Tewas sekali lagi kepada parti yang sekian lama membina batas pemisah sehingga menjadi dua kelompok Melayu yang terus bersaing mendapatkan kuasa. Namun kali ini bagaikan yatim piatu, seakan tiada lagi tempat untuk bergantung harap apabila pemerintahan BN Pusat turut tertiarap.

“Kali ini juga Pas yang mengambil alih teraju pemerintahan ternyata berlainan bawaannya, kelihatan tenang dan lembut ketika turut mahu membawa Terengganu ke arah le­bih sejahtera dengan pendekatan lebih intelektual dan tidak lagi keras semberono,” ujar salah seorang pemerhati politik.

Ia tetap meneruskan segala perancangan dan pelaksanaan program untuk dikecapi dan dimanfaat rakyat yang diwarisi tanpa asyik memburukkan soal kepemimpinan lalu UMNO dan BN, menafi atau membatalkan apa yang dikaitkan de­ngan legasi parti yang menjadi pembangkang kini.

Yang mungkin masih tetap sama ialah sikap kalangan ahli UMNO dan kalangan kepemimpinannya, yang mendepani saingan dalam parti sendiri lebih teruk berbanding parti lawan.

Tahap hubungan persaudaraan kononnya atas nama perjuangan masih tipis dan berpuak bagi menjamin kepentingan tidak terhakis manakala kalangan yang berpotensi cuba dijauhkan daripada parti.

Sukar untuk ditepis tanggapan umum tentang soal habuan kebendaan masih mudah melenyapkan pertimbangan dalam memilih dan mengangkat setiap pemimpin yang boleh diberi tempat serta diterima sewajarnya oleh masyarakat.

Inilah sebahagian daripada barah yang masih boleh diubati dengan keinsafan jika penyertaan dan penglibatan mereka benar-benar mendukung perjuangan untuk menegakkan agama, bangsa dan negara dalam keadaan semua ini mula dicabar secara terang-terangan.

Inilah beban yang perlu dipikul oleh sesiapa yang diberi tanggungjawab dan mempunyai kesanggupan tinggi untuk menerajui UMNO negeri bagi membawa perubahan yang diharapkan.

“Ini memperlihatkan rantai proses membuang dan me­rawat penyakit, pemulihan organisasi sebelum menggerakkan kebangkitan dan mendepani lawan. Bukan masanya untuk menyerang kini,” ujarnya lagi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dalam waktu terdekat, tidak sampai sebulan beliau dipilih oleh parti.

Beliau yang mengambil alih jawatan tersebut daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 14 Julai lalu mengakui adalah lebih sesuai tugas serta tanggungjawab itu digalas oleh anak negeri sendiri kerana mereka lebih dekat dan memahami situasi sebenar di akar umbi.

Langkah Mahdzir itu seolah-olah membantu UMNO negeri kembali kebah dari demam panas dan mula membuka selimutnya, melenyapkan rasa tidak puas hati yang dicanangkan dalam media sosial.

Lazimnya pemilihan daripada kalangan Ketua Bahagian dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mudah disuluh, tentunya Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar akan kembali ke jawatan yang pernah disandang.

Ahmad yang juga selaku ADUN Kijal, merupakan ketua bahagian paling lama telah menyatakan kesanggupan, selain Nawi Mohamad (Besut) yang juga ADUN Hulu Besut.

Difahamkan, kebanyakannya menyambut baik cadangan pemilihan Ahmad itu dan akur meskipun ada yang masih tidak sebulu dalam pertemuan awal yang diadakan baru-baru ini, sebelum mesyuarat pertama badan perhubungan itu pada 8 Ogos.

Beban yang bakal dipikul oleh Ahmad (sosok yang dianggap tipikal anak negeri yang dilihat mendasari kehidupan rakyat) dan barisan kepemimpinan UMNO di negeri ini ter­nyata berkali ganda.

Dan ini masanya menguji kerelaan mereka untuk bersatu dalam perjuangan jika memimpin dan menegakkan UMNO benar-benar suatu perjuangan, bukannya tuntutan habuan.