Kelantangan Jamal mengkritik Mohamed secara terbuka dikatakan sebagai salah satu sebab mangsa dibunuh namun terdapat satu petunjuk iaitu mesej WhatsApp yang telah digodam melibatkan mangsa dengan rakannya, Omar AbdulAziz.

Melalui mesej itu mangsa menggelar Mohamed sebagai ‘binatang’ malah Jamal merancang untuk menggerakkan golongan belia menentang propaganda Arab Saudi melalui penubuhan ‘tentera elektronik’.

Berdasarkan mesej berkenaan yang turut didedahkan oleh Omar kepada CNN, Jamal mencetuskan idea untuk menubuhkan satu komplot digelar ‘lebah siber’.

Salah satu agendanya adalah menghantar kad SIM asing kepada penentang-penentang kerajaan di Arab Saudi agar mereka boleh bertukar-tukar mesej tanpa dikesan.

Omar ialah seorang aktivis, menetap di Kanada selepas melarikan diri dari Arab Saudi turut memaklumkan, Jamal berjanji akan membayar AS$30,000 (RM125,278) untuk melaksanakan rancangannya itu.

Malah mangsa turut menggelar Mohamed sebagai pac-man, satu karakter dalam permainan video yang suka menelan mangsanya.

“Kekejaman tidak mempunyai logik, tetapi beliau (Mohamed) suka memaksa, menekan malah suka menunjukkannya. Beliau seperti binatang pac-man, lebih banyak mangsa yang ditelan, lebih banyak yang diinginkan.’’

“Saya tidak terkejut jika penindasan itu akan dilakukan terhadap mereka yang menyokongnya, seorang demi seorang,’’ menurut salah satu mesej Jamal kepada Omar.

Omar percaya kesemua mesej itu telah digodam pada Ogos lalu oleh pihak berkuasa Arab Saudi iaitu dua bulan sebelum pembunuhan Jamal.

Malah mesej itu adalah antara lebih 400 mesej yang dihantar antara kedua-dua rakan itu dalam tempoh setahun.

Kata Omar selepas telefonnya digodam, dia menerima mesej daripada pihak berkuasa Arab Saudi yang mendakwa mereka telah melihat mesej antara kedua-duanya.

Dia kemudian memaklumkan kepada Jamal tentang mesej itu dan mangsa membalas balik dengan menulis `semoga Tuhan membantu kita’.

Omar mengakui dihantui rasa bersalah kerana percaya Jamal dibunuh selepas telefonnya digodam.

Dia sendiri telah memfailkan saman terhadap sebuah syarikat milik Israel, NSO Group yang mencipta perisian yang dipercayai telah menggodam telefonnya.

Pada masa sama, rakan Jamal, wartawan John Bradley percaya Arab Saudi bimbang mangsa telah menjadi aset penting kepada Amerika Syarikat (AS).

Jamal adalah antara pakar politik terkenal di dunia Arab dengan lebih dua juta pengikut dalam Twitter miliknya.

Awal tahun ini, Jamal menubuhkan sebuah parti politik baharu di AS yang dikenali sebagai Demokrasi untuk Dunia Arab.

Beliau dikatakan lebih cenderung kepada politik Islam dan ‘tidak meminati demokrasi majmuk ala Barat’.

Malah Jamal pernah mendesak Mohammed menerima kebangkitan politik Islam berbanding demokrasi Barat. Namun tindakannya menolak tawaran pulang ke Arab Saudi dengan jawatan Penasihat tidak dapat diterima oleh Mohammed malah dikatakan telah menjatuhkan air muka Putera Mahkota itu.