IBU bapa tiga beradik mangsa lemas Nursyahida Abdullah (tengah)
IBU bapa tiga beradik mangsa lemas Nursyahida Abdullah (tengah) 

Tragedi mati lemas sama ada kerana mandi-manda atau ditarik ombak pada musim tengkujuh atau musim ombak besar di pantai tersebut atau pantai berdekatan seperti Pantai Teluk Lipat, Pantai Sura Tengah atau Pantai Sura Hujung bukan sesuatu yang asing bagi penduduk daerah Dungun. Kejadian ini tidak ubah seperti pengulangan kepada beratus-ratus kes seumpama itu sebelum ini. Saban tahun sekurang-kurangnya satu kejadian mati lemas berlaku di situ. Di tempat yang sama, tiga kes seumpama itu pernah dilaporkan pada 2013 dan 2016. Dalam kebanyakan kes mati lemas yang lepas-lepas mayat mangsa biasanya ditemui di Pantai Teluk Gadung, di belakang kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), Terengganu.

Penulis mengikuti kes-kes mati lemas di pantai berkenaan dengan penuh minat kerana kejadian seumpama itu sangat rapat dengan kehidupan kanak-kanak dan remaja penulis. Tragedi diseret ombak ketika bermain di gigi air ibarat satu kemestian pada musim tengkujuh. Pantai tersebut seolah-olah menunggu mangsa setiap kali tiba `bulan dua belas’.

Setelah meninggalkan kampung halaman dan bekerja di ibu kota, penulis terus mendengar dan membaca berita berhubung kejadian yang serupa, di pantai yang sama. Setiap kali ada kejadian baharu, ia mengimbau kenangan kepada tragedi yang hampir serupa pada zaman kanak-kanak dan remaja penulis. Penulis mahu bercerita kerana merasakan begitu dekat dengan insiden-insiden yang berlaku itu. Penulis berasal dari daerah berkenaan dan tinggal berdekatan dengan salah satu pantai yang disebut di atas. Rumah orang tua penulis betul-betul menghadap Laut China Selatan. Kedudukannya tidak sampai 100 meter pun dari gigi air di Pantai Teluk Lipat. Setiap kali musim tengkujuh tiba iaitu pada Oktober dan berakhir awal Februari, halaman rumah penulis seringkali dimasuki air laut, kadang kala sampai ke bahagian belakang rumah, berhari-hari. Laut, pantai dan nelayan adalah sebahagian daripada kehidupan penulis. Walaupun bongkah-bongkah batu besar disusun di sepanjang pantai tersebut, benteng penahan ombak itu tidak mampu menangkis kerakusan ombak besar musim tengkujuh. Jalan besar sepanjang pantai tersebut hampir setiap tahun rebis dan rosak teruk dihakis ombak.

Sejak dari zaman kanak-kanak lagi bulan Disember atau musim ombak besar adalah bulan yang paling ditakuti. Pada musim ini nelayan jarang sangat ke laut kecuali nelayan laut dalam dan bot-bot besar. Itu pun tidak banyak. Nelayan-nelayan kecil tepi pantai apatah lagi terus berehat panjang. Ombak besar di hadapan rumah kadang-kala hampir mencecah ketinggian pohon kelapa dan tidak ubah seperti ombak dalam filem `Hawaii Five O’.

Pada waktu itu, Pantai Teluk Lipat dan Pantai Sura yang sangat cantik dengan pasir halus dan berwarna keemasan dipenuhi sampah sarap, kayu balak, pokok-pokok tumbang, bangkai binatang `segala macam tok nenek’ dihanyutkan ombak. Tidak ada orang yang sudi dan berani menghampiri gigi air pada ketika itu. Setiap petang para penduduk setempat sekadar berkumpul di atas bangsal di hadapan rumah penulis berbual-bual kosong, menonton alunan ombak besar sambil menikmati bau masin air laut. Topik utama sudah pasti berkisar kepada ombak besar di hadapan mereka. Itu sahaja. Tidak ada nelayan yang berani turun ke laut ketika itu. Bagi mereka turun ketika musim ombak sebesar itu tidak ubah seperti menempah nahas.

Pantai Teluk Lipat, Pantai Sura dan Pantai Sura Tengah adalah antara pantai yang boleh dikategorikan sebagai `unkept secret’ di negeri Terengganu. Pantai ini mengunjur berpuluh-puluh kilometer bermula di Kampung Lot Pantai sehingga ke kampus UiTM di Sura Hujung. Sangat cantik dan memikat hati sesiapa sahaja terutama kanak-kanak dan remaja untuk `terjun’ ke dalam laut tatkala sampai ke situ. Orang luar yang pertama kali tiba di situ mudah jatuh hati dengan `keramahan’ pantai ini. Pemandangan pada siang hari sempurna dengan deretan pokok kelapa, pohon ru, bot dan perahu kecil nelayan pantai serta aktiviti seharian nelayan. Pemandangan waktu pagi ketika menunggu matahari terbit sangat menakjubkan sama juga ketika matahari jatuh. Pancaran cahaya pagi dan lembayung senja memijar-mijar merentasi warna hijau air laut yang beralun lembut.

Pada hari ni sudah banyak hotel, motel dan calet serta inap desa didirikan di bahagian daratan pantai tersebut, tidak seperti pada zaman remaja penulis, hanya ada satu dua buah sahaja hotel murah dan sebuah rumah rehat kerajaan. Setiap petang pantai ini menjadi tumpuan orang ramai bersantai, makan-makan dan `minum air’. Pantai ini adalah destinasi rekreasi penduduk daerah Dungun.

Keramahan pantai ini memikat hati setiap pengunjung luar terutama yang pernah singgah di situ. Pantai-pantai tersebut mula dikenali pengunjung luar sejak beberapa institusi pengajian tinggi awam dibuka berdekatan dengannya. Orang luar yang kebetulan menghantar anak-anak belajar ke situ turut menjadikannya sebagai destinasi makan angin mereka. Sementelah lagi banyak tempat penginapan murah dan selesa mudah diperoleh di situ.

ANGGOTA keluarga mengangkat jenazah salah seorang mangsa lemas
ANGGOTA keluarga mengangkat jenazah salah seorang mangsa lemas di Pantai Sura.

Ajal maut ketentuan Allah. Sepanjang pengamatan penulis, ada satu fakta menarik dalam setiap kejadian yang berlaku. Kebanyakan mangsa ialah orang luar dari daerah Dungun atau luar Terengganu. Amat jarang penduduk tempatan terlibat. Barangkali mereka baru pertama kali tiba atau `terpesona’ dengan keindahan dan keramahan pantai tersebut. Penduduk setempat sudah masak dengan `keramahan palsu’ pantai itu lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh. Bagi mereka selagi belum berakhir `musim ombak besar’ pada awal Februari mereka tidak akan sesekali mencari `pasal bermain dengan ombak’ waima ketika ombak dan laut tiba-tiba `tenang’ atau ketika air laut surut mendadak sekalipun. Mereka faham sangat, walau sejinak mana ombak bermesra di hujung kaki atau setenang mana desirnya, bila-bila masa sahaja ombak dan pantai yang tenang itu boleh bertukar sifat menjadi rakus sehingga meragut nyawa. Sudah banyak kes sedemikian.

Bukan sedikit inisiatif dilakukan pihak berkuasa tempatan bagi memberi peringatan kepada orang ramai tentang bahaya pantai tersebut pada musim tengkujuh. Tanda amaran serta benteng-bentang pemecah ombak yang dibina di sepanjang pinggir pantai tersebut menunjukkan bahawa kekuatan ombak laut lepas Laut China Selatan di situ bukan calang-calang. Kesan hakisan teruk juga boleh dilihat ketika menyusuri pantai tersebut dari Kuala hingga ke kampus UiTM.

Semuanya boleh dilihat pada mata kasar. Tetapi ‘keramahan’ Pantai Sura tidak ada tolok bandingya. Tidak hairanlah banyak yang mudah terpesona, terpedaya!