Sebahagian menamakan sebagai ‘Himpunan Bantah ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum)’. Ada juga yang menamakannya sebagai ‘Himpunan Kesyukuran Penolakan Ratifikasi ICERD’. Pokok pangkalnya, ia berjaya mencantumkan jutaan pemikiran rakyat untuk berhimpun di atas landasan pemikiran sama.

Ada tulisan nakal yang menganggap perhimpunan tempoh hari sebagai usaha ‘kaum UMNO-Pas’. Ini cara dan modus operandi biasa mereka untuk mewujudkan persepsi dan gambaran buruk. Hakikatnya, majoriti yang hadir tidak membawa semangat politik, tetapi perjuangan ikhlas demi agama dan bangsa. Langkah memberi persepsi buruk ini adalah usaha yang dangkal.

Di pihak kerajaan, kegagalan dan keengganan kerajaan meneruskan serakah dan kecuaian meratifikasi ICERD mendatangkan respons yang rencam dalam kalangan pendukung mereka.

Wujud nada kecewa. Ada nada kesal. Tidak kurang juga yang membayangkan ia satu ‘langkah ke belakang’ di dalam usaha Malaysia menerima kayu ukur baharu dalam prinsip keterbukaan dan kesamarataan.

Bakal Perdana Menteri, Ahli Parlimen Port Dickson tidak terkecuali - walaupun mendukung keputusan kerajaan; ada intonasi kekesalan yang teramat sangat dengan keputusan kerajaan. Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang juga merupakan pemimpin utama DAP, turut menyatakan rasa kekesalan dan kekecewaan.

Daripada respons beberapa orang pemimpin utama Pakatan Harapan (PH), kita boleh mengagak dan membuat andaian bahawa keengganan kerajaan meneruskan usaha ratifikasi ICERD bukanlah berasaskan ‘konsensus jitu’ di dalam pakatan politik mereka.

Walaupun ‘rumah siap, pahat masih berbunyi’, selaku Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai ‘kuasa khas’ dalam membulatkan pandangan kerajaan dan PH.

Tidak ada apa yang mahu dikesalkan dengan tindakan Dr. Mahathir ini. PH itu sendiri berasaskan kerjasama dan ideal politik yang gedoboh dan loloh. Tidak pernah ada kejituan. Yang ada dan terwujud hanyalah kerjasama politik yang membolehkan mereka ‘berkongsi kuasa’ berasaskan mandat rakyat.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga menikmati kesan positif di sebalik himpunan kesyukuran, Sabtu lalu. Kesan positif? Ya, Bersatu juga menikmati tempias laba yang menguntungkan mereka.

Kejayaan himpunan yang baru lalu memberikan PPBM locus standi untuk meletakkan ‘nama’ dan ‘kedudukan’ mereka yang lebih perlu dihormati dalam PH.

Secara peribadi, penulis terdengar sebahagian pimpinan kanan Bersatu bersorak gembira di atas kejayaan himpunan besar umat Melayu-Islam. Kepada Bersatu, mereka mempunyai alasan mengingatkan PH, bahawa suara kepentingan Melayu-Islam mesti didengari dengan lebih santun.

Sememangnya, masa hadapan Bersatu akan banyak bergantung kepada sokongan pengundi Melayu-Islam.

Anti-ICERD Berasaskan Mitos?

Walaupun demikian, sudah timbul suara-suara dalam kalangan pimpinan senior PH yang menganggap tindakan kerajaan sebagai satu langkah ke belakang.

Tegas Lim Kit Siang, “...wawasan Malaysia Baharu masih boleh dikalahkan sekiranya oportunis politik dan para desperado dibiarkan mengeksploitasi politik kebohongan, kebencian kaum dan agama”.

Cukup ironi apabila kebangkitan orang Melayu dan umat Islam sering dikaitkan dengan kumpulan oportunis dan desperado. Kit Siang sendiri sebenarnya masih mempunyai wahana pemikiran lama yang tidak mampu melihat sesuatu secara positif.

Alasan

Apakah segala macam demonstrasi yang dilakukan Bersih selama ini - bukan berasaskan keterdesakan dan oportunis untuk mendapat kuasa? Apakah Bersih tidak berdemonstrasi di atas landasan ‘mitos’ bahawa pilihan raya di Malaysia penuh dengan elemen penipuan dan ketidakadilan?

Sudah tiba waktu, orang lama seperti Kit Siang tidak terus rabun dengan kehendak dan ideal politik kesamarataan yang keterlaluan. Keputusan pilihan raya 9 Mei 2018 tidak memberikan lesen gadang untuk Kit Siang dan mereka yang sealiran dengannya untuk menerobos isu dan perkara yang cukup sensitif kepada orang Melayu.

Ya, Kit Siang mungkin boleh memberi contoh berkenaan negara Islam dan monarki yang menerima dan meratifikasi ICERD. Kita juga maklum akan keadaan itu. Namun ratifikasi ICERD dan konvensyen berkait hak asasi yang lain - boleh dilakukan apabila rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Masa dan detik itu masih belum tiba. Kit Siang wajar menerima hakikat itu.

Sama ada suasana akan berubah selepas YB Port Dickson ambil alih pentadbiran nanti, kita serah kepada kebijaksanaan mereka. Kita pasti, akan ada perubahan dan peralihan pemikiran; mungkin ratifikasi ICERD akan timbul sekali lagi dalam kerangka perdebatan nasional.

Siapa tahu, akan tiba ketika majoriti orang Melayu dan beragama Islam sudah boleh bersikap terbuka dengan ICERD dan kewajaran meratifikasinya.

Kemungkinan itu tetap ada, apatah lagi apabila debat nasional nanti diterajui oleh mereka yang terkenal sebagai politikus flamboyant yang mampu membulatkan pandangan rakyat.

Kepada UMNO dan Pas, ini bukan soal peluang dan keterdesakan politik. Membulatkan suara rakyat untuk menolak ratifikasi ICERD ini selari dengan kehendak orang Melayu dan umat Islam.

Mereka berasa khuatir ICERD akan memberi kesan langsung kepada Perlembagaan dan perkara-perkara yang akrab kepada kepentingan orang Melayu.

Berasaskan suasana politik semasa dan mutakhir ini, masyarakat pada dasarnya berasa cukup tertekan dengan kelemahan pentadbiran kerajaan. Kos sara hidup tidak berubah. Inflasi akan meningkat.

Jaringan keselamatan sosial semakin menyempit. Keputusan kerajaan berbolak-balik - seperti yang berlaku dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Menteri masih hidup dalam ‘buih syok sendiri’, malah memberikan ‘markah’ dan tidak malu dan silu memuji diri sendiri.

Himpunan tempoh hari selari dengan idealisme Malaysia baharu. Yang tidak selari dengan Malaysia baharu adalah tindakan dan kelemahan sebahagian Pak Menteri yang mempunyai pencapaian cukup sederhana.

Mereka gagal bukan sahaja merencana strategi dan matlamat pengkhususan kementerian yang lebih baik, malah selalu menyanggah keputusan sendiri.

Jangan gunakan himpunan sebagai alasan untuk mengatakan kerajaan tunduk kepada gerakan konservatif dan kolot. ICERD bukan perlambangan kemajuan Malaysia dalam hak asasi.

Malahan, kita boleh mengatakan pencapaian Malaysia sudah melangkaui apa yang mahu dihajatkan ICERD - jika ia merujuk kepada akses ekonomi dan kesamarataan layanan dalam ikhtiar ekonomi kerajaan.

DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah Ahli Parlimen Kepala Batas.