar di bawah negeri kita.

Itu pun satu daripada keunikan dan setiap stesen itu ada ciri-cirinya yang lain. Jadi semua­nya ini tidak mungkin menjadi kenyataan kalau kita tidak pergi bersama-sama sebagai sebuah kerajaan secara bersepadu dan terima kasih juga kepada kementerian-kementerian, Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan semua pihak. Kita semua bekerjasama sebagai satu pasukan yang menyebabkan projek ini berjaya dengan begitu cemerlang.

Seperkara lagi yang saya hendak sebut bahawa kebetulan saya berbual dengan seorang yang sudah pernah pergi ke stesen-ste­sen yang lain di dunia. Kita buat ranking stesen MRT, di manakah kedudukan kita di dunia? Dia kata kita lebih baik dari London, kita lebih baik dari New York, kita lebih baik dari Hong Kong dan dia kata kita sama taraf dengan Si­ngapura. Jadi kita berada dalam kalangan yang terbaik di dunia. Tahniah, kita dapat berdiri sama tinggi dan menyampaikan infrastruktur bertaraf dunia untuk rakyat Malaysia.

Saya rasa hari ini dengan penuh kebanggaan, kepuasan peri­badi dan saya yakin rakan-rakan saya pun merasai (perasaan) yang sama-sama, menteri-menteri pun sama. Semua orang berasa bangga. Kita berasa bangga dan ada lagi 20,000 orang tunggu (kita) di Kajang, kita lambai-lambai kepada orang Kajang.

Saya harap, insya-Allah kita lepas ini pergi ke Kajang, beramai-ramai ke Kajang, kita makan sate di Kajang dan kita berhari raya dengan rakyat dan hari ini kita dapat menyaksikan bukan sahaja MRT sebenarnya. Kita menyaksikan perubahan masa depan Malaysia di depan mata kita.

Kita melihat lakaran gambaran Malaysia yang akan datang dan saya janjikan kepada rakyat Malaysia bahawa ini adalah titik permulaan sahaja dan kalau rakyat Malaysia memberi keyakinan kepada kita, bila sampai pada masa­nya nanti, insya-Allah kita akan ­capailah hasrat kita, impian kita.

Malaysia moden, Malaysia maju, Malaysia hebat, Malaysia cemerlang. Insya-Allah akan menjadi kenyataan. Negaraku Malaysia, Negaraku Malaysia, Negaraku Malaysia.

Sebelum itu saya terlupa ada hadiah teristimewa pertamanya, hari ini pukul 4 (petang) sampai malam percuma dan bagi ­meraikan pencapaian bersejarah ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa diskaun sebanyak 50 peratus akan diberikan kepada semua pengguna MRT, monorel dan LRT. Bermula dari hari esok 18 Julai hingga hari merdeka 31 Ogos 2017 sempena 60 tahun merdeka.