Namun Rahana mendapat perhatian apabila tindakannya membidas calon Pakatan Harapan, M. Manogaran berkaitan dengan janji menarik perhatian ramai. Video ketegasan wanita tersebut menjadi tular.

RAHANA HASSAN
RAHANA HASSAN 

Meneliti satu persatu hujah Rahana ketika ditemuramah oleh wartawan Utusan Malaysia, Abdul Rashid Abdul Rahman pada Rabu lalu, hakikatnya ada mesej yang harus diteliti oleh ahli-ahli politik terutamanya pemimpin Melayu dan kelompok yang bergelar wakil rakyat.

Berikut kupasan penulis berdasarkan hujah Rahana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada Khamis lalu dan utusan.com.my:

  • Bercakap benar dan 
 berterus-terang

Sudah ramai ahli politik yang kini sudah tidak pandai lagi bercakap benar. Mereka hanya bijak ‘bersilat lidah’ untuk memperdayakan rakyat. Pelbagai janji mereka taburkan tetapi tidak ditunaikan. Bercakap benar seolah-olah sudah semakin terhakis dalam sanubari sesetengah ahli politik. Mereka berhujah hanya berdasarkan kepada kepentingan politik masing-masing.

Di hadapan rakyat macam-macam mereka berjanji selain tuduhan kepada musuh politik bagaikan ia satu kebenaran yang tidak boleh dinafikan, tetapi hakikatnya kebanyakannya hanyalah fitnah dan pembohongan.

Lebih memalukan, ada ahli politik yang tidak berani bercakap benar dan berterus-terang terutamanya melibatkan kebaikan yang pernah dilakukan oleh musuh politik mereka. Kesudahannya rakyat diperdaya. Mereka kononnya digambarkan perlu keluar daripada mulut harimau, tetapi apabila sudah keluar mereka kini bagaikan berada dalam mulut buaya.

  • Sikap pemimpin hanya 
 datang untuk raih undi

Ini adalah ‘penyakit’ ahli politik yang bergelar wakil rakyat. Apabila dekat pilihan raya barulah hendak menjenguk rakyat di kawasan masing-masing. Ketika berkempen, sampai ke dapur rumah pengundi dikunjungi tetapi apabila sudah menang, ‘batang hidung’ sebulan sekalipun susah hendak tengok.

Justeru hujah Rahana adalah satu kebenaran kerana rakyat tidak seharusnya ‘diperalatkan’ hanya semata-mata untuk meraih undi bagi mendapat kuasa dan apabila kemenangan sudah dicapai dan kuasa dimiliki, rakyat ditinggalkan begitu sahaja.

  • Melayu bagaikan 
 merempat di tanah 
 air sendiri

Luahan Rahana berhubung perkara ini tidak dapat dinafikan sama sekali. Mungkin perkataan ‘merempat’ nampak keterlaluan tetapi secara halusnya itulah yang berlaku kepada orang Melayu sejak pilihan raya umum lalu.

Akibat keghairahan untuk menjatuhkan sesama sendiri kononnya atas alasan menegakkan kebenaran akhirnya kuasa politik Melayu menjadi lemah. Orang Melayu berpuak-puak sehingga ada antara mereka sanggup ‘menyembah’ dan ‘mengemis’ kepada pihak lain asalkan matlamat politik tercapai.

Tetapi sekarang apabila impian itu sudah tercapai, apakah nasib orang Melayu jauh lebih baik berbanding dahulu? Adakah nasib orang Melayu semakin terbela? Apakah orang Melayu terus diberi keutamaan sebagai bangsa majoriti di negara ini? Jawapannya semua orang tahu.

  • Jasa bekas anggota 
 tentera dilupakan

Inilah adalah fakta. Masih banyak lagi veteran tentera yang hidup merempat, biarpun merekalah yang menjadi pejuang memerdekakan tanah air, mereka inilah yang mengorbankan keringat, air mata dan darah demi mempertahankan bumi Malaysia tercinta ini.

Tetapi malangnya mereka semakin dilupakan. Kutipan untuk Hari Pahlawan pun tidak banyak mana. Keadaan itu berlaku kerana ahli politik sendiri tidak pernah berusaha bersungguh-sungguh untuk membela nasib bekas anggota keselamatan.

Kajilah berapa ramai ahli keluarga mereka seperti Rahana yang hidup dalam serba kekurangan, tetapi adakah ahli-ahli politik menyedari perkara ini?

  • Tidak takut kerana 
 bukan pengkhianat

Semangat Rahana ini sudah pasti tidak ada dalam kalangan majoriti ahli politik. Seperti mana kata warga emas itu, dia hanya menyatakan kebenaran demi membela nasib bangsa dan masa depan anak cucu kita. Tetapi berapa ramaikah ahli politik yang mempunyai sikap seperti Rahana?

Apa yang kita saksikan sekarang semakin ramai ahli politik yang menjadi ‘pengkhianat politik’ kepada amanah yang diberikan oleh rakyat demi kepentingan politik masing-masing. Lihat sahaja perbuatan melompat parti, tidakkah itu boleh dianggap satu pengkhianatan kepada kepercayaan rakyat yang mengundi mereka?

Pengkhianatan tersebut bukan sahaja berkisar kepada orang yang melompat malah yang menyokong atau menerima kelompok tersebut juga boleh dianggap melakukan ‘dosa’ yang sama.

Kesimpulannya, dalam kalangan rakyat sudah pasti masih ramai lagi seperti Rahana, tetapi dalam kalangan ahli politik belum tentu ada yang memiliki naluri seperti Rahana! Betul atau tidak? Fikirlah sendiri!