Ini bukan kudeta kali pertama berlaku di Turki malah negara tersebut pernah mengalaminya beberapa kali iaitu pada 1960 di­ikuti 1971, 1980, 1997 namun ba­nyak pihak menyifatkan malam 15 Julai 2016 itu adalah terburuk.

Sungguhpun begitu cubaan menggulingkan kerajaan yang sah pada malam tersebut turut melakar satu sejarah besar bagi Turki apabila rakyatnya tanpa rasa gentar turun ke jalanan untuk menyertai pasukan polis dan tentera yang masih setia dengan kerajaan pimpinan Erdogan.

Segala-galanya bermula selepas Erdogan berjaya menghebahkan kepada rakyat Turki tentang apa yang berlaku melalui Facetime. Dalam mesej tersebut Erdogan meminta rakyat turun dan menghalang kemaraan pihak pemberontak yang didalangi oleh kumpulan pengganas Fetullah Gulen (Feto) daripada terus me­lakukan rampasan kuasa.

Selepas menerima mesej daripada Erdogan, rakyat Turki secara beramai-ramai terutama di Istanbul telah bertindak nekad tanpa senjata untuk berhadapan dengan pihak pemberontak berkenaan. Umum mengetahui ketika cubaan rampasan itu berlaku, pihak tentera pemberontak dilengkapi dengan kereta kebal dan pesawat pejuang.

Tanpa mengira latar belakang, jantina, usia dan pendirian politik, rakyat Turki bersatu menentang pemberontak demi mempertahankan kerajaan yang telah dipilih secara demokrasi walaupun sedar nyawa mereka menjadi taruhan ketika itu.

Dengan berbekalkan semangat perjuangan dan patriotisme yang begitu tinggi, mereka mengorak langkah tanpa sedikit pun rasa takut asalkan demokrasi di Turki tidak terus menjadi mangsa oleh gerakan kudeta.

Ada yang berbaring di tayar besi kereta kebal pihak pembe­rontak, ada yang terpaksa meredah lokasi yang dihujani dengan peluru dan ada yang menjadi mangsa bom pihak pemberontak. Untuk rekod sebanyak 250 orang awam terkorban pada malam tersebut dan beribu-ribu cedera demi mempertahankan maruah demokrasi Turki.

Apapun pengorbanan wira-wi­ra Turki itu tidak sia-sia selepas pihak pemberontak gagal menggulingkan kerajaan setelah pihak polis dan tentera yang setia de­ngan kerajaan sambil dibantu tindakan berani beribu-ribu rakyat berjaya mematahkan serangan mereka khususnya di Jambatan Bosphorus, Istanbul.

Erdogan sendiri pada malam tersebut berada dalam kea­daan sungguh cemas apabila beliau membuat keputusan untuk terbang pulang dari Marmaris meskipun cukup sedar bahawa nyawa beliau dan keluarganya sentiasa terancam.

Hakikatnya, masa depan demokrasi di Turki sungguh genting pada malam itu. Mahu tidak mahu kuasa rakyat dan anggota keselamatan yang masih setia dengan Erdogan perlu berjuang habis-habisan bagi memastikan demokrasi di Turki tidak terkubur.

Akhirnya cubaan rampasan kuasa itu oleh pihak pemberontak itu berjaya dipatahkan dengan menyaksikan begitu ramai rakyat terkorban serta tercedera semata-mata mahu mempertahankan demokrasi di negara berkenaan.

Tidak dinafikan kejayaan itu memberikan 1,001 pengertian buat kerajaan dan rakyat Turki. Rupa-rupanya kuasa dan sema­ngat rakyat adalah satu perkara yang amat hebat. Walaupun hanya berbekalkan tangan kosong, tidak mustahil musuh yang dilengkapi dengan pelbagai senjata termasuk kereta kebal mampu dikalahkan.

Paling menakjubkan kerelaan mereka mempertahankan sistem demokrasi serta pemerintahan Erdogan meskipun ke peringkat nyawa masing-masing menjadi taruhan.

Berbalik kepada peristiwa 15 Julai 2016, kerajaan Turki kemudian mengumumkan tarikh tersebut sebagai hari sambutan memperingati kegagalan kudeta merampas kuasa daripada kerajaan yang sah dan untuk tahun ini mereka telah menganjurkan sambutan itu secara besar-besaran buat kali kedua di Jambatan Bosphorus, Istanbul.

Signifikan lokasi itu dipilih adalah kerana jambatan itu menjadi tempat bermulanya serangan tentera pemberontak dan di jambatan itu juga menjadi saksi gugurnya wira-wira terutama dalam kalangan orang awam mempertahankan kerajaan dan maruah demokrasi di Turki.

Penulis sendiri menyaksikan jutaan rakyat membanjiri jambatan itu pada 15 Julai lalu sempena u­lang tahun kedua peristiwa hitam tersebut. Mereka seolah-olah berada dalam kelompok besar gelombang merah apabila masing-masing mengibarkan bendera merah Turki dengan penuh semangat sambil menyanyikan lagu patriotik.

Semuanya ini adalah untuk mengenangkan keberanian 250 rakyat Turki yang terkorban pada malam kejadian antaranya seperti Halit Gursel, Halit Yasar Mine, Ismail Kefel, Kamal Elasi dan Izzel Ozlam. Sememangnya cukup beremosi apabila nama-nama pejuang ini disebut satu-persatu sambil rakyat yang hadir menyebut ‘anda bersama kami’.

Lautan manusia itu langsung tidak berganjak sehinggalah tiba acara kemuncak iaitu ucapan yang disampaikan oleh daripada Erdogan. Getaran suara Erdogan cukup menggambarkan betapa beliau bangga dengan semangat pahlawan yang ditunjukkan oleh rakyat Turki.

Beliau menyifatkan rakyat Tur­ki sebagai pahlawan meskipun terpaksa berhadapan dengan pihak pengkhianat yang dilengkapi dengan pelbagai senjata moden. Rakyat Turki langsung tidak menunjukkan rasa takut dan gentar sebaliknya mereka berjaya membuktikan kepada dunia bahawa mereka adalah pejuang demokrasi sejati.

“Rakyat Turki bukan setakat menumpaskan cubaan rampasan kuasa malah berjaya menyelamatkan maruah dan reputasi demokrasi seluruh dunia,” kata Erdogan.