Yang pasti pelaksanaannya jika diteruskan akan menimbulkan seribu satu persoalan. Pertama, Imams diuruskan oleh sebuah syarikat swasta iaitu Integrated Manasik Monitoring System Sdn. Bhd. dan bukannya kerajaan. Kedua, syarikat berkenaan diterajui oleh seorang yang bukan Islam.

Hairan bin ajaib, bagaimana perkara seumpama itu boleh berlaku. Adakah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak menyedarinya sehingga isu yang begitu sensitif itu ‘tiba-tiba’ boleh terlepas pandang.

Bagi Kalam ini bukan soal rasis tetapi melibatkan soal urusan ibadat dalam Islam yang di dalamnya terkan­dung hukum-hakam, peraturan dan garis panduan syarak. Meskipun urusan yang dikendalikan oleh Imams itu di luar konteks ibadah secara khusus tetapi tujuannya adalah untuk membolehkan seseorang itu mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci.

Isu ini adalah satu isu besar yang sepatutnya tidak berlaku. Kementerian terlibat seharusnya lebih peka jika mahu memperkenalkan apa jua sistem terutama yang melibatkan kepentingan umat Islam kerana implikasinya cukup besar. Yang akan terpalit sudah tentu kerajaan memerintah.

Seperti mana kes Imams ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang akhbarnya, Ahad lalu telah menyatakan bahawa pihak Kabinet tidak dimaklumkan tentang pengendalian Imams oleh syarikat swasta sambil mempersoalkan pelantikan orang bukan Islam sebagai peneraju syarikat tersebut.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam reaksinya berhubung keputusan pembatalan sistem itu turut menyifatkan langkah tersebut sebagai amat tepat.

Dalam pada itu, Kalam cukup tertarik dengan syor beberapa pihak yang mahu tanggungjawab Imams itu dise­rahkan kepada Tabung Haji. Syor itu ada asasnya kerana Tabung Haji sememangnya mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam menguruskan jemaah umrah dan haji sejak lebih 50 tahun lalu.

Bagaimanapun jika Tabung Haji mempunyai keka­ngan perlu ada satu agensi kerajaan lain yang mengambil alih tugas serta fungsi Imams. Antara agensi paling sesuai ialah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar),

Mungkin banyak pihak tidak menyedari bahawa Jawhar telah mempunyai Portal Maklumat Agensi Pe­ngelola Umrah (i-Umrah) yang bertujuan membantu bakal jemaah umrah mendapatkan segala maklumat berkaitan dengan ibadat umrah termasuk senarai pengelola umrah yang berdaftar.

Selain Jawhar kewujudan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang ditubuhkan pada 28 Ogos 2014 juga adalah untuk memberi fokus utama terhadap kawalan kes penipuan pakej umrah dengan memperkenalkan syarat-syarat yang lebih ketat.

Setakat ini MKSU telah memperkenalkan satu ketetapan iaitu harga minimum pakej umrah tidak boleh kurang dari RM4,900. Imams sebenarnya tidak perlu kerana kewujudan MKSU dan Jawhar sudah cukup memadai untuk me­lakukan pembanterasan terhadap penipuan ibadat umrah.

Apa gunanya kedua-dua agensi itu ditubuhkan jika isu-isu melibatkan ibadat umrah tidak boleh diselesaikan. Kalam yakin sekiranya fungsi dan peranan MKSU serta Jawhar diperhebatkan termasuk dalam aspek penguatkuasaan masalah penipuan ibadat umrah mampu diatasi dengan berkesan.

Dengan kata lain kedua-duanya boleh menjadi badan pengawal selia ibadat umrah di negara ini melalui satu sistem baharu yang mungkin boleh difikirkan bersama. Fikir-fikirkanlah.