Program MRSM Ulul Albab adalah program pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada (sains tulen) dengan program aliran agama termasuk Tahfiz al-Quran. Ia bermatlamat melahirkan ahli profesional, teknokrat dan usahawan yang bukan sahaja berilmu pe­ngetahuan tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang keagamaan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai generasi Ulul Albab.

Ulul Albab pula ialah golongan yang mempunyai asas yang kukuh tentang al-Quran, ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, mampu berfikir dan memerhati kejadian Allah melalui ‘mata’ hati dan akal yang tajam serta mengambil iktibar daripadanya.

Banyak kelebihan yang disebut oleh Islam tentang golongan hamalatul Quran ini. Antaranya:

1. Al-Quran menjanjikan kebaikan.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa berdiri dan duduk, dan semasa mereka berbaring mengiring. (ali-Imran: 191). Berdasarkan ayat ini ulama tafsir menyatakan kelebihan hafiz yang boleh membaca al-Quran dalam setiap keadaan. Ini berbeza dengan orang yang hanya boleh membaca melalui mushaf yang perlu disertakan dengan adab serta peraturan tertentu.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Golongan huffaz juga adalah orang yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ­“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya dalam kalangan manusia”. Lalu mereka bertanya : “Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W?” Jawab baginda : “Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya”. (Riwayat Ibnu Majah)

3. Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.

Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling ba­nyak hafalannya”. (Riwayat Muslim)

Adapun ganjaran di akhirat adalah lebih mengujakan iaitu ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalam­nya maka ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

4. Allah SWT juga memberi jaminan ganjaran kepada ahli keluarga bagi hafiz al-Quran sebagaimana Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan bahawa ibu bapa bagi penghafaz al-Quran akan dimuliakan di akhirat termasuk 10 ahli keluarga yang turut menumpang syafaat memasuki syurga.

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Barang siapa membaca al-Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

5. Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong).

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Bacalah olehmu al-Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya)”. (Riwayat Muslim)

Dalam masa sama, diharap golongan huffaz akan turut meningkatkan usaha menguasai pelbagai disiplin ilmu agama. Ini supaya lebih mantap keilmuan mereka dan boleh menjadi pakar rujuk masyarakat di masa depan.

Mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan syariah, usuluddin dan tasawuf. Dengan demikian mereka akan menjadi ulama serba boleh kerana menguasai pelbagai disiplin ilmu agama.