Walaupun peringkat awal seolah-olah menuju ke arah krisis Perlembagaan, tetapi Alhamdulillah, hasil muafakat pemimpin negeri dengan Istana Johor telah membawa situasi menang-menang kepada semua pihak.

Namun, seperti ada api dalam sekam. Rumah siap, pahat mula berbunyi.

Ada pihak tertentu yang kelihatan ingin menangguk di air keruh, mengharapkan krisis ini berpanjangan supaya boleh menimbulkan persepsi negatif bahawa Istana mencampuri urusan pentadbiran negeri.

Bagi mereka, jika Sultan enggan bersetuju dengan Datuk Dr. Sahruddin Jamal, barangkali lebih ‘menyeronokkan’ bagi mereka bermain dengan persepsi bahawa Istana mencampuri urusan politik.

Namun, Tuanku Sultan lebih bijaksana apabila segera memperkenankan pelantikan Dr. Sahruddin, maka terpadamlah sumbu api untuk membangkitkan kemarahan terhadap Istana Johor.

Memang benar Tuanku Sultan prihatin soal pelantikan Menteri Besar dan exco kerana sejak berkurun lamanya Sultan di Johor adalah Raja Pemerintah bagi seluruh jajahannya.

Bagi umat Islam Melayu di Johor, itulah yang mereka doakan saban Jumaat apabila khatib berkhutbah dan mendoakan negeri merah biru ini. Tidak mungkin Tuanku Sultan akan memperkenankan siapa-siapa sahaja Tom, Dick atau Harry menjawat jawatan yang penting itu.

Hakikatnya, tidak timbul soal Tuanku mencampuri soal pentadbiran. Bahkan baginda berhak memberi pandangan dan perkenan berkenaan siapa yang terbaik untuk menerajui pentadbiran negeri. Ia sudah menjadi adat dan adab di Johor sejak sekian lama. Malah diakui oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri apabila ditanya pemberita berkenaan isu pelantikan Menteri Besar Johor.

CALON MUHYIDDIN, PUTRAJAYA?

Menyingkap di balik tabir awal, memang ada pihak yang mahukan bekas exco Mazlan Bujang sebagai Menteri Besar yang baharu. Beliau dikatakan sangat rapat dengan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin, sekali gus membolehkannya mempunyai ‘laluan istimewa’ dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tetapi, calon yang lebih sesuai sudah tentulah Dr. Sahruddin, dengan latar belakang akademik yang baik di samping tiada liabiliti politik seperti Mazlan.

‘Kelemahan’ Dr. Sahruddin (setakat ini), adalah kerana beliau merupakan anak didik Muhyiddin, ekoran itu menimbulkan persepsi bahawa Muhyiddin cuba mengetepikan calon yang lebih disenangi Putrajaya iaitu Mazlan.

Pemerhati berpendapat, Mazlan selaku exco kerajaan negeri ketika itu tidak sensitif dengan sentimen rakyat Johor apabila kerap mengundang A. Kadir ke kawasan beliau, memberi ceramah malah merasmikan program anjuran beliau.

Perbuatan Mazlan merapati A. Kadir itu agak janggal memandangkan sebaik sahaja Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau secara konsisten menulis artikel yang menyindir dan mengkritik institusi raja secara terbuka.

Kita masih ingat bagaimana A. Kadir mengkritik Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Kelantan secara berterusan hingga kemuncaknya baginda melepaskan takhta. Tidak puas dengan itu, keluarga Diraja Johor juga menjadi sasaran peluru tulisan A. Kadir.

PENJAWAT AWAM, PBT

Justeru, penyusunan Exco Johor sejurus selepas ini dibuat dengan mengambil kira semua aspek. Menteri Besar yang baharu sudah tentu memikirkan pasukan yang mantap dan siap-siaga bekerja untuk rakyat. Mana-mana pihak yang mahu terus berpolitik sudah tentu tidak sesuai berada dalam pasukan yang sama.

Bagi mereka di Johor, pengguguran Mazlan sudah dapat dijangkakan. Begitu juga dengan seorang lagi exco dari DAP, Tan Hong Pin yang turut digugurkan.

Bagi kes Hong Pin, ia dikatakan ada kaitan dengan ketidakselesaan penjawat awam kerajaan negeri Johor (JCS) dengan beliau yang ‘agak keras’ terhadap beberapa isu tempatan.

Sebagai rekod, Hong Pin selaku exco yang bertanggungjawab ke atas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketika itu dikatakan sering berbeza pandangan dan tindakan dengan pentadbir-pentadbir di PBT.

Bagi mereka yang familiar dengan pentadbiran Johor, exco yang bertanggungjawab terhadap PBT mestilah seseorang yang boleh bekerjasama baik dengan pentadbir terutama 
dengan Yang Dipertua 
Majlis Perbandaran 
masing-masing.

Untuk rekod, pegawai-pegawai awam negeri Johor mempunyai akses langsung dengan Baginda Sultan, membolehkan Tuanku mengetahui perkembangan secara terus.

Setelah beberapa hari, nampaknya isu pelantikan Menteri Besar dan exco sudah mulai reda. Di peringkat akar umbi, ramai yang memberikan kemenangan 1-0 kepada Istana Johor berbanding Putrajaya.

MUHYIDDIN DIGUGUR, ADA YANG MERAJUK?

Keadaan ini sudah tentu tidak menggembirakan sesetengah pihak. Maka isu baharu perlu dicipta. Mulai semalam, agak viral salinan tangkap layar WhatsApp berkenaan Muhyiddin berkemungkinan digugurkan dari jawatan Presiden Bersatu kerana Dr. Mahathir dikatakan merajuk dan ingin meletak jawatan berikutan isu di Johor.

Beberapa jam selepas itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula ‘mencipta’ isu baharu dengan pewaris takhta Johor.

Dengan tidak semena-mena, wawancara yang sepatutnya menumpukan kepada pencapaian sempena setahun pentadbirannya sebagai menteri, dihalakan kepada Tunku Mahkota Johor.

Syed Saddiq mendakwa hubungan dingin beliau dengan Tunku Mahkota Johor berpunca daripada permintaan politik dan ekonomi yang beliau tidak dapat tunaikan.

Sebagai anak Johor, tindakan Syed Saddiq itu amat mengelirukan. Kalaupun hendak mengambil hati pucuk pimpinan, usahlah sehingga membakar jambatan menuju tanah tumpah negeri kelahirannya.

Tidakkah beliau pernah terfikir bahawa pada pasca pentadbiran Dr. Mahathir nanti, adakah beliau seterusnya akan dilindungi?

Adakah berbaloi usaha beliau digunakan semata-mata berkonfrontasi dengan keluarga Diraja Johor?