Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PERKHIDMATAN Transit Aliran Massa (MRT) laluan dari Semantan ke
PERKHIDMATAN Transit Aliran Massa (MRT) laluan dari Semantan ke Kajang mula dibuka kepada orang ramai hari ini. UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

FASA kedua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Semantan-Kajang yang menghubungkan keseluruhan 51 kilometer landasan dari Sungai Buloh ke Kajang akan beroperasi sepenuhnya bermula hari ini.

Seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Jun lalu, 19 Stesen baharu sepanjang 30 kilometer dalam fasa kedua MRT dari Semantan ke Kajang itu akan meluaskan lagi landasan perkhidmatan berban­ding 12 stesen fasa satu yang mula ber­operasi pada 16 Disember 2016.

Dengan kekerapan setiap 3.5 minit dan kapasiti 1,200 orang penumpang bagi setiap tren empat gerabak, dijangkakan lebih 500,000 penumpang dapat memanfaatkan kemudahan MRT setiap hari untuk perjalanan antara 31 stesen tersebut, termasuk tujuh stesen bawah tanah.

Sistem MRT juga akan menghubungkan penumpang dengan sistem perkhidmatan tren sedia ada seperti Komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Express Rail Link (ERL) di sam­ping sokongan bas perantara da­lam radius lima kilometer sekitar stesen-stesen MRT.

Operasi laluan Sungai Buloh - Kajang itu juga dipantau ketat pihak berkuasa termasuk arahan mengadakan latihan menyelamat selaras dengan keperluan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan beberapa agensi lain yang menilai tindakan MRT menangani situasi kecemasan.

Pembukaan penuh laluan MRT Sungai Buloh ke Kajang dialu-alukan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Ma­laysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman susulan sambutan baik pengguna sejak fasa satu dibuka hujung tahun lalu.

Beliau berharap pembukaan fasa kedua itu akan menarik lebih ramai pengguna memilih pengangkutan awam khususnya melihatkan pujian orang ramai yang sudah beralih kepada perkhidmatan MRT kerana lebih selesa dan pantas.

“Saya harap kecekapan pengurusan MRT fasa pertama diteruskan malah ditambah baik untuk semua stesen baharu menuju ke Kajang.

“Langkah kerajaan memper­kenalkan sistem MRT ini memang bertepatan kerana FOMCA dan orang ramai telah lama meminta kualiti pengangkutan awam di­tingkatkan,” katanya.

Menurut Mohd. Yusof, keba­nyakan rakyat negara ini menggunakan kenderaan sendiri untuk bergerak kerana dianggap lebih mudah dan selesa tetapi MRT dapat memberikan pilihan lebih baik khususnya dari segi memudahkan perjalanan, selamat, pantas dan harga berpatutan.

“Lihat sahaja sejak MRT mula diperkenalkan, perkhidmatan ini semakin menjadi kaedah pe­ngangkutan pilihan orang awam.

“Bagaimanapun, pengguna juga berharap faktor seperti ketepatan waktu, kebersihan, parkir yang cukup serta keselamatan diri mahupun kenderaan yang ditinggalkan di stesen MRT terus diutamakan,” jelasnya.

Beliau berpendapat stesen MRT Sungai Buloh boleh menjadi contoh baik bagi semua stesen lain dari segi pengurusan dan penyediaan kemudahan terutama sekali parkir yang mencukupi di samping kemudahan awam se­perti surau dan tandas.

“Parkir ini antara isu utama bagi pengguna memilih per­khidmatan awam. Pihak pengurusan stesen juga perlu sentiasa menambah baik kemudahan ter­masuk surau dan tandas mengikut peningkatan pengguna MRT.

“Walaupun buat masa ini semua kemudahan tersebut mencukupi, pembukaan laluan dan stesen baharu akan membawa masuk lebih ramai penumpang dan setiap kemudahan itu perlu dinaik taraf dan diselenggara dengan baik mengikut keadaan semasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Bardan berharap pembukaan laluan baharu MRT dapat mengurangkan kadar kemalangan pekerja pergi dan pulang dari tempat kerja.

“Dari sudut keselamatan, perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja sering menyebabkan berlakunya kemalangan khususnya dalam kalangan mereka yang menggunakan motosikal.

“Ini bukan sahaja meningkatkan liabiliti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) malah majikan juga kehilangan tenaga kerja. Perkhidmatan MRT diharap menjadi alternatif pengangkutan terbaik bagi golongan pekerja,” ujarnya.

Beliau berharap MRT menjadi pilihan lebih ramai pekerja untuk pergi dan pulang bekerja khusus­nya jika stesen MRT berdekatan de­ngan tempat kerja dan bas perantara melalui kediaman mereka. Namun, Shamsudin turut menyeru pihak pengurusan stesen memberi perhatian kepada kemudahan parkir yang cukup, murah dan selamat bagi menarik golongan pekerja menggunakan perkhidmatan MRT.

“Sebelum ini ramai yang me­ngadu sistem pengangkutan tren lain tidak menyediakan kemudahan parkir secukupnya untuk kereta dan motosikal. Ini diburukkan lagi jika bas perantara tidak melalui kediaman pengguna. Kos keseluruhan untuk parkir dan perjalanan antara stesen juga akan menjadi penentu untuk pekerja memilih pengangkutan awam,” katanya.

Beliau turut menjangkakan pekerja yang menggunakan MRT akan lebih produktif di tempat kerja kerana tidak penat memandu mahupun ‘tertekan’ akibat terperangkap dalam ­kesesakan lalu lintas setiap hari.

Selain itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) juga menjangkakan antara 15 hingga 18 peratus projek MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini. La­luan MRT SSP antara stesen Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu akan beroperasi pada Julai 2021 manakala keseluruhan laluan tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada Julai 2022.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain