Kalau tidak kena gaya, mahu menitis air mata sesiapa yang tak dapat cuti raya kali ini.

Abang hensem titipkan lirik lagunya, hayati ya:

Di hari raya

Terkenang daku kepada si dia

Kampungku indah nun jauh di sana

Ayah serta bondaku

Di tepian mandi

Danauku hijau yang aman damai selalu

Nun di sanalah tempat aku bertemu

Aku dan dia

Apakan daya

Masa tak akan kembali

Hancur musnahlah semuanya

Impian yang murni

Tinggal menjadi kenang-kenanganku

Hanya rangkaian kata dan lagu

Dendang perantau.

Dah lagukannya sekali ke? Pendek dan ringkaskan lagu ni. Tapi mak ai menusuk kalbu sungguh.

Kalau cerita bab simple ni, begitu jugalah persiapan raya abang hensem kali ini, ringkas dan stylo sahaja. Stylo, kalau dalam kamus abang hensem, lebih cenderung pada kualiti dan elegan.

Seminggu lagi dah nak hari raya. Persiapan anda bagaimana? Kalau bab persiapan raya ni, orang perem­puan lebih sibuk nampaknya.

Sebenarnya, abang hensem rindu sangat dengan momen-momen menyambut raya ni. Yang paling menggamit memori masa anyam ketupat.

Tapi sejak lima tahun ini, memang amat jarang abang hensem bersua muka dengan anak-anak gadis usia belasan tahun anyam ketupat.

Nak salahkan mereka tak wajar juga sebab sekarang ni memang sukar nak jumpa ketupat nasi yang dibungkus daun kelapa. Sejak muncul ‘era’ makanan segera sekitar 1990-an, ketupat kini dibungkus dalam plastik dan direbus. Sampai ‘ketupat segera’ ini makin dapat tempatlah. Terpinggir terus warisan temurun.

Tapi kan kalau ikut cerita nenek abang hensem, yang dimomokkan ikut kepercayaan Jawa, anak gadis yang tak pandai anyam ketupat ni risikonya dia akan duduk di bawah ‘t**ek hantu’ apabila meninggal dunia kelak.

Ini jugalah menyebabkan anak-anak gadis sebayanya dulu cukup takut dengar pasal hantu. Sehinggakan nenek abang hensem jadi handal lah anyam ketupat dan boleh ajar rakan-rakannya sampai pandai.

Rupa-rupanya anyam ketupat bukanlah susah. Cuma kena tahu ‘jalannya’ sahaja.

Imbas balik nostalgia raya tahun 80-an, yang abang hensem waktu itu dalam lingkungan umur awal belasan tahun - tiada kampung (tinggal di Petaling Jaya) dan hanya terdaya perhati sahaja kawan-kawan beraya di kampung.

Sehinggalah suatu hari pernah abang hensem merintih kepada mak abang hensem. Kenapa kita jadi macam dagang pak malau mak. Terkejut sampai tergelak keluar air mata mak abang hensem. Ishh! Kau ni kenapa ha, kata mak abang hensem tersenyum lebar.

Bahkan, mak abang hensem nak ‘pecah perut’ lagi bila abang hensem luahkan pantun filem lama, “Kajang Pak Malau kajang berlipat, Kajang hamba mengkuang layu; Dagang Pak Malau dagang bertempat, Dagang hamba musafir lalu”.

Dan bila mak minta abang hensem bersyukurlah ‘kita ada rumah, masih ada saudara-mara datang berkunjung di pagi raya, itu sudah cukup’, barulah abang hensem sejuk hati. Sejuk tak sejuk hingga 24 tahunlah abang hensem beraya di kota sebelum akhirnya bertemu jodoh dengan orang jauh, nun Kelantan sana itu (hehehe), ha! ambik kau.

Tapi kalau kisah beraya di kota ni masa 80-an tu, sebaik saja selepas sembahyang pagi raya dan terima tetamu, lepas tengah hari, abang hensem dan dua rakan baik, Pak Tam dan Bachik terus ke Ampang Park, sebelum ke Pertama dan Campbell Complex. Itulah tempat lepak berbanding di kampung yang bertemankan rakan, bermandikan sungai.

Sebab itu bila Ampang Park ditutup Disember tahun lepas selepas beroperasi selama 44 tahun, abang hensem tangkap nangis sangat.

Memang kompleks beli-belah itu sarat dengan sentimental value. Abang hensem kenal kehidupan Kuala Lumpur bermula dari Ampang Park, pasar raya Hankyu Jaya di Chow Kit, Globe Silk Store sehingga ke Kompleks Selangor.

Kalau orang Kelantan datang Kuala Lumpur tapi tak datang ke Ampang Park, alamatnya tak sahlah, tak lelap tidur.

Di situlah pusat pertemuan semua manusia - Melayu Cina, India. Sangat harmoni waktu itu.

Benarlah, sejarah mainkan peranan besar. Sejarah, satu-satunya elemen yang membentuk jati diri abang hensem. Boleh menangis tau bila bercakap soal ini.

Hari ini, bila turun jenguk Jalan Tunku Abdul Rahman termasuklah Sogo, abang hensem kembali menerobos sejarah beraya di situ kira-kira 35 tahun lalu. Masih sibuk, sesak dengan urusan jual beli rancak.

Nasib baiklah juga pada zaman milenium ini corak dan gaya perbelanjaan berubah merentasi sempadan. Masyarakat membeli-belah menerusi talian maya, mudah dan pantas.

Terlalu rindu momen itu. Sekarang, atuk, nenek dah tiada. Bapa saudara dan ibu saudara pun ada yang dah kembali ke rahmatullah.

Al-Fatihah untuk mereka yang pernah membahagiakan.