Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

KUALA LUMPUR, 3 Julai -- Datuk Misbun Sidek yang ditemui ketika

SIAPA yang tidak kenal Datuk Misbun Sidek? Bekas jaguh perseorangan badminton negara itu tidak payah diperkenalkan lagi kepada rakyat Malaysia. Bukan setakat peminat badminton mahupun sukan ta­nah air, rata-rata seluruh rakyat Malaysia bahkan di nusantara khususnya Indonesia, Brunei dan Singapura yang melalui zaman kegemilangan beliau pada akhir 80an kenal sungguh dengan lelaki kurus lampai ini.

Penulis antara ribuan peminat Misbun dan adik beradiknya. Namun dalam kalangan ‘anak-anak Sidek’ yang digelar ‘the famous five’ - iaitu Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid - Misbun paling penulis minati.

Justeru apabila baru-baru ini Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di bawah pimpinan baharu Datuk Seri Norza Mohd. Zakaria mengumumkan yang Misbun akan kembali ke pangkuan skuad negara bagi melatih pemain badminton perseorangan, penulis cukup teruja.

Penulis percaya ramai peminat yang seangkatan usia turut teruja. Mungkin sahaja ada yang sudah lama me­ninggalkan ‘gelanggang’ pun ikut mencari-cari berita tentang ‘kepulangan’ Misbun selepas enam tahun ‘menjauhkan diri’ dari kerusi jurulatih.

Ketika zaman kegemilangan anak-anak Sidek, penulis yang ketika itu masih belajar di sekolah berasrama di Ipoh, Perak, boleh dikatakan tidak pernah ketinggal­an mengikuti ‘secara langsung’ perlawanan badminton membabitkan beliau.

Bersama-sama rakan seasrama yang juga menaruh minat (malah ada yang menaruh hati) kepada Misbun, kami seboleh mungkin akan memastikan berada di hadapan radio transistor setiap kali perlawanan berlangsung. Lagak­nya seperti betul-betul menyaksikan perlawanan sebenar, kami akan berkerumun di keliling radio transistor, untuk memastikan tidak ada satu bunyi pun yang terlepas.

Daripada servis pertama, setiap kali beliau melakukan smash, dropshot dan permainan rally panjangnya yang menyesakkan nafas.

Ketika itu mata masing-masing terpaku ke satu arah - radio transistor - walaupun tidak ada visual tetapi kami seolah-olah dapat membayangkan apa yang sedang berlaku di gelanggang. Jangan salah faham, bukan tidak ada televisyen (TV) tetapi maklumlah ‘budak asrama’ bukan sewenang-wenangnya boleh menghadap TV. Ada jadual dan masanya.

Kebiasaannya perlawanan badminton berlangsung sebelah malam, dan kalau melibatkan kejohanan seperti Piala Dunia dan Piala Thomas, pasti berlarutan hingga lewat malam. Jadi jawabnya memang tidak ada peluang untuk kami menontonnya di TV.

Jika perlawanan berlangsung pada hujung minggu pula, iaitu masa yang dibenarkan menonton TV, kami yang ketika itu masih junior pasti akan ‘kalah’ dengan kakak-kakak senior yang lebih berminat menonton cerita Hindustan.

Kalaulah ketika itu kami dibenarkan menyaksikan perlawanan melibatkan Misbun di kaca TV, penulis tidak dapat bayangkan betapa riuh-rendah dan hingar suasananya. Sudah tentu penulis dan rakan-rakan terpaksa menghadap warden asrama.

Apa-apa pun di sebalik ‘kekangan’ itu, semangat kami untuk ‘menyaksikan’ perlawanan badminton bagi memberi sokongan padu kepada Misbun dan pemain negara yang lainnya tidak pernah luntur. Sebab itulah, radio transistor menjadi teman setia. Teman penulis, Yati, selaku pemilik radio transistor jika dalam kalangan kami pelajar tingkatan satu ketika itu popularitinya hampir menyamai Misbun.

Paling penulis ingat, perlawanan yang cukup mendebarkan sehingga ada rakan tergolek jatuh dari atas katil dua tingkat yang menjadi premis perhimpunan kami alias ‘gelanggang siaran langsung’ adalah ketika perlawanan akhir Piala Dunia 1982 menentang jaguh Indonesia, Lim Swie King.

Sebenarnya apa jua perlawanan menentang pemain Indonesia tidak pernah membuatkan kami senang duduk. Apatah lagi jika perlawanan berlangsung di ge­langgang lawan yang cukup terkenal dengan mistik yang digembar-gemburkan ketika itu iaitu Istora Senayan.

Namun perlawanan Misbun-Swie King dalam Piala Dunia 1982 tidak kurang pentingnya bagi kami kerana berlangsung di Stadium Negara. Harapan untuk menjulang piala ketika itu cukup tinggi. Kemenangan Misbun di set kedua membungakan lagi harapan. Insiden pelukan peminat Indonesia menambah suspen ketika Misbun nampak gagah membawa permainan ke rubber set. Sa­yangnya, Misbun tewas di set ketiga - menyaksikan rakan penulis yang terlebih kecewa tergolek jatuh dari katil dua tingkat.

Begitulah penangan badminton ketika era kegemilang­annya yang ketika itu diketuai oleh Misbun. Kehadiran Misbun dan anak-anak Sidek yang lain menyerikan kehidupan penulis dan rakan-rakan, bahkan ramai lagi anak kampung yang berangan-angan mencipta nama seperti lagenda dari Kanchung Darat, Banting ini.

Walaupun menjadi peminat Misbun, nama pemain lain seperti Foo Kok Keong yang membawa cabaran perseorangan kedua turut bermain di bibir penulis dan rakan-rakan, remaja sekolah ketika itu. Lebih-lebih lagi gandingan Razif dan Jalani Sidek yang jarang-jarang menghampakan peminat setia mereka. Demam badminton berterusan dengan kemunculan adik bongsu dalam anak-anak Sidek, Rashid.

Penulis percaya ramai lagi seperti penulis dan rakan-rakan seasrama yang meminati Misbun dan menjadikan bintang badminton ini sebagai idola. Justeru bukan pelik apabila kepulangannya ke pangkuan skuad kebangsaan, menjadi berita gembira yang mengembalikan nostalgia.

Harapan penulis dan sudah pasti juga doa para peminat sukan badminton tanah air, era kegemilangan 80an dan 90an dapat dihidupkan semula. Bukan di bahu Misbun seorang, namun pasukan BAM dan pimpinan sukan negara. Mudah-mudahan semangat mereka membara untuk memastikan Piala Thomas 2018 berada dalam genggaman.

Moga arena badminton negara kembali gempita de­ngan sorakan kemenangan.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain