Ironinya perancangan hebat tidak akan memberikan impak kepada rakyat dan negara andai tangan-tangan yang diberi kuasa dan kedudukan tidak mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka. Penjawat awam yang sentiasa menjadi tulang belakang pentadbiran keraja­an wajar menyahut cabaran ini de­ngan hati terbuka dan menerima segala perancangan kerajaan ini sebagai peluang untuk terus berbakti dan memberikan sumba­ngan bermakna kepada negara dan masyarakat.

Penulis yakin berdasarkan re­kod perkhidmatan cemerlang pen­jawat awam selama ini tidak mustahil untuk dilakukan sekali gus memenuhi tuntutan dan ekspektasi seluruh negara. Hal ini terbukti apabila kerajaan sendiri menghargai segala sumbangan dan jasa penjawat awam selama ini yang mana Bajet 2018 terus menyajikan pelbagai berita gembira kepada penjawat awam.

Misalnya, kerajaan mengumumkan bayaran khas berjumlah RM1,500 yang bakal disalurkan dua kali iaitu RM1,000 pada awal Januari dan RM500 lagi menjelang Aidilfitri. Di samping itu kerajaan juga mengumumkan 12 inisiatif tambahan untuk manfaat penjawat awam antaranya, penjawat awam dalam kategori pelaksana akan menikmati peluang kenaikan pangkat berasaskan time-based kali kedua untuk tempoh 13 tahun selepas kenaikan kali pertama.

Malah cuti rehat Pegawai Per­khid­matan Pendidikan juga di­naik­kan daripada tujuh hari kepada 10 hari di samping kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod bagi menunaikan umrah serta penambahan satu lagi waktu kerja berperingkat iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Jelas inisiatif dan kemudahan ini memberi penghargaan yang tinggi kepada sumba­ngan penjawat awam selama ini.

Jadi sewajarnya penghargaan ini diterjemah dengan sumba­ngan yang lebih bermakna de­ngan cara merealisasikan segala perancangan Bajet 2018. Secara umumnya bajet kali ini menyediakan pelbagai imbuhan dan kemudahan kepada segenap lapisan masyarakat baik di kampung mahupun bandar termasuklah untuk masyarakat Orang Asli. Jadi setiap perancangan ini perlu dilaksanakan dengan penuh teliti dan berhemah supaya sampai kepada golongan sasaran mengikut apa yang telah diumumkan.

Antara isu yang bakal mena­rik perhatian ialah peruntukan bajet untuk sektor pendidikan yang menjadi tulang belakang masyarakat dan negara. Misalnya peruntukan RM550 juta untuk Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan membabitkan pelbagai kategori sekolah di seluruh negara. Di samping itu peruntukan khas untuk sekolah daif sebanyak RM2.5 bilion juga disediakan dalam bajet kali ini. Maka diharapkan penjawat awam dari Kementerian Pendidikan dan agensi berkaitan perlu memastikan peruntukan besar seperti ini dibelanjakan dengan penuh berhemah dan memberi nilai kepada wang (value for money) supaya memperoleh ha­sil yang diharapkan.

Kita sedia maklum banyak sekolah yang memerlukan bantuan kewangan ini untuk menambahbaik kemudahan serta membaik­pulih struktur bangunan yang semakin uzur, maka eloklah di­segerakan proses penambahbaikan dan baik pulih tersebut. Malah pembinaan sekolah-seko­lah baharu yang telah diluluskan juga perlu disegerakan agar kita tidak menafikan hak rakyat untuk mendapat pendidikan.

Dalam pada itu bagi mengurangkan kos sara hidup dan me­ngurangkan budaya makan gaji kerajaan juga mengumumkan beberapa inisiatif berbentuk pinjaman kepada pelbagai lapisan rakyat untuk memulakan perniagaan mahupun menceburi bidang keusahawanan. Misalnya, kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk Program Pembangunan Keusahawanan Mara dan RM155 juta untuk program pembangunan kapasiti vendor, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) dan Skim Anjakan Usahawan.

Bagi kaum India pula diumumkan peruntukan tambahan se­banyak RM50 juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usa­ha Niaga (TEKUN) untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat India, manakala kaum Cina juga menerima peruntukan sebanyak RM30 juta di bawah Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia untuk memberi pinjaman kepada penjaja komuniti Cina.

Maka sekali lagi kita harap penjawat awam yang diamanahkan untuk menguruskan semua tabung pinjaman tersebut dapat melaksanakan tugas dengan bijak dan adil serta bertimbang rasa supaya bukan saja membantu menyalurkan pinjaman tanpa kerenah birokrasi tetapi perlu juga membantu dan membim­bing semua kelompok ini menjadi usahawan yang berjaya. Ini adalah tanggungjawab besar penjawat awam dalam membangunkan ekonomi rakyat negara ini.

Di samping itu langkah kerajaan yang meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat de­ngan mengekalkan kadar mak­simum RM1,200 juga wajar membuka peluang kepada penjawat awam untuk menilai segala kepincangan dan kelemahan yang ada selama ini membabitkan proses agihan BR1M tersebut. Antara rungutan rakyat ialah berlakunya keciciran nama serta terpaksa membuat rayuan, jadi diharapkan penjawat awam yang terlibat dalam proses agihan bantuan ini dapat berfikir di luar kotak supaya agihan pada 2018 ini dapat dibuat dengan lebih efisien. Ini penting kerana tujuh juta penerima BR1M meletakkan harapan tinggi kepada kelancaran proses agihan bantuan ini.

Banyak lagi yang diumumkan oleh kerajaan yang hampir semuanya menuntut sentuhan magis penjawat awam. Jadi apa yang diharapkan ketua-ketua jabatan akan memantau setiap projek dan program supaya semuanya dapat dilaksanakan dengan segera dan lancar. Semoga pemberian pelbagai insentif oleh kerajaan kepada penjawat awam boleh menjadi pendorong dan suntikan motivasi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).