Riak wajah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkopiah putih berjubah hijau memandang Ramli Mohd. Nor yang memperkenalkan diri seolah-olah Orang Asli dari suku Semai itu calon Pas.

Ops! Ramli yang mengangkat kedua-dua belah tangan itu calon Barisan Nasional (BN) lah.

Itulah kuasa tarikan gambar. Kalau dibaca reaksi Abdul Hadi yang redup tersenyum seakan merestui Ramli sudah membayangkan kira-kira 3,500 undi calon Pas di kawasan Parlimen itu tempoh hari (PRU-14) sudah pun menyeberang ke calon BN itu.

Benarlah sekeping gambar boleh menggambarkan 1,001 maksud. Ruangan ini turut memaparkan isu-isu yang mewarnai kempen selama 14 hari Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang menyaksikan pengundiannya esok.

Siapa pilihan 31,639 pengundi Cameron Highlands. Ramli atau M. Manogaran dari DAP - dua pilihan utama pengundi meskipun turut disaingi dua calon Bebas, Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.

Kalau Ramli terpilih, ini bermakna beliau menjadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama ke Dewan Rakyat. Nasib jika menyebelahi Manogaran pula akan menamatkan penantiannya sejak 2008 setelah dua kali percubaannya gagal menduduki kerusi Parlimen itu.

Selama dua minggu ini, semua maklum BN setakat pagi ini (Jumaat 25 Januari) bebas dari sebarang isu. ‘Tempias isu’ pun tidak mengenai Ramli.

Tetapi sebaliknya Pakatan Harapan seperti mana dimuatnaik dalam laman sosial serta media cetak dan elektronik tidak habis-habis dibadai isu. Satu persatu masuk menderu-deru, antaranya:

DUIT MINYAK

Baru masuk sehari dua kempen, sudah tular video memaparkan seorang wanita memakai baju T merah tertera jenama Pakatan Harapan menghulurkan wang yang kononnya kata team PH, ‘duit minyak’ kepada sukarelawan.

Lagi pelik bila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengatakan pihaknya menyiasat untuk mengenal pasti pemegang akaun Facebook dan individu yang terlibat dalam penyebaran aksi pemberian duit itu.

Yalah, orang yang agihkan wang tidak disiasat, yang menyebar perilaku sedemikian pula mahu dihambat.

Susulan itu bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh yang disabitkan petisyen pilihan raya sehingga kemenangannya dalam PRU-14 dilucutkan telah membuat laporan kepada SPRM. Dalam penghakiman kesnya telah disebut apa sahaja bentuk pemberian seperti duit minyak dan duit rokok boleh dianggap sebagai membeli undi.

Malah, dakwa Sivarraajh, dalam kes Cameron Highlands, Penasihat DAP Lim Kit Siang sendiri mengakui mengagihkan duit minyak kepada 60 orang pengikutnya pada kempen PRK berkenaan.

TOK BATIN DIUGUT

Ahli Dewan Negara, Senator Bob Ma­nolan Mohamad tiba-tiba bikin gempar apabila mengugut untuk melucutkan jawatan Tok Batin serta enggan membayar gaji mereka sekiranya tidak menyokong Manogaran. Selang beberapa jam selepas Bob Manolan menuding jari menyalahkan laporan berkenaan perkara itu, portal terbabit memuat naik rakaman audio sesi dialog beliau di Pos Betau.

Menerusi rakaman berdurasi 3 minit 12 saat itu, jelas apa yang diucapkan Bob Manolan selari dengan laporan awal disiarkan mengenai ugutan yang telah dibuat.

Bob Manolan dipetik memberitahu, Tok Batin dan juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) adalah dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan gaji me­reka antara RM900, RM1,000 dan RM1,200 bergantung kepada jumlah penduduk serta keluasan kampung.

“Jadi, Batin ini memang dibayar oleh Kerajaan Pusat, maka itu Batin kena sokong PH. Tidak sokong, kita buang.

“Mana-mana Batin yang tidak sokong kerajaan, kita tidak bayar gaji dia, betul! Jangan bayar gaji dia,” kata beliau menerusi rakaman tersebut.

GUNA ASET KERAJAAN

Tular di laman sosial mengenai penggunaan kenderaan jabatan kerajaan yang mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang oleh dua lelaki yang memakai baju PH untuk melakukan tugasan parti dalam kempen PRK ini.

Berdasarkan video itu, logo pada pintu kenderaan berkenaan bagaimanapun ditutup dengan bendera PH dan Jalur Gemilang, sebelum dikesan oleh beberapa individu lain.

TARIAN TWIST

Masih tidak reda lagi isu yang mengundang kontroversi kalangan masyarakat itu. Video berdurasi seminit 37 saat itu dipercayai dirakam semasa Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019 di Kota Kinabalu Sabah memperlihatkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Tommas menari twist mengikut rentak irama sebuah lagu Inggeris, Let’s Twist Again.

Selain Malanjum dan Tommy, turut kelihatan menari dalam majlis dipercayai dihadiri para pengamal undang-undang itu ialah peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim.

Insiden itu mengundang kritikan banyak pihak termasuk kalangan peguam sendiri yang menyelar tindakan individu-individu itu sebagai melanggar tertib budaya seorang penguatkuasa undang-undang.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan dalam WhatsApp yang dikirim kepada penulis tetap menganggap perilaku itu menyalahi etika perlakuan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara meskipun pakar undang-undang dari PH, Tan Sri Dr. Rais Yatim berpendapat sebaliknya.

Kelebihan BN?

PRK Cameron Highlands khususnya menampakkan pemimpin-pemimpin UMNO-Pas begitu serius menjalin komitmen tinggi ke arah mewujudkan persefahaman antara dua parti.

Kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengundi harus berusaha agar PH tidak lagi dapat menambah wakil DAP dalam Parlimen. Katanya, tiada janji daripada PH yang boleh dipercayai kerana janji dalam manifesto pun sehingga kini tidak tertunai.

“Pengundi Islam perlu mengutamakan calon sama agama dalam pilihan raya. Yang penting ialah prinsip dibawa itu tidak bercanggah dengan Islam,” kata Tuan Ibrahim yang giat berkempen untuk memenangkan Ramli.

Pas dipercayai masih mengenang sumbangan UMNO dalam membenarkan pembentangan RUU 355 atau Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.