Beliau datang semula pada 9 April lalu memenuhi undangan Kerajaan Negeri Terenganu bagi menyampaikan syarahan umum di hadapan rakyat negeri itu.
Kehadirannya kali ini berdepan dengan tentangan terbuka yang lebih keras oleh sesetengah pihak yang mencetuskan polemik besar, sekali gus memberi promosi meluas tentang tokoh itu dan mesej dakwahnya.
Berikut wartawan Mingguan Malaysia, WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan ROSALINDA MD SAID perturunkan beberapa petikan soal jawab antara pendengar dengan Dr. Zakir sepanjang empat sesi syarahan umum di  Terengganu.

Kristian baca al-Quran

Saya seorang Kristian. Saya kerap membaca surah dalam al-Quran termasuk al-Fatihah, tiga ayat Qul, ayat Kursi dan beberapa surah lain. Adakah saya tidak menghormati Islam?

DR. ZAKIR: Boleh saya bertanyakan beberapa soalan untuk memahami awak dengan lebih lanjut? Adakah awak percaya kepada Allah? - “Ya”. Adakah awak percaya Jesus bukan Tuhan? - “Ya”. Masha-Allah. Adakah awak percaya kerasulan Nabi Muhammad? - “Ya”. Bagi saya awak adalah seorang Islam. Muslim itu maksudnya seseorang yang menyembah Allah dan awak sudah masuk Islam.

Awak membaca al-Fatihah, tiga Qul, ayat Kursi malah mengakui Allah adalah satu-satunya Tuhan, sekiranya awak percaya dengan kesemua itu, pada saya awak adalah seorang Islam. Jadi adakah awak mahu mengucapkannya dalam bahasa Arab? Sebentar tadi awak sudah menyatakan dalam bahasa Inggeris. -Insya-Allah.(Zakir membimbing mengucap dua kalimah shahadah). Masya-Allah, awak kini adalah seorang Islam. Saya berdoa kepada Allah, semoga awak ditempatkan di syurga dan semoga melalui awak, dapat memberi petunjuk kepada rakan dan saudara-mara yang lain ke jalan yang diredai.

Persamaan Islam-Hindu

Ini adalah soalan daripada rakan saya yang berbangsa India. Dia merupakan peminat anda dan soalan yang ingin diajukan adalah perdebatan berterusan di Internet tentang persamaan antara Islam dan Hindu termasuk Kaabah-Kuil Kapaleeshwarar.

DR. ZAKIR: Jika kita mahu memahami agama lain, jangan melihat pada pengikut sebaliknya pada kitab. Sebagaimana saya hendak mengetahui tentang Islam, saya akan pergi kepada al-Quran dan hadis, begitu juga dengan Hindu menerusi Sruti dan Smriti. Saya sedia maklum ada banyak buku yang menyatakan persamaan antara Islam dan Hindu termasuk yang ditulis oleh Sri Sri Ravi Shankar. Bagaimanapun, tiada mana-mana kitab Hindu yang menyatakan Kaabah adalah Shiva Lingam.

Itu adalah andaian (Sri Sri Ravi Shankar). Jika awak bercakap tentang persamaan agama, buktikan dengan ayat pada kitab dan itulah yang saya lakukan. Tetapi ada sesetengah pihak dilihat cenderung membandingnya dengan perkara yang tidak berkaitan dengan Islam. Sebagai contoh, jika seorang Islam melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama dan ada pula penganut Hindu mengikut perbuatan itu, tidak bermakna ia adalah ajaran Islam. Jadi untuk membandingkan dua agama, bandingkan kitab-kitabnya dahulu. Dakwaan yang dibuat sesetengah pihak itu bagi saya adalah hipotesis semata-mata. Contoh yang awak kemukakan tadi tidak ada bukti.

Hindu mendakwa semua benda adalah Tuhan (everything is god) manakala, Islam pula menganggap seluruh alam ini adalah ciptaan Tuhan. Jika kita dapat menyelesaikan isu ini, saya yakin umat Islam dan penganut Hindu akan bersatu. Sekiranya awak menemukan sesuatu persamaan, carilah persamaan pada kitab dan jangan buat hipotesis kerana ia akan memberi kesan buruk terutama apabila menyentuh sentimen bangsa. Kita ke sini adalah untuk menyebarkan misi keamanan kepada semua agama. Beritahu kawan awak untuk menonton ceramah saya tentang persamaan Islam dan Hindu.

Cabaran pendakwah

Saya seorang penulis. seperti kita maklum, kunjungan Dr. ke negara ini amat dialu-alukan dan tidak kurang juga ada yang berpandangan negatif. Ini merupakan antara cabaran yang terpaksa dihadapi sebagai pendakwah. Jadi apa pendapat Dr. tentang situasi ini?

DR. ZAKIR: Semalam, tajuk berita di akhbar memaparkan cerita ceramah saya dibatalkan. Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih kepada Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) kerana memberi publisiti percuma kepada saya. Sekarang saya jangkakan jumlah hadirin yang besar kelak di sesi ceramah di Kuala Lumpur dan Melaka. Dakwaan mereka tidak benar. Ramai yang mencabar mereka datang ke ceramah saya malah kita akan meletakkan mereka di barisan hadapan dan memberi kelebihan kepada mereka untuk bertanyakan soalan pertama.Kalau saya seperti dikatakan, tidak akan menjalankan sesi soal jawab. Saya sukakan cabaran, jika ada berlaku kesilapan, saya akan mengakui melakukannya.

Perkara kedua yang membuat saya berterima kasih daripada situasi ini adalah kewujudan pihak musuh telah menyatukan Muslim. Apabila Hindraf dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berbuat demikian, secara tidak langsung memperkukuh hubungan antara parti memerintah iaitu UMNO dan pihak pembangkang, Pas yang bersama-sama menyelar tindakan mereka menyerang Islam. Bukan mudah untuk kita menyatukan orang Islam. Ada hikmah di sebalik serangan ini. Saya tahu ada dalam kalangan orang Islam tidak menyukai saya tetapi kita patut bersatu menerusi pendekatan bersetuju untuk tidak bersetuju. Saya percaya jika kita dapat menyatukan ummah walaupun hanya membabitkan sebilangan kecil, rasa terima kasih perlu dipanjatkan kepada Allah. Semoga Allah menerima usaha pendakwah seperti kami ini.

Bagi golongan yang fanatik ini, mereka sebenarnya tidak men­dalami agama mereka, jika ya sila nyatakan mana-mana ayat di dalam al-Quran yang saya tidak ikuti dan saya akan berterima kasih dengan pandangan itu. Setiap kali saya ke Malaysia, saya dapati jumlah hadi­rin makin bertambah begitu juga kecintaan terhadap agama suci Allah. Pertama kali saya ke Malaysia adalah pada 2006 dan sehingga kini sudah enam kali berada di sini, mungkin selepas apa yang berlaku saya perlu lebih kerap ke negara ini. Insya-Allah.

Mesej pada bukan Islam

Saya merupakan penganut Hindu. Saya diajar untuk menghormati semua agama dan bangsa. Saya telah mengikuti banyak siri ceramah video Dr. di Internet. Apa sebenarnya mesej utama yang ingin disampaikan kepada masyarakat bukan Islam?

Dr. ZAKIR: Saya juga menghormati semua agama dan bangsa. Apabila kita menghormati, kita tidak akan bergaduh. Misalnya ada yang sehingga bergaduh untuk membuktikan kitab agama masing-masing adalah kata-kata Tuhan. Saya beritahu mereka hentikan pergaduhan, sebaliknya mari kita ikuti persamaan-persamaan yang ada dalam semua kitab tersebut.Penyelesaian yang saya berikan itu adalah yang paling logik dan meyakinkan supaya kita bersetuju dengan setiap kesamaan yang wujud. Jika kita ingin mendalami sesuatu agama, cara terbaik adalah merujuk kepada kitab kerana bukan semua pengikut arif tentang kitab mereka sendiri.

Misalnya, apabila saya bertanyakan kepada penganut Hindu, berapa Tuhan mereka? Ada yang mengatakan tiga, ada pula menjawab beratus-ratus mahupun beribu-ribu tetapi jika saya rujuk pada kitab, jawapannya adalah hanya satu Tuhan yang wajib disembah, sama seperti yang terkandung dalam al-Quran.Saya mahu awak memahami dan mengikuti apa yang ada pada kitab awak dan kitab saya iaitu, al-Quran. Telah dicatatkan dalam kitab Vida, tentang kewujudan Narashansa. Nara dalam bahasa Sanskrit bermaksud manusia dan Shansa adalah yang terpuji.

Dalam al-Quran pula kita percaya bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Saya telah memberikan awak rujukan, jadi awak percaya hanya satu Tuhan yang wajib disembah? - “Ya”. Adakah penyembahan berhala perbuatan salah atau benar? - “Salah”. Adakah awak percaya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah? - “Ya”. Masya-Allah. Hanya dua perkara minimum yang diperlukan untuk bergelar Muslim iaitu percaya kepada Allah serta kerasulan Nabi Muhammad dan awak mengakuinya, jadi pada saya awak adalah seorang Islam. Mahukah anda mengucapkannya dalam bahasa Arab? Tadi awak tanya apa mesej yang ingin saya sampaikan, tujuan saya adalah agar awak dan saya menjadi satu serta menyembah kepada Pencipta. Saya berdoa kepada Allah untuk memberi petunjuk dan membuka hati awak agar kita akan bersama-sama hingga ke jannah.

Tentang ekstremis

Semakin ramai umat Islam terlibat dalam kumpulan ekstremis hingga menjejaskan perpaduan ummah, apakah penyelesaian terbaik untuk menangani isu ini?

DR. ZAKIR: Media melabelkan Islam sebagai pejuang pelampau. Saya juga adalah ekstremis tetapi ekstremis dalam mengikuti ajaran al-Quran. Kita boleh menjadi seorang ekstremis tetapi di laluan yang benar, tetapi ada dalam kalangan masyarakat yang fanatik. Saya adalah ekstremis tetapi bukan fanatik. Fanatik itu ada dinyatakan dalam surah An-Nisa ayat 171 iaitu "don’t commit an excessive in your religion". Sebagai Muslim, kita perlu mentaati segala ajaran Allah dan Rasul seperti yang terkandung dalam al-Quran. Tidak akan ada sedikit pun ajaran itu yang akan memesongkan anda daripada rasa kemanusiaan.

Mungkin ada sebahagian ajaran Islam yang membuatkan orang bukan Islam menganggapnya sebaliknya tetapi sebaik-baik sahaja diterangkan secara logik semua ajaran itu hakikatnya dilaksanakan demi kebaikan ummah. Sekiranya kita mentaati semua ajaran Yang Maha Esa, insya-Allah seluruh dunia akan aman. Saya ingin memberi satu contoh, ada yang mempersoalkan agama apakah ini yang menghukum potong tangan terhadap pencuri. Saya sudah ratusan kali ke Arab Saudi tetapi tidak pernah sekali pun melihat hukuman itu dilakukan ke atas rakyatnya. Ini kerana, undang-undang yang tegas menyebabkan seseorang akan berfikir berkali-kali untuk mencuri.