Mior Arifin
MIOR ARIFIN

Masalah berlaku disebabkan faktor kegawatan ekonomi pada 1997, sekali gus menyumbang kepada peningkatan harga bahan mentah pembuatan plastik. Tidak mampu menampung kenaikan kos bahan mentah menyebabkan bisnes itu tidak dapat diteruskan, meskipun berjaya memperolehi tender dari sebuah kementerian.

Sejak itu Mior menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan membuat roti.

Namun untuk bangkit daripada kegagalan bukanlah sesuatu yang mudah, malah memerlukan banyak kekuatan mental dan fizikal. Apatah lagi Mior pada masa sama menerima notis tunggakan hutang yang hampir setahun tidak diselesaikan.

Bagi mengelakkan dirinya diisytiharkan muflis, dia terpaksa mengambil jalan alternatif iaitu membuat pinjaman dengan pemberi pinjaman segera sebanyak RM120,000. Dia terdesak berbuat demikian kerana tidak mahu berdepan dengan pelbagai kesukaran akibat bankrap yang akan menjejaskan kehidupan seharian. Apatah lagi, dia mahu membangunkan bisnes membuat roti yang diusahakannya sejak 1981.

“Dengan wang pinjaman itu, saya membayar hutang tertunggak sebanyak RM100,000 kepada pihak bank. Baki daripada jumlah itu, saya gunakan untuk membuka sebuah kafe.

“Sebelum ini, pengeluaran roti diusahakan bersama abang saya di bawah syarikat Roti Segar Malaysia Sdn. Bhd. Selepas abang meninggal dunia, nama syarikat ditukar kepada Roti Segar Mekar Enterprise pada 2003,” katanya,

Dari setahun ke setahun, perniagaan Mior semakin stabil dan berkembang maju. Mior bagaimanapun perlu membayar hutang kepada pemberi pinjaman segera sebanyak RM11,500 setiap bulan dalam tempoh sembilan tahun.

“Jika dihitung jumlahnya mencecah sehingga RM1.2 juta. Meskipun demikian, saya menerima hakikat bahawa saya perlu membayar faedah yang amat tinggi. Saya terpaksa berbuat demikian demi mengelak daripada diisytiharkan muflis kerana tidak mahu berhadapan kesulitan selepas itu. Apatah lagi, saya masih meneruskan perniagaan menghasilkan roti ketika itu.

“Apabila perusahaan membuat roti semakin baik dan kedudukan kewangan stabil, saya membuat pinjaman bank dengan meletakkan geran rumah sebagai cagaran bagi melangsaikan terus hutang pemberi pinjaman segera. “Menerusi hasil pulangan perniagaan, barulah saya berjaya membeli seekar tanah bernilai RM360,000 dan sebuah kilang bernilai RM350,000 pada 2010.

“Meskipun tidak mampu membayar sekali gus namun, saya bernasib baik kerana pemilik asal tanah membenarkan saya membuat pembayaran ansuran selama lima tahun tanpa dikenakan faedah,” katanya.

Kini Mior menarik nafas lega dan bersyukur apabila segala usaha dan penat lelahnya membuahkan hasil.

Setiap bulan dia memperolehi pendapatan kira-kira RM100,000 menerusi jualan roti, kek dan biskut di sekitar Kuala Kangsar, Perak. Pada musim perayaan pula, dia menerima permintaan tinggi menerusi jualan biskut dan kuih raya.

Dalam pada itu, Mior membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berminat menjadi ejen menjual biskut dan kuih raya. Untuk keterangan lanjut, boleh hubungi talian 05-7765136 atau mengikuti laman Facebook Roti Segar Kuala Kangsar.