Baguslah. Raikan demokrasi. Lagipun MIC kalah teruk dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, cuma menang dua kerusi Parlimen dari sembilan yang ditandingi. Untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, dari 18 kerusi, parti itu hanya terdaya tiga sahaja.

Maka menjelang hari penamaan calon parti itu Rabu 10 Oktober ini, disusuli pemilihan 20 Oktober, Tumpang lalu fikir elok saja MIC cari barisan wajah baharu untuk mengisi jawatan nombor dua, naib-naib presiden serta 23 ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC).

Ini demi membantu presiden yang juga baharu, Tan Sri S. A. Vigneswaran atau Viki yang sehingga kini belum buka mulut tentang hala tuju parti. Barangkali nantikan pemilihan selesai.

Tumpang lalu dimaklumkan, MIC begitu bertekad mahu mengembalikan semula sokongan masyarakat India. Untuk itu, buat pertama kali sistem baharu akan digunakan dalam pemilihan parti dengan semua cawangan mengambil bahagian dalam pengundian .

Seramai enam ahli jawatankuasa cawangan akan mengundi bersama Ketua Wanita, Pemuda, Puteri dan Puteri bahagian. Dengan lebih 4,000 cawangan dijangka mengambil bahagian, kira-kira 25,000 orang akan mengundi. Pemilihan lebih terbuka untuk sesiapa bertanding.

Timbalan Presiden

Tumpang lalu difahamkan, Ahli Parlimen Tapah yang juga Ketua MIC Wilayah Persekutuan, Datuk Seri M. Saravanan dijangka menang tanpa bertanding - meskipun khabar terbaharu menyebut ada seorang usahawan bergelar Tan Sri dari kem bekas presiden, Datuk Seri G. Palanivel akan menentang beliau.

Saravanan dipercayai mempunyai sokongan akar umbi. Beliau kalah tipis 17 undi kepada Datuk Seri SK Devamany pada 2015 - calon pilihan presiden MIC sebelum Viki, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam. Macam mana peluang Saravanan kali ini ya?

Difahamkan juga perebutan untuk tiga jawatan naib presiden dijangka sengit. Para pesaing jawatan ini antaranya disertai Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh; ADUN Jeram Padang, Negeri Sembilan, Datuk L. Manickam; bekas Timbalan Menteri, Datuk T. Murugiah; ahli CWC Madhu Marimuthu serta Pengerusi MIC Johor, Datuk M. Asojan dan Senator Datuk Dr. S. Ananthan. Penyandangnya, Datuk T.Mohan pula berundur.

CWC

Untuk jawatan-jawatan CWC, ramai yang diuar-uar bertanding di peringkat ini kini menukar haluan ke pemilihan peringkat negeri. Ia membuka peluang kepada lebih banyak muka baharu dalam politik MIC di peringkat jawatankuasa Pusat.

Bagi persaingan pemilihan peringkat negeri, Tumpang lalu difahamkan, MIC kembali ke format lama di mana pemilihan dilakukan di peringkat negeri untuk mengisi 10 jawatan. Dari 10 jawatan ini, presiden parti akan memutuskan penamaan bagi jawatan-jawatan negeri.

Apa pun, MIC memerlukan lebih dari pemilihan parti untuk survive pada pilihan raya umum ke-15 nanti. Terlalu banyak ‘lompang’ pada PRU lepas yang perlu disimenkan. Waktu itu kurang strategi politik, bahkan lebih banyak program melibatkan ahli parti, bukannya masyarakat India yang menjadi pengundi.

MIC juga terlalu mengharapkan UMNO akan deliver, dengan MIC sekadar tumpang semangkuk untuk menang. Juga, Tumpang lalu difahamkan lagi, pucuk pimpinan parti tidak mendengar pandangan akar umbi dalam pemilihan calon. Suara ketua bahagian MIC dan Ketua Barisan Nasional bahagian pun tidak diendahkan.

Beberapa kerusi di Pahang (Sabai) dan Melaka (Gadek) kalah tipis kerana kesilapan letak calon. Pilihan calon di Hulu Selangor hanya bersandarkan jawatan timbalan menteri yang disandang walaupun tidak digemari pengundi kawasan.

Ada kalangan orang MIC juga merungut apabila kerusi DUN Hutan Melintang, Perak dilepaskan atas desakan UMNO (yang kemudian menang) dan ditukar dengan kerusi tidak mungkin menang.

Dan lebih teruk lagi, strategi Subramaniam meletakkan sehingga lima orang untuk disenaraipendek sebagai calon PRU-14 di satu-satu kawasan menjerat diri sendiri.

Dianggarkan 50 peratus pengundi pada PRU-15 nanti daripada kumpulan Gen-y. Mampukah MIC dianggotai 600,000 ahli menarik minat mereka?

Janji kad pengenalan?

Manickam yang dihubungi Tumpang lalu kelmarin memberitahu:

“MIC kena berubah atau rebah. Parti ini perlu rebranding dan harus bawa banyak maklumat kepada masyarakat India supaya mereka lebih faham perjuangan kami.

Kata Manickam lagi, walaupun pada masa ini terdapat empat menteri Kabinet dari kalangan orang India namun belum nampak impaknya kepada masyarakat India.

“Dulu, seorang dua sahaja dalam Kabinet tetapi mereka terbukti telah perjuangkan kepentingan kaum India. Menteri yang ada sekarang kata akan selesaikan masalah kira-kira 300,000 orang India yang tidak ada dokumen (kad pengenalan) dalam manifesto 100 hari. Tapi sekarang dah masuk lima bulan.

“Usaha ini bukan libatkan kos yang tinggi, cuma daftar. Adakah ini suatu pembohongan? Kata timbalan menteri pula, ia tak ramai, jadi angka 290,000 ini ke mana pergi?

Murugiah pula menyatakan kepada Tumpang lalu, dirinya masih dihubungi dan didatangi masyarakat India untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Dahulu pembangkang selepas bagi statement (kempen), mereka tidur. Bila ditanya masyarakat India, mereka kata ‘kami tidak ada kuasa, pergi minta tolong pada MIC lah. Maka kami (MIC) sedar ada kesilapan dalam pendekatan MIC dahulu, kami sedang perbaikinya,” katanya.

Dalam pada itu, kata Sivarraajh, sekarang bukan masanya untuk berdebat, mempertahankan atau mengkritik kerajaan Pakatan Harapan.

“Sekarang, kita 80 peratus mendengar rintihan mereka (kaum India). Kerajaan terdahulu beri banyak peruntukan kepada agensi yang menjaga kepentingan kaum India, tapi rupa-rupanya bukan satu faktor yang menarik sokongan undi. Harapan mereka tinggi,” katanya.

Seorang lagi bakal calon Naib Presiden, Madhu memberitahu Tumpang lalu: “Mereka yang bertanding perlu tahu apa yang mahu mereka tawarkan untuk menjayakan parti.”

Meminjam kata-kata pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi: “Masa depan bergantung pada apa yang kita lakukan di masa sekarang.”

Dan jika MIC tidak membuat pilihan mengikut iklim politik semasa, hala tuju masa depannya pasti kelam.