Bagaimana pula dengan kehilangan anggota badan akibat peperangan? Adakah boleh dikembalikan kepada asal? Adakah kaki atau tangan palsu berupaya berfungsi seperti yang asal? Nyawa tidak ada galang gantinya. Tubuh badan yang cedera atau hilang tidak mampu dikembalikan, sama seperti yang asal. Begitu jugalah dengan perpaduan di dalam sesebuah negara. Bukan mudah untuk 'membina semula' perpaduan yang hancur dalam kalangan penduduk berbilang kaum yang mengamalkan pelbagai budaya dan agama. Kehancuran perpaduan akan membawa kehancuran kepada sesebuah negara. Memetik risalah Rukun Negara terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, tanpa perpaduan, negara akan lemah dan boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas, berlaku huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Rakyat Malaysia yang hebat adalah rakyat yang memegang teguh kepada Rukun Negara. Lima prinsip Rukun Negara sekiranya diamal dan dipraktikkan mampu menjadikan seseorang itu hebat dan seterusnya mengukuhkan kedaulatan negara.

Hari ini selepas 57 tahun merdeka, di manakah kedudukan perpaduan kita? Adakah semakin kukuh atau sedang menuju kehancuran? Selak pernah memperkatakan tentang isu ini di bawah tajuk Kenapa semua ini berlaku selepas 53 tahun negara kita merdeka. Selak menimbulkan persoalan ini dengan bertanya: ''Tanyalah diri anda, adakah kemerdekaan yang berusia 53 tahun ini tidak memberi apa-apa makna kepada ?kebebasan kehidupan selama ini? Selepas 53 tahun, adakah perpaduan kita semakin mantap atau bertambah rapuh dan longgar?''.

Ketika itu, dalam usia 53 tahun, semakin ramai bercakap mengenai hak mereka yang dulunya tidak pernah kedengaran. Dulu tidak ada yang berani mempermainkan lagu Negaraku dan mempersendakan Jalur Gemilang. Satu persatu prinsip Rukun Negara juga cuba diabaikan. Semuanya ini ada puncanya. Banyak perkara yang jijik ?dihalal atau dibolehkan disebabkan politik atau dipengaruhi provokasi politik. Memaki hamun, memfitnah dan macam-macam lagi yang mengaibkan seseorang dibenarkan kerana politik. Hakikatnya peraturan dan adab sopan sudah berubah. Lebih terbuka, lebih moden, lebih bebas berbanding pada masa lalu. Kehadiran pelbagai media sosial menambah 'kebebasan' ini.

Menyelak kembali kelahiran Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara, ia lahir selepas Majlis Perundangan Negara merumuskan bahawa satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan. Sebelum itu, hubungan kaum semakin keruh apabila parti-parti politik membuat provokasi antara satu sama lain yang akhirnya membawa kepada pergaduhan dan semakin serius sehingga mencetuskan peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kesan peristiwa itu, kerajan mencari formula bagi mengatasi masalah pergaduhan kaum supaya ia tidak berulang. Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussein, tiga menteri iaitu Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambanthan. Akhirnya majlis itu merumuskan satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan. Maka lahirlah Rukun Negara. Lima prinsip yang digariskan ialah Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang; Kesopanan dan Kesusilaan.

Begitulah lahirnya Rukun Negara. Apakah rakyat masih 'berpegang' kepada prinsip-prinsip Rukun Negara? Sejak kebelakangan ini, ada banyak pihak yang bertindak kurang sopan, kurang ajar, biadap, menunjukkan keangkuhan yang melampaui prinsip Rukun Negara. Ada yang berlagak seolah-olah kuasa di tangan mereka dan tidak perlu tunduk kepada pihak yang lebih berkuasa. Rasanya tidak perlu diulas panjang lebar mengenai isu ini. Orang ramai tahu siapa mereka.

Adakah pada suatu hari nanti, lima prinsip Rukun Negara hanya tinggal hiasan? Hakikatnya, merdeka bukan bererti kita bebas menghina sesiapa sahaja. Dalam kita menegur seseorang, elakkanlah menggelar dengan nama-nama yang kurang baik dan tidak enak didengar sehingga boleh menimbulkan kemarahan. Tidak dinafikan ada pihak yang cuba menimbulkan provokasi bagi menimbulkan kemarahan orang lain. Bertindaklah secara rasional, jangan terdorong oleh perasaan angkuh dan sombong.

Selak juga terpanggil untuk mengulas serba sedikit mengenai apa yang berlaku di Pulau Pinang. Isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP pada Mei 2011. Tujuan awalnya dikatakan untuk membantu pihak berkuasa keselamatan menangani kegiatan atau aktiviti sosial yang negatif di sesuatu kawasan. PPS dianggotai 937 orang dengan 46 pasukan dan selepas tiga tahun, bilangannya meningkat kepada 9,002 orang dengan 299 pasukan. Dalam tempoh itu, terdapat beberapa aduan daripada orang ramai yang kurang senang dengan PPS yang dilihat mengambil tugas pasukan keselamatan. Terdapat juga dakwaan, anggota pasukan itu mengasari seorang jurugambar dan aktivis sosial mendakwa dipukul. Berikutan aduan aktivis sosial itu, ada juga yang mengaitkan penglibatan PPS dengan gangster tetapi kerajaan DAP menafikannya sebaliknya menyifatkan pertubuhan itu dijadikan 'kambing hitam' oleh individu tertentu untuk mengkritik dasar kerajaan negeri.

Isu ini semakin panas apabila Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan bahawa PPS adalah pasukan yang tidak berdaftar dan dianggap menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan. Beliau menegaskan tindakan menangkap anggota PPS akan dilakukan sekiranya mereka meneruskan aktiviti pertubuhan haram itu.

Dari situ bermulalah serangan oleh Ke­tua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Khalid. Sesiapa yang mende­ngar ucapan Guan Eng tentu dapat merasai keangkuhan Ketua Menteri itu dalam menangani isu ini. Tidak sewajarnya seorang yang digelar sebagai pemimpin bertindak demikian. Ini bukan kali pertama, Guan Eng menunjukkan keangkuhannya. Ramai pemimpin yang 'pernah bersamanya' membuat teguran termasuk bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bekas anggota Parlimen PKR termasuk Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju). Tidak kurang juga kalangan pemimpin parti di peringkat akar umbi.

Mansor pernah menggelar Guan Eng sebagai sombong, angkuh dan tokong. Tunku Abdul Aziz pula menyifatkan Guan Eng sebagai Ketua Menteri yang tidak boleh diusik. Apakah yang sedang berlaku sekarang menunjukkan beliau adalah?ketua menteri yang benar-benar berkuasa seperti slogan yang pernah menjadi kempen pilihan raya umum (PRU) parti itu semasa diterajui oleh Lim Kit Siang? Ketika itu, pada 1995, muncul poster Kit Siang (sebagai Setiausaha Agung DAP) yang tertera perkataan CHIEF MINISTER WITH POWER - Ketua Menteri Dengan Kuasa). Lebih menarik lagi ada watak Robocop menghiasi poster itu. Adakah, masanya kini telah tiba untuk menunjukkan kuasa?