Ini perhimpunan agung parti terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14. Diharapkan perhimpunan terbesar umat Melayu ini akan kembali lagi pada penghujung 2018 - dengan suasana gegak gempita dalam semangat roh kesyukuran setelah menggapai mandat rakyat.

Baju Melayu Berbutang Lima

Ada Juga Berbutang Suasa

Orang Melayu Jangan Lupa

Hilang Kuasa Hilang Semua.

Tumpang lalu memberi fokus khas isu-isu berikut yang barangkali boleh diambil sedikit renungan oleh para perwakilan yang bakal berucap dalam perhimpunan penting kali ini:

Isi ucapan

* Sebelum masuk gelanggang bawa usul atau bahaskan sesuatu isu, berlarilah dalam kepala apa yang wajar diucapkan.

Persoalannya, nak puaskan hati perwakilan dalam dewan atau rakyat di luar? Jangan syok sendiri.

Masalahnya ialah apabila orang lain yang tulis ucapan dan orang lain pula yang membacanya, kadangkala akan timbul kejanggalan.

Bak kata Presiden Abraham Lincoln: “In view of the inability of others to fathom my style and my thinking, i propose to write up and utter my own speech (Memandang­kan ketidakupayaan orang lain memahami gaya dan pemikiran saya, maka saya menulis dan meng­olah ucapan saya sendiri).

Soal ucapan adalah penting seperti pendapat pujangga Hamka: “Jika burung boleh dikenal dengan bunyinya, manusia dikenal dengan ucapannya.”

Calon baharu atau warlord?

* Sejarah biasa membuktikan, lagi lama seseorang itu berkhidmat, lagi banyak jasanya. Sementara pandangan ini mengandungi kebenaran, risikonya tetap ada. Lagi lama berada dalam sesuatu jawatan, lagi banyak kesilapan dan masalah yang timbul.

Orang keliling mungkin me­nyanjung saban hari dengan ung­kapan seperti “Datuk hebat...mesti sambung lagi (jadi calon). Namun, ada ketikanya seseorang penyandang itu berpuas hati de­ngan rekod “cukuplah saya telah tunaikan tanggungjawab memupuk ‘benih baharu’ supaya menjadi pokok rendang yang menaungi perjuangan.”

Ada rakan-rakan exco sayap parti mengadu kepada Tumpang lalu, kenapa si polan tidak membalas budi setelah dia menduduki kuasa? Mereka ambil iktibar daripada usaha wakil rakyat tertentu yang membantu orang lain menaiki jenjang kuasa, sedangkan individu ber­kenaan lupa jasa orang.

Hai! alur su­ngai lagikan ber­ubah, inikan pula hati orang.

Bila kawan jadi lawan

* Dulu kawan, kini jadi lawan sebenarnya tema yang dialami oleh orang politik. Lantaran politik tiada Pe­rintah Amnya seperti yang ada pada penjawat Perkhidmatan Awam kerajaan, banyak pemimpin akhir­nya bertembung dengan mereka yang dulunya kawan mereka atau penyokong mereka.

Dalam sejarah UMNO, tiada hubungan akrab yang lebih nyata antara Perdana Menteri dan timbalannya daripada hubungan Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Mula-mula dari lawan jadi kawan, kemudian dari kawan bertukar lawan, akhirnya jadi kawan semula (Ikhlaskah?).

Anwar sudahpun separuh berjaya mengetepikan junjung yang me­negakkan sirih yang membawanya ke julangan tinggi. Pertembungannya dengan Dr. Mahathir akan sentiasa menjadi annal terhebat dalam kumpulan tragedi politik tanah air.

Hakikatnya, tiada yang kekal dalam politik kecuali isu dan perjuangan.

Telinga terlalu nipis?

* Dalam politik sebenarnya daya tahan amat penting sekali. Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur, mudah melenting.

Reaksi terhadap cakap orang atau penyampaian ‘orang kita’ perlu ditapis dan dihalusi sebelum diterjemahkan kepada tindak balas.

Seseorang yang memegang jawatan kanan perlu cermat dan hati-hati dalam serba-serbi, termasuk kenyataan kepada media atau pandangan semasa berce­ramah. Ada belaka padahnya yang buruk.

Hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca. Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang harus tidak dibuat kerana nanti orang akan nampak. Atau orang akan mudah bertindak balas. Lalu dikatakan, penghuni rumah kaca jangan buang batu, nanti apabila orang membaling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.

Persepsi?

* Seorang penulis, Stan Moore menukilkan: “Hanya kerana kebenaran tidak kelihatan, tidak bermakna hal itu palsu. Hanya kerana kenyataan tidak dirasai, tidak bermakna perkara itu tidak wujud”.

Ini maknanya persepsi. Tetapi apa yang rakyat melihat dan mendengar itulah yang dicakap­kan. Jadi, persepsi harus dita­ngani dengan cermat dan bijaksana oleh sesuatu pihak yang ingin menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Cuma, sebahagian orang UMNO mengambil sikap tidak menjawab. Atau, menjawab dan mengambil sikap secara defensif.

Dikhuatiri nanti, semacam ada satu jurang antara imej pre­siden, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan UMNO. Secara individu, Najib bekerja kuat untuk membentuk imejnya sendiri, memperbaiki imejnya dalam kalangan orang muda, memperbaiki caranya untuk bergaul orang muda, membuat tweet dan bergaya spor­ting macam orang muda.

Beliau bekerja bersungguh-sungguh sebagai seorang yang mempunyai visi dan kreativiti dalam menguruskan negara, menunjukkan kesungguhannya untuk berjumpa dengan semua kaum dan kumpulan masyarakat kita hari ini.

Menunjukkan bahawa boleh dilakukan usaha pemulihan imej sekiranya ada langkah-langkah teratur untuk memperbaiki imej seseorang pemimpin itu sendiri.

Sedangkan dalam strategi politik apa yang harus dilakukan pihak UMNO ialah parti itu harus me­nyerang pihak yang menyerangnya.

Ini memang ‘seni’ pakatan pembangkang. Juak-juak ini se­ring kali berlagak sinis dan membuat lawak jenaka terhadap ucapan-ucapannya sendiri sehingga membuatkan orang tergelak.

Mesej yang menyebabkan orang ketawa ini mudah diterima oleh sebilangan orang walaupun se­ra­ngan yang begitu keterlaluan dan bertubi-tubi ini sudah banyak kali didengar oleh masyarakat.

Pertahankan UMNO, ag­re­­­siflah...

* Terlalu banyak jasa UMNO terutama dalam memperjuangkan kemerdekaan.

Ketika Pemuda UMNO mencadangkan slogan Hidup Melayu ditukar kepada Merdeka pada 1951, bukan sahaja sindiran dilemparkan malah ejekan dan penghinaan diterima oleh UMNO da­ripada pem­besar-pembesar Me­layu sen­diri.

Ada pihak berpendapat ba­gaimana mahu merdeka sedangkan ‘buat sebatang jarum pun tak tahu’.

Suatu ketika semasa menentang Malayan Union pada 1946, pejabat penerangan kerajaan Inggeris menampal poster di kampung-kampung dengan gambar seorang haji memakai serban memegang tali teraju layang-layang berbentuk kubung (sejenis binatang seakan-akan kelawar atau keluang).

Tangan kanan haji itu meme­gang teraju ditulis dengan perkataan huruf besar ‘siapa pegang teraju’. Itu sindiran yang amat tajam orang Melayu tidak layak memegang teraju.

Ertinya tidak ada rupa orang Melayu hendak menentang Malayan Union dan kerajaan Inggeris yang gagah perkasa.

Demikianlah penghinaan kepada orang Melayu apabila digambarkan sebagai seorang haji itu adalah orang Melayu meme­gang teraju layang-layang kubung, tetapi sebenarnya ialah Inggeris sendiri.

Bagi jabatan propaganda itu hanya Inggeris sahaja layak mentadbir negara ini.

Selamat bersidang para perwakilan UMNO!...harus berbisa kali ini.