Bukan kerana ia berita tidak benar. Tetapi kerana hakikatnya semua mengetahui, tarif elektrik disemak setiap enam bulan. Jadi lega sekarang, akan kembali berdebar-debar enam bulan lagi. Tidaklah lega mutlak.

Namun, lagi teruk harga minyak. Setiap Rabu kita tunggu pengumuman dalam WhatsApp. Kalau harga naik, kongsi beribu kali. Bila harga turun, senyap dan sunyi.

Dalam era Internet ini, serba-serbi kehidupan kita semakin bergantung berat terhadap elektrik. Telefon anda tidak jadi pintar tanpa elektrik untuk mengecas bateri. Bayangkan semasa anda menggunakan tandas, elektrik tiba-tiba padam. Seksanya boleh mengakibatkan air mata berlinangan. Pernah terjadi.

Sebagai pengguna sama seperti anda, tarif elektrik sekarang memang menyeramkan. Lagi banyak pakai, lagi tinggi bil. Penyumbang besar kepada bil elektrik ialah pendingin hawa. Cuaca negara ini tidak menyebelahi kita. Panas terik dirasai seawal 10 pagi. Sama ada di rumah atau pejabat, tiada siapa mahu ketibas (ketiak basah), maka pendingin hawa dihidupkan.

Kita perlu belajar dan mengubah suai gaya hidup dalam suasana kos kehidupan yang kelihatan sulit hendak turun. Sudah tahu pendingin hawa meragut bil tinggi, cuba kurangkan penggunaannya. Bukan pasang 24 jam.

Ramai juga yang gila politik dan melihat serba-serbi dari kaca mata politik. Mereka pantas berkata 'tukar tampuk pemerintahan!’. Persoalan utamanya ialah apakah ada sesiapa berani memberi jaminan penggantinya kelak tidak melakukan yang serupa atau lagi teruk?

Ini kerana mentadbir urusan ekonomi negara, tidak semudah berkata-kata 'tarif elektrik tidak disemak, sebaliknya diturunkan lagi’. Cakap memang senang. Yang pasti undi akan berlambak tetapi kesannya ketara kepada infrastruktur itu sendiri dan seterusnya terhadap negara.

Tanpa dana baharu atau tambahan, usaha membaiki atau meningkatkan fasiliti mengikut teknologi semasa pasti terbantut. Ketika itu, bersedialah kembali ke zaman elektrik putus yang kronik. Ini rasional yang benar.

Contohnya, kawasan perumahan saya di bandar anggerik baharu sahaja jalannya diturap tar oleh majlis kerajaan tempatan. Pertama kali sejak 2005. Sesudah 12 tahun! Alasannya, baharu dapat dana.

Tetapi berapa ramai daripada kita ambil pusing rasional di atas? Kebanyakan kita tidak akan mengendahkan fakta-fakta sahih yang dikemukakan mengenai persoalan mengapa dan bagaimana tarif elektrik perlu disemak. Kita gemar dibuai emosi.

Agak sedikit mahu mengingat bahawa tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ditetapkan menerusi sistem kawal selia berasaskan insentif (IBR) yang merangkumi mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) yang telah dilaksanakan sejak Januari 2014.

ICPT membolehkan kerajaan menyemak semula kadar tarif setiap enam bulan berdasarkan perubahan harga bahan api dan penjanaan. Tempoh masa untuk pelarasan itu tamat 30 Jun lalu. Semakan seterusnya ialah Januari 2018. Hakikatnya, ia bukan sesuatu yang baru kerana ia telah dilaksanakan sejak Januari 2014.

Menggunakan bahasa semudah-mudahnya, tiada apa yang percuma di dunia hari ini. Yang percuma ialah budi bahasa, simpati dan empati.


Menampung

Oleh kerana keputusan mengekalkan tarif elektrik semasa sebanyak 1.52 sen/kWJ di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini, maka suatu bentuk pampasan terpaksa dibayar oleh kerajaan. Sama seperti yang dibayar kepada konsesi tol apabila kadar tol tidak berubah.

Sebanyak RM1.303 bilion dibayar bagi menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan elektrik. Secara teknikal, wang itu adalah untuk penjanaan sebanyak 2.54 sen/kWJ dan dipecahkan kepada 1.52 sen/kWJ untuk mengekalkan rebat tarif elektrik dan 1.02 sen/kWJ digunakan untuk menampung surcaj yang terus bayar kepada penjana kuasa seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pada ketika ini, tarif asas yang disemak setiap tiga tahun adalah pada kadar tetap iaitu 38.53 sen/kWJ. Ia mengambil kira harga asas bahan api utama seperti gas berpaip, arang batu dan gas asli cecair.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dipetik sebagai berkata, tarif asas juga mengambil kira kos penyelenggaraan operasi dan pembangunan pihak utiliti termasuk Return on Regulated Asset Base (RORB) dan ditetapkan oleh kerajaan bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2017.

Penentuan tarif elektrik di Semenanjung dibuat mengikut kerangka IBR yang terdiri daripada dua komponen utama iaitu ICPT dan tarif asas.

Tarif asas adalah untuk menampung semua kos berkaitan dengan pembekalan elektrik kepada pengguna.

Tiada sesiapa diwajibkan menghafal rasional di atas. Ia bukan direka-reka tetapi fakta sahih. Jika semua berlapang dada, mungkin kurang sikit merungut. Tidak salah merungut. Yang sedih, ia dijadikan senjata politik.

Sudah diumumkan kekal tidak berubah tarif pun, ada yang terus marah-marah. Pembangkang sama, parti pemerintah pun sama. Walhal masing-masing boleh mendapatkan rasional dengan mudah. KSU kementerian, bukan sebarangan orang.

Malah, Dr. Zaini Ujang bukan ahli politik tetapi sarjana ilmuwan. Jawapan yang diberikannya adalah berdasarkan fakta. Tiada masa untuk fatamorgana.

Cuma, sebagai rakyat marhain, saya juga sama seperti anda semua, amat berharap kos kehidupan sekarang dapat diurus dan dikawal sebaik-baiknya.

Rakyat marhain lebih bimbang akaun bank yang menyusut berbanding lain-lain. Dan ini bukan merrepak kosong.