Ramai tertanya-tanya mengapa kedua-dua gadis yang pendiam, menurut kata dan diberi layanan sebaiknya 
sebagai pembantu rumah boleh memiliki kebencian yang mendalam sehingga tergamak melakukan pembunuhan 
yang tidak mampu digambarkan itu.

Pembunuhan tersebut sememangnya satu kegilaan. Perbuatan menusuk mata mangsa dengan jari lalu mencungkilnya dilihat sebagai satu tindakan umpama haiwan yang ganas.

Psikoterapi, ahli falsafah, penulis dan pelbagai pihak mengeluarkan pelbagai teori berhubung kejadian tersebut. Sesetengah cendekiawan bersimpati dengan dua gadis berkenaan dan menganggap kejadian itu sebagai simbolik kebangkitan golongan buruh atau pekerja seperti mereka.

Segelintir daripada mereka melihat jenayah itu sebagai refleksi akibat ‘eksploitasi pekerja’, memandangkan pembantu rumah terpaksa bekerja 14 jam sehari dan bercuti hanya setengah hari setiap minggu.

Pandangan mereka juga mengambil kira punca kejadian itu berlaku yang didorong konflik di antara Christine dan majikannya. Hal ini tercetus selepas Christine menyatakan fius terbakar ketika dia menggunakan seterika. Kejadian itu bukan pertama kali berlaku, malah seterika itu pernah dibaiki sebelum ini gara-gara fius terbakar.

Bagaimanapun, gaji dua beradik itu telah dipotong oleh majikannya sebagai menanggung kos kerosakan.

Dalam pada itu, sesetengah pihak percaya tiada motif yang logik berhubung perbuatan jenayah itu kerana dua beradik terbabit bekerja dalam suasana keluarga majikan yang baik, makan makanan sama dengan ahli keluarga lain dan mempunyai gaji bulanan mencukupi.

Wujud pula pandangan lain yang merasakan punca kejadian itu berlaku mungkin berakar umbi dari zaman kanak-kanak gadis tersebut yang hidup dalam keluarga bermasalah. Sesetengah sumber menduga bahawa gadis-gadis itu dahagakan cinta dan kasih sayang namun, tidak dipastikan kebenarannya.