Perlu ditegaskan LTTE yang di­takrifkan sebagai kumpulan peng­ganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diharamkan kewujudannya di 32 negara seperti Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada membawa maksud bahawa sokongan dan simpati terhadap kumpulan ini menyalahi perundangan negara berkenaan.

Serupa juga ia menjadi satu kesalahan dalam peruntukan perundangan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) jika ada rakyat Malaysia yang mempamerkan simpati atau soko­ngan terhadap kumpulan pengganas lain seperti Daesh atau Abu Sayaff.

Satu perkhabaran yang baik adalah apabila Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Perai dan juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan ekoran beberapa laporan polis telah dibuat mengenai isu kaitan beliau dengan LTTE. Dalam hal ini Ramasamy telah memberi kerjasama penuh demi memudahkan pihak polis menjalankan siasatan mereka.

Selama ini berkemungkinan masyarakat umum sudah begitu lazim dan agak lali dengan berita pembabitan dan penahanan rak­yat Malaysia dengan kumpulan pengganas seperti Daesh kerana peristiwa sebegini sudah banyak kali berlaku dan rakyat akur kesan terhadap keselamatan negara jika tindakan tidak diambil. Jarang sekali kita terdedah berita pembabitan rakyat tempatan dengan LTTE dan sebab itu juga tuduhan terhadap Ramasamy menjadi begitu kontroversi sekali.

Tetapi hakikatnya adalah sejak 2009 sebanyak 18 tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia tetapi berita sebegini kurang mendapat perhatian kerana persepsinya aktiviti keganasan yang dipelopori oleh LTTE tidak menjadikan Malaysia sebagai sa­saran.

Antara berita mengenai LTTE di Malaysia yang mendapat liputan meluas berlaku pada 4 September 2016 apabila lima lelaki yang mempunyai kaitan dengan LTTE menyerang dan mence­derakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Ibrahim Sahib Ansr di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Apa yang paling dikhuatiri adalah selepas kekalahan LTTE dalam perang saudara Sri Lanka pada 2009, terdapat tanda-tanda pada ketika itu Malaysia sama ada dijadikan negara transit atau pusat baharu kumpulan tersebut menyebarkan kegiatan mereka.

Mengapa dibuat andaian sedemikian adalah kerana pada 5 Ogos 2009, pemimpin tertinggi LTTE yang baharu iaitu Selvarasa Pathmanathan telah ditahan di Kuala Lumpur dan berita pe­nangkapan ini agak mengejutkan kerana Pathmanathan baharu sahaja tiga bulan mengambil alih tampuk kepimpinan dari Vellupillai Prabhakaran yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera kerajaan Sri Lanka.

Kehadiran Pathmanathan di Malaysia sudah pasti untuk mengelak daripada buruan tentera kerajaan Sri Lanka tetapi menjadi kemusykilan mengapa Kuala Lumpur menjadi pilihan jika tidak kerana mempunyai perancangan tertentu untuk LTTE. Berbeza dengan tangkapan yang dibuat berkaitan kumpulan Daesh kebanyakannya adalah rakyat tempatan, tangkapan mereka yang terbabit dengan LTTE pula terdiri daripada rakyat asing yang berstatus pelarian.

Apa yang dibimbangi adalah kemudahan status pelarian se­perti kad pelarian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) disalah guna untuk melindungi aktiviti sedemikian rupa.

Rakyat Malaysia terutama se­kali mereka yang berpengaruh perlu sensitif dan peka dengan apa jua perkara berkaitan dengan kumpulan pengganas luar negara. Dua minggu lepas apabila tersebar luas gambar Ramasamy bersama-sama dengan pengasas dan Setiausaha Agung parti politik Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam (MDMK), Vaiko atau V. Gopalasamy, maka tanggapan negatif terhadap Ramasamy sukar untuk dielak.

Ini adalah kerana Vaiko adalah penyokong kuat LTTE dan pernah ditegah masuk ke Malaysia pada tahun lepas. Mungkin Ramasamy boleh mendakwa bahawa keakraban beliau dengan Vaiko tiada kena mengena dengan LTTE tetapi hakikatnya gambar tersebut telah memberi berbagai reaksi dan interpretasi.

Sama juga dengan kes pemain bola sepak Jerman, Mesut Ozil yang bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan te­lah me­nimbulkan kontroversi se­hingga memaksa Ozil bersara dari­pada mewakili pasukan Jerman.

Beliau begitu kecewa kerana rakyat Jerman terutama sekali telah memberi tafsiran yang berat sebelah mengenai keakraban beliau dengan Erdogan dengan meragui kesetiaan Ozil terhadap negara beliau iaitu Jerman.

Mungkin ada hikmahnya kontroversi kaitan Ramasamy de­ngan LTTE menjadi berita sensasi kerana ancaman dari kumpulan pengganas tidak kira dari LTTE atau Daesh adalah begitu nyata sekali. Harapannya kontroversi ini dapat dirungkaikan secepat mungkin supaya tidak timbul salah faham seperti mana keha­diran Zakir telah menimbulkan berbagai reaksi berbeza.

Sebagaimana Zakir begitu terbuka dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia, Ramasamy juga yang telah mengamalkan sikap yang serupa akan memudahkan penyelesaian dicapai dengan adil dan cepat.