Namun, negara-negara kuasa besar dunia khususnya Amerika Syarikat (AS) yang menjadi sekutu rapat rejim Zionis Israel membiarkan sahaja dasar yang zalim itu berlanjutan sehingga kini.

Pelaksanaan dasar aparteid dikatakan berkait rapat dengan perancangan jahat gerakan Zionis untuk menjadikan Palestin sebagai sebuah negara Yahudi (Eretz Israel) pada awal abad ke-20.

Mereka mendakwa kononnya Palestin adalah milik Yahudi dan matlamat itu mendorong rejim Zionis Israel melaksanakan dasar perkauman terhadap rakyat Pa­lestin.

Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dalam risalah bertajuk Aparteid Israel yang diedarkan baru-baru ini menggariskan kesan buruk penguatkuasaan dasar berkenaan terhadap aspek demografi, geografi dan ekonomi di Palestin.

Dari segi demografi, ramai rakyat Palestin terpaksa menjadi pelarian di negara-negara asing khususnya Jordan dan Lebanon serta hidup dalam keadaan terbuang di Tebing Barat dan Gaza akibat pendudukan haram pendatang Yahudi di tanah asal mereka.

Rejim Zionis Israel juga tidak menepati janji yang dimeterai melalui Perjanjian Oslo (1993) dan Perjanjian Camp David II (2000) yang menetapkan bahawa pendatang haram Yahudi mesti dikeluarkan dari wilayah Palestin.

Sebaliknya, kemasukan orang Yahudi semakin bertambah dan situasi itu direstui Israel.

Situasi semakin buruk berikutan sikap angkuh Presiden AS, Donald Trump mengumumkan Baitulmuqaddis yang merupakan sa­lah satu tanah suci umat Islam sebagai ibu negara Israel pada Disember lalu.

Pengisytiharan yang mene­rima bantahan keras umat Islam sedunia itu akan memberi kesan terhadap sempadan geografi Palestin yang sentiasa berubah akibat dasar pendudukan haram yang dilaksanakan rejim Zionis Israel sejak 1967.

Rejim Zionis Israel yang kini diterajui Perdana Menterinya, Benyamin Netanyahu bukan sahaja membina tembok pemisah yang meminggirkan rakyat Palestin di Tebing Barat malah menguatkuasakan sekatan yang mengepung penduduk Gaza. Akibatnya, rakyat Palestin yang sengaja diasingkan secara fizikal itu menderita dari segi ekonomi.

Seperti yang diperincikan PCOM dalam risalah tersebut, tembok yang merupakan simbolik dasar aparteid Israel telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat manakala banyak perniagaan milik warga Palestin terpaksa ditutup kerana bilangan pelanggan jatuh mendadak.

“Ekonomi Palestin yang tidak stabil akibat tekanan daripada rejim Zionis Israel mendorong ­rakyatnya berhijrah meninggalkan negara mereka.

“Walau bagaimanapun penghijrahan rakyat Palestin bukan sekadar untuk meneruskan ke­langsungan hidup, malah apa yang lebih penting adalah me­nyampaikan dan menyebarkan kepada dunia tentang kekejaman dasar aparteid Israel,” ujar PCOM.

Laporan bertajuk Amalan Israel Terhadap Rakyat Palestin dan Persoalan Aparteid yang dikeluarkan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Barat (ESCWA) me­nyimpulkan, terdapat bukti tanpa keraguan munasabah bahawa Israel bersalah kerana melakukan dasar-dasar dan amalan-amalan yang dikategorikan sebagai jenayah aparteid mengikut takrif undang-undang antarabangsa.

Justeru, PCOM menegaskan, dasar aparteid rejim Zionis Israel mesti dihentikan. Kecaman sahaja tidak memberi kesan besar memandangkan kepemimpinan Israel sejak dari era pentadbiran David Ben-Gurion sehingga Ne­tanyahu terkenal dengan reputasi ‘tuli’ terhadap suara masyarakat antarabangsa.

PCOM yakin kempen boikot, lupus dan sekat yang dilaksanakan di seluruh dunia sejak 2005 berupaya menjadi ‘senjata’ yang ampuh bagi memberi tekanan kepada rejim Zionis Israel untuk menamatkan dasar aparteid.

Kempen itu menerima soko­ngan padu pelbagai pihak termasuk beberapa selebriti Hollywood yang bukan beragama Islam. Ekonomi Israel turut menerima kesan apabila beberapa syarikat gergasi menarik balik pelaburannya di negara itu ekoran tekanan yang diberikan oleh masyarakat antarabangsa.

“Pada 2016, sebuah syarikat keselamatan gergasi British meng­umumkan mereka telah menjual anak syarikatnya di Israel, sekali gus menamatkan peranannya sebagai pengendali sistem penjara dan pusat pemeriksaan tentera Israel,” jelas PCOM.

Media massa juga adalah platform terbaik untuk membuka mata pemimpin-pemimpin dunia agar mereka sentiasa bersikap prihatin dan memberi perhatian terhadap setiap isu di Palestin khususnya dasar aparteid rejim Zionis Israel.

Desakan yang meminta kuasa-kuasa besar dunia campur tangan dan mengenakan tekanan kepada rejim Zionis Israel untuk menghentikan amalan diskriminasi terhadap rakyat Palestin seharusnya diberi keutamaan dalam laporan media tradisional atau baharu.

Pada masa sama, niat jahat media Barat yang sering memutarbelitkan fakta tentang apa yang sebenarnya berlaku di Palestin tidak membuahkan hasil kerana masyarakat antarabangsa kini semakin bijak menilai dan tidak mudah diperdayakan oleh propaganda pro-Israel.

Kesedaran tentang keburukan dasar aparteid Israel juga boleh diperluaskan melalui soko­ngan terhadap mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memperjuangkan pembebasan Palestin.

Segala maklumat sahih yang diperoleh daripada semua NGO terbabit seterusnya perlu disalurkan kepada masyarakat melalui pelbagai kaedah ter­masuk media sosial.

Dengan sokongan padu dan kerjasama umat Islam di seluruh dunia, strategi yang dicadangkan PCOM bagi meruntuhkan tembok aparteid Israel akan mencapai matlamatnya dan seterusnya membuka mata semua pihak untuk bersama-sama membantu membebaskan Palestin.