Jemputan Trump kepada Perdana Menteri menunjukkan bukan saja hubungan baik Malaysia dengan AS tetapi juga terdapat suasana mesra antara dua pemimpin itu, yang selanjutnya diharapkan akan mendatangkan kebaikan bagi kedua-dua negara.

Hubungan baik ini juga menunjukkan kepentingan Malaysia pada AS. Sementara sebagai kuasa besar, tentunya AS adalah penting bagi semua negara di dunia.

Sejak negara ini mencapai kemerdekaan sebagai Malaya pada tahun 1957, hubungan Kuala Lumpur-Washington berada pada kedudukan penting dalam konteks geopolitik global.

Walaupun Malaya dan kemudiannya Malaysia adalah jauh lebih kecil dari AS, baik dari segi keluasan wilayah, atau bilangan penduduk, mahupun kekuatan ekonomi dan tentera tetapi negara ini mempunyai kedudukan dan peranan geopolitik global yang penting hingga menuntut perhatian mana-mana kuasa besar.

Pertemuan dua ketua kerajaan Malaysia dan AS itu adalah yang pertama sejak Washington memiliki presiden baharu pada Januari lalu.

Namun Perdana Menteri telah bersama presiden itu ketika menghadiri Sidang Kemuncak Riyadh pada Mei lalu yang menghimpunkan ketua-ketua kerajaan negara Islam.

Perdana Menteri juga telah menemui Presiden AS ketika Barack Obama melawat Malaysia pada tahun 2014. Dari segi geopolitik, buat masa ini, kepentingan AS terhadap Malaysia adalah berkaitan dengan ancaman keganasan khususnya dari kumpulan Daesh dan al-Qaeda.

Semasa Sidang Kemuncak Riyadh itu juga, penyertaan Trump dalam perbincangan di situ adalah juga berkaitan dengan menentang keganasan.

Isu ini juga dijangka turut dibincangkan dalam pertemuan Perdana Menteri dan presiden itu kelak.Namun begitu, perkembangan baharu yang melibatkan Korea Utara juga dijangka turut disentuh memandangkan ia membimbangkan dunia.

Malaysia juga mempunyai kedudukan istimewa dari segi usaha untuk menangani ancaman dari negara komunis itu.

Mengenai keganasan, khususnya yang berkaitan dengan Daesh, Malaysia memainkan peranan luas, baik dari segi menghalang kegiatan kumpulan itu mahupun dalam pertukaran maklumat.

Keadaan itu menjadi tarikan perhatian yang lebih apabila kumpulan yang mengisytiharkan mempunyai hubungan Daesh telah menguasai Marawi City di Filipina. Sebagai negara jiran kepada Filipina, peranan Malaysia menjadi lebih penting.

Tambahan pula, keadaan ini selari dengan perkembangan di Iraq dan Syria, yang mana kumpulan Daesh sedang berundur, mengakibatkan anggota-anggotanya pulang ke negara masing-masing atau bergerak ke kawasan lain untuk melancarkan ancaman baharu.

Keutamaan

Maknanya, ancaman Daesh ini bukan sahaja dihadapi oleh AS tetapi juga Malaysia. Malah Malaysia berdepan dengan mereka pada jarak yang lebih dekat berbanding dengan AS sendiri.

Tetapi pendirian Malaysia adalah jelas dalam hal keganasan. Kuala Lumpur bersama dengan Washington dan Riyadh dalam menentang keganasan Daesh.

Walaupun analisis dan perspektif Malaysia mengenai Daesh tentunya mempunyai ciri tersendiri, yang berbeza dengan negara lain.

Tetapi dari segi kerjasama, pendirian Malaysia adalah jelas dalam memberi keutamaan kepada menghalang keganasan.

Dari sejak negara ini mencapai kemerdekaan, soal keselamatan adalah perkara utama. Malaya berdepan dengan ancaman keganasan komunis ketika belum merdeka lagi, iaitu dari tahun 1948 hingga darurat tamat pada tahun 1960.

Malaya bersama dengan AS dan Britain menentang keganasan, yang ketika itu dalam bentuk fahaman komunisme.

Walaupun Malaysia kemudiannya mengambil jalan berkecuali dengan menyertai Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) tetapi dari segi menentang keganasan komunisme, Kuala Lumpur bekerjasama dengan Washington.

Maka peranan Malaysia adalah besar dalam menamatkan keganasan komunisme di Asia Tenggara hingga kini ASEAN dianggotai oleh semua negara di rantau ini.

Maka kini ancaman keganasan komunisme sudah berlalu. Namun terdapat sebuah negara komunis yang terus memberi ancaman pada rantau Timur Laut Asia.

Negara itu adalah Korea Utara di mana pada tahun ini Malaysia turut mengalami kesannya daripada aktiviti pemerintah Pyongyang.

Walaupun Malaysia berada jauh dari Korea Utara tetapi sebarang konflik yang melibatkan negara-negara jirannya iaitu Korea Selatan, Jepun dan China pasti akhirnya mendatangkan kesannya kepada Malaysia dan ASEAN.

Maka ancaman Korea Utara adalah sisa-sisa daripada Perang Dingin tetapi kini masih menjadi ancaman pada dunia. Selain itu, Perang Dingin yang sudah tamat pada tahun 1991 mewariskan ancaman baharu kepada dunia, dengan AS menjadi sasaran tetapi pada waktu sama memberi kesan kepada Malaysia.

Ancaman itu berpunca daripada campur tangan ketenteraan Soviet Union ke atas Afghanistan pada tahun 1989. Apabila rakyat Afghanistan pimpinan Mujahidin menentang komunisme, AS turut membantu. Seperti banyak negara Islam lain, Malaysia menyebelahi Mujahidin bagi pembebasan Afghanistan daripada Soviet.

Tetapi rupa-rupanya setelah Soviet tumbang dan rejim komunis Afghanistan dapat dikalahkan, Mujahidin tidak dapat mewujudkan kestabilan. Ekoran itu, Taliban muncul dan daripada perlindungannya, al-Qaeda beroperasi hinggalah berlaku Peristiwa 11 September.

Daripada penaklukan AS ke atas Afghanistan dan Iraq hinggalah kepada Arab Spring yang membawa kepada perang saudara Syria, serta lahirnya Daesh. Maka kini ancaman Daesh bukan saja dihadapi oleh Barat tetapi juga banyak negara Islam, termasuk Malaysia.

Dalam menghadapi Daesh, negara ini melancarkan tindakan-tindakan dalam pelbagai bentuk. Sama ada melalui langkah-langkah berbentuk keselamatan, daripada perisikan hinggalah kepada tangkapan. Malaysia juga melancarakan kegiatan bagi membendung fahaman yang membawa kepada pemikiran Daesh.

Namun begitu Malaysia juga tetap mengambil perhatian isu-isu politik di negara-negara Islam yang boleh membawa kepada kegiatan militan. Umpamanya masalah rakyat Palestin yang tidak ditangani sewajarnya oleh pihak Barat.

Begitu juga dengan isu-isu hak rakyat beragama Islam di Filipina Selatan, dan terbaharu nasib Rohingya, yang kalau tidak ditangani secara wajar boleh mengheret rantau Asia Selatan dalam kegiatan militan seterusnya keganasan.

Dalam dunia hari ini, semua negara, kecil atau besar mempunyai nilai dan peranannya tersendiri. Terutama negara yang kedudukan geografinya meletakkan ia pada peranan politik global lebih besar.

Itulah kedudukan Malaysia yang strategik kerana ia terletak di tengah-tengah Asia Tenggara merentang laut di rantau ini dengan menjadi tempat laluan kapal baik yang membawa barangan dagangan mahupun peralatan senjata.

Maka pertemuan Trump dan Najib ini akan menjadi mercu tanda hubungan geopolitik Malaysia dan AS dalam mendapatkan keselamatan untuk dunia, supaya bebas daripada ancaman keganasan dan senjata nuklear.