Sebenarnya, kita tidak perlu terlalu teruja dengan senarai individu terkaya di dunia. Cara pemikiran terlalu menonjolkan kekayaan orang terkaya di dunia menyebabkan kita mudah alpa bahawa berbilion orang di dunia ini mengalami masalah kewangan.

Malah, begitu ramai yang miskin, kebuluran dan hidup melarat. Hanya segelintir manusia sahaja yang benar-benar begitu kaya di dunia yang tidak mewakili populasi manusia di dunia. Dengan kata lain, tumpuan perlu diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dan bukannya golongan yang sudah berada.

Apa yang berlaku pada masa kini sehingga menyebabkan hanya sebilangan kecil sahaja golongan manusia di muka bumi meraih kekayaan begitu besar daripada kek ekonomi dunia sewajarnya patut menjadi kebimbangan masyarakat dunia. Kekayaan dunia hanya dikongsi oleh segelintir golongan sahaja sedangkan berbilion manusia menghuni muka bumi ini.

Maka, sudah tentulah tidak langsung menggambarkan keadilan dan kesaksamaan pengagihan kek ekonomi dunia. Kesannya, ramai yang hidup dalam kedaifan. Ini menonjolkan betapa lemahnya sistem kewangan dan ekonomi dunia yang dikuasai oleh kapitalis. Sistem ini hanya berteraskan pemegang saham semata-mata. A­khirnya, lahirlah hanya segelintir golongan yang kaya raya yang mana mereka ini adalah pemegang saham syarikat atau pemodal. Mereka ini setiap tahun bertambah kaya ekoran memiliki wang yang banyak untuk melabur di sana sini. Yang miskin pula bertambah miskin. Inilah ­realiti sistem kewangan dan ekonomi moden pada masa kini. Jadi, wajarkah kita teruja dengan senarai individu terkaya di dunia?

Sistem kewangan dan ekonomi berteraskan kapitalis tidak langsung menitikberatkan pihak lain selain daripada pemegang saham syarikat itu sendiri. Berasaskan objektif untuk memaksimumkan kekayaan pemegang saham, maka sudah tentulah tidak mencerminkan pengagihan kekayaan yang dimiliki oleh syarikat kepada pihak lain secara adil. Pekerja bawahan digaji dengan bayaran yang rendah berbanding pengurusan tertinggi. Ini belum termasuk kehendak pemegang saham yang menetapkan sasaran yang dipanggil Petunjuk Prestasi Utama (KPI) hanya semata-mata untuk meningkatkan keuntungan demi kekayaan mereka.

Justeru, lahirlah model perniagaan yang hanya menitikberatkan kekayaan pemegang saham semata-mata. Model perniagaan sebegini dijaja di seluruh dunia sebagai model yang terbaik untuk diamalkan. Ambil contoh bagaimana hasil usaha jerit perih petani dan nelayan dijual kepada orang tengah dengan harga yang murah tetapi djual kepada pengguna dengan harga yang begitu tinggi. Orang tengah inilah yang memiliki wang untuk membeli hasil petani dan nelayan. Mereka ini tidak perlu pun bersusah payah pergi ke laut untuk mendapatkan hasil ­seperti ikan dan sotong. Dengan wang yang dimiliki mereka mampu membeli hasil tangkapan nelayan yang terpaksa berada di laut meninggalkan isteri dan anak-anak berhari-hari lamanya.

Itulah jerit perih keadaan golongan nelayan dan tidak kurang juga para petani. Bagi orang tengah yang mengamalkan siapa yang memiliki modal yang banyak berteraskan sistem kapitalis, merekalah yang mampu menjana kekayaan yang berlipat kali ganda. Inilah contoh mudah yang boleh kita lihat betapa sistem kapitalis yang hanya mengutamakan pemberi modal seperti orang tengah telah menyebabkan ramai masyarakat dunia hidup dalam kedaifan.

Sistem seperti ini perlu diubah. Dengan kata lain, model perniagaan yang berteraskan pemegang saham perlu segera diubah kerana akan meningkatkan jurang perbezaan antara yang kaya dan yang miskin. Ini bukan bermaksud sistem yang menyamaratakan kekayaan itu sebagai pilihan. Sistem ini juga memiliki begitu banyak kelemahan sehingga banyak negara terutamanya negara komunis sudah lama meninggalkannya.

Apa yang penting sesuatu sistem ekonomi yang menjadi teras model perniagaan perlu juga mengutamakan keadilan bagi pemegang taruh. Siapakah pemegang taruh? Pemegang taruh ialah pekerja, pengguna, kerajaan, pemberi kredit dan masyarakat secara keseluruhannya.

Apabila model perniagaan yang terlalu berpaksikan kepentingan pemegang saham semata-mata, maka semakin banyak kerosakan yang jelas kelihatan pada masa kini. Misalnya, hutan-hutan diterokai tanpa mempedulikan kelestarian alam sekitar. Natijahnya, berlakulah tanah runtuh, banjir dan perubahan cuaca yang kita sendiri alami pada masa kini.

Tidak cukup dengan itu, model perniagaan yang mengamalkan kronisme juga menidakkan keadilan kepada orang lain kerana mengutamakan golongan kapitalis. Ini tidak langsung menggambarkan keadilan kepada semua pihak yang terlibat dalam perniagaan.

Malah, timbal balik ganjaran antara golongan kapitalis yang dikategorikan sebagai kroni kepada mereka yang memiliki kuasa akan merosakkan kesejahteraan rakyat. Hanya model perniagaan yang berteraskan keadilan mampu mengurangkan jurang besar perbezaan kekayaan antara golongan yang kaya dan miskin.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).