Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) dari dulu, kini dan selamanya tetap komited membantu golongan muda untuk mencari nafkah dengan berbakti dalam industri pertanian sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hinggalah Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein membuka Felda untuk memajukan tanaman seperti getah dan kelapa sawit yang menjadikan Malaysia sebagai antara pengeluar minyak kelapa sawit dan getah ternama di dunia.

Namun di sebuah daerah bernama Kuala Langat di dalam Selangor, pertanian dan industri berat dan sederhana bergerak se­i­ring, senada seirama seolah-olah kedua-dua industri boleh sehidup semati bersama. Bukanlah pelik kerana di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang terletak Kawasan Industri Teluk Panglima Garang dan di sebelah kawasan industri tersebut berpuluh-puluh pengusaha tanah pertanian aktif dengan aktiviti menanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan tanaman jangka pendek.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala La­ngat, Dr. Abdul Razak Khasbullah yang dikenali sebagai ‘Razak Songkok Tinggi’ kerana imej songkok yang unik, faham benar mengapa kedua-dua industri berkenaan boleh berjalan seiring seolah-olah ‘harimau dan singa yang menjaga hutan masing-masing’. Sebagai orang lama dan anak jati Sijangkang, beliau sudah masak benar dengan pembangunan demi pembangunan dalam pelbagai sektor dan sub-sektor di daerah tersebut.

Abdul Razak berkata, Kuala Langat bukan sekadar mempu­nyai kilang elektronik, kilang gula mahupun kilang semi konduktor, malahan di situ ada produk yang paling diminati dek kerana rasa, warna dan saiznya. Dengan tersenyum simpul, individu berkulit hitam manis tersebut membe­ritahu, Kuala Langat ada cili merah terbaik di Malaysia malahan mungkin di dunia.

Katanya membuka cerita ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini: “Pernah tengok cili merah yang panjang, berkilat dan terjojol sehingga lebih sejengkal bapak budak?”

Menurut Abdul Razak, di Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL), Teluk Panglima Garang, pihak Lembaga Pertubuhan Peladang Kuala Langat bukan sahaja memasarkan produk cili merah unik tersebut, bahkan mengajar petani muda dari seluruh negara bagaimana hendak menanam cili merah dengan kualiti yang sinonim. Setakat ini, lebih 800 orang telah belajar cara menanam cili merah yang kepakarannya ada di PPK Kuala Langat.

Abdul Razak berkata, semangat petani muda yang datang dari seluruh negara ke PPHL amat membanggakan kerana ada yang pernah kerugian ketika proses menanam akibat banjir dan pe­nyakit melibatkan kos ratusan ribu ringgit, namun masih gagah untuk menjadikan kerjaya sebagai penanam cili merah sepenuh masa sebagai sumber rezeki.

Dalam nada penuh yakin, beliau menjelaskan, kalangan penanam cili merah adalah usahawan tani yang mempunyai kerjaya sebagai seorang jurutera hinggalah Setiausaha Akhbar Menteri. Begitulah hebat penangan cili merah yang panjang berkilat tersebut. Ibarat kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Orang yang berusaha dengan tekun pasti akan berhasil sehingga bertahun-tahun.

Selain cili merah yang pernah mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) MAEPS di Serdang dua tahun lalu, PPK Kuala Langat di bawah kepemimpinan mantap Abdul Razak pernah melahirkan Penerima Anugerah Peladang Jaya Peringkat Kebangsaan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2015 iaitu Saipol Azmir Zainuddin, 36.

Saipol kini memiliki lebih 800 ekor lembu, 150 ekor kambing dan 50 ekor kerbau di kawasan ternakan seluas 0.8 hektar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib. Tokoh Peladang Jaya peringkat nasional dari Kampung Endah itu mengusahakan ternakan lembu untuk pasaran negara.

Kata Abdul Razak, pasaran lembu sememangnya hangat lebih-lebih lagi apabila Hari Raya Korban hadir tidak lama selepas Hari Raya Aidilfitri setiap tahun. Kadangkala permintaan terlampau banyak hingga membuatkan beliau terfikir untuk meramaikan lagi penternak lembu di daerah tersebut.

Kuala Langat membuktikan di bawah kepimpinan pemimpin tempatan seperti Abdul Razak mampu menjadi hab pertanian negara iaitu selain PPHL, wujud juga Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Bukit Changgang. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Selangor juga baru-baru ini memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk membina sebuah Kompleks Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) untuk PPK Kuala Langat.

Kepada anak muda di luar sana terutama yang tinggal di Selangor, dengarlah pesanan Abdul Razak ini yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah Pengarah Peladang Negeri Selangor:

“Pertanian bukan bidang yang harus dipandang remeh dan pe­ngusahanya dianggap kolot dan tidak futuristik. Kerana sesungguhnya pertanian adalah perniagaan dan perniagaan adalah sembilan daripada 10 sumber rezeki menurut sunnah Nabi Muhammad SAW.”

“Jika ada yang berpendapat bidang pertanian tidak menjanjikan pulangan lumayan, percayalah kisah seorang penternak yang masih belum berusia 40 tahun yang berjaya menjadi jutawan ruminan walaupun hanya tamat darjah enam. Apa alasan kita untuk tidak berjaya seperti Saipol Azmir?”.