Saban tahun, sekitar Januari, WEF akan menganjurkan forum perdana, dihadiri ribuan perwa­kilan antarabangsa dari pelbagai latar belakang. Forum kali ke-48 pada 23 hingga 26 Januari ini, di Davos, Switzerland, bandar peranginan kelahiran WEF, pastinya amat menarik.

Selang beberapa bulan pe­ng­umuman mengenai forum itu dibuat, sebuah artikel ditulis oleh Minouche Shafik, Pengarah London School of Economics & Political Science (LSE), atas tajuk ‘A leading economist has a plan to heal our fractured societies’, di­siarkan oleh WEF pada 2 Januari lalu.

Artikel itu ada kaitan dengan tema Forum WEF kali ini, ‘Crea­ting a Shared Future in a Fractured World’. Sekumpulan ahli ekonomi di LSE telah sekian lama mengenalpasti fenomena ini (fractured world) yang dijangka menjejaskan kemampanan agenda kemasyarakatan global.

Bagi mereka, keretakan sosial yang dihadapi dunia berpunca daripada ledakan dua megatrend ini, iaitu globalisasi dan teknologi. Itu pun impaknya mereka lihat sudah teramat besar.

Pun begitu, artikel Shafik itu mengupas kesannya dari aspek berkaitan ekonomi, kesejahte­raan dan kemakmuran manusia sebagai ahli masyarakat. Ia ba­nyak berkisar kepada antaranya faktor umur persaraan dan jangka hayat, adaptasi tenaga buruh terhadap robotik dan automasi, peluang menjana pendapatan tambahan, pembelajaran dan latihan sepanjang hayat dan pelaburan dalam pendidikan.

Saya jangka tema forum ini juga relevan dengan senario semasa di Malaysia. Malah feno­mena keretakan sosial di Malaysia saya rasa lebih mencemaskan kita semua.

Meminjam kata-kata Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling, masyarakat kita tidak lagi majmuk tetapi sudah menjadi fragmented. Kecelaruan politik, ketidaksiapsiagaan tenaga kerja membuat adaptasi menghadapi ledakan robotik dan automasi, ketidaksiapsiagaan masyarakat menghadapi fenomena peningkatan pendapatan dalam kala­ngan golongan berkemahiran tinggi yang melebarkan kembali jurang ekonomi, peningkatan kos sara hidup, kecelaruan sistem pendidikan, polarisasi atau fragmentasi kaum dan etnik, pola­risasi antara agama, malah pertelagahan antara fahaman dalam Islam itu sendiri yang membawa kepada wujudnya puak liberal, konservatif dan radikal atau fundamental.

Saya jangkakan ada banyak agenda yang perlu dilakukan untuk menyembuhkan keretakan ini. Saya pilih agenda berikut dan setiap satunya saya cuba fikirkan inisiatif yang wajib dilakukan oleh pemimpin dan masyarakat sendiri. Kita semua wajib berfikir secara serius untuk cetuskan tindakan terbaik yang mampu memanfaatkan semua atau demi menjamin survival kita.

Fenomena globalisasi

Ia adalah fenomena universal, bukan kita saja menghadapinya. Kuasa kita mengatasinya amat terbatas, jika pun ada. Jika ada usaha-usaha pertubuhan antarabangsa seperti WEF untuk menangani fenomena ini barangkali kita boleh memikirkan bagaimana boleh diambil iktibar daripadanya.

Sayugia kita semua ingat, fenomena globalisasi ini juga memberikan impak ketara dan la­ngsung kepada apa juga agenda nasional, termasuk dalam konteks di Malaysia, agenda-agenda seperti hak-hak istimewa kaum bumiputera. Kerajaan boleh pertahankan dengan pelbagai strategi, misalnya penubuhan institusi khas untuk bumiputera, seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), UiTM dan banyak lagi. Tapi saya tidak fikir kerajaan mampu menjanjikan keistimewaan ini akan kekal selamanya.

Lambat laun kaum bumiputera wajib membina keupayaan untuk menjadi bangsa yang mampu bersaing di pentas global. Hari ini pun tanpa tekanan fenomena seperti globalisasi ini kita menyaksikan banyak hak dan keistimewaan kaum bumiputera dan bangsa Melayu tidak terlaksana sepenuhnya, misalnya isu berkaitan Tanah Simpanan Melayu. Ini bermakna, kaum bumiputera boleh menaruh harapan kepada kerajaan, tetapi pada masa sama untuk mereka kekal relevan, mereka juga wajib membina keupayaan daya saing.

Ledakan teknologi

Samalah juga ceritanya seperti fenomena globalisasi itu. Tiada siapa boleh menghalang feno­mena ini. Sama ada kita mampu menguasai teknologi atau kita mampu mengadaptasi kehidupan dengan ledakan teknologi ini, itu adalah realitinya. Saban hari ada saja teknologi baharu dihasilkan dari seluruh pelosok dunia. Terkini ledakan atau ancaman teknologi ialah gelombang robotik dan automasi. Banyak pekerjaan hilang berpunca darinya. Namun ada juga pekerjaan baharu muncul bersamanya.

Kerajaan boleh memudahkan cara sebarang usaha untuk berdepan dengan ledakan ini tetapi kemampuan setiap orang untuk mengadaptasi sama ada dalam alam kehidupan, alam pekerjaan atau alam bisnes mereka bagi menghadapi fenomena ini, banyak bergantung kepada kemampuan seseorang itu untuk respon dengan segera kepadanya.

Kekeruhan politik

Hari ini bukan saja ahli politik berpolitik, semua orang turut berpolitik. Bagi orang politik memang itulah kerjanya, sentiasa memikirkan apakah produk politik yang boleh menjamin ke­stabilan kedudukan politiknya. Malangnya bagi rakyat, terutama bumiputera, kita berperangai seolah-olah semacam baru semalam dapat bermain dengan gajet-gajet IT dan media sosial. Penyudah­nya, kita pun terjerat sama dalam kekeruhan politik semasa.

Sekalipun kita digalakkan ber­tabayyun sebelum menerima atau menolak sesuatu mesej termasuk berbaur politik, hakikatnya kita punyai paras emosi terlalu tinggi, acapkali mengetepikan kebijaksanaan dek taksub dengan sokongan terhadap personaliti politik tertentu. Tindakan sebegini secara langsung menjadikan personaliti politik itu merasakan diri mereka popular, inilah trend politik populis semasa.

Masyarakat boleh meredakan kekeruhan ini dengan berbagai cara. Salah satu daripadanya de­ngan membiarkan mereka dalam ka­langan personaliti politik ini bersengketa sesama mereka. Kita usah masuk campur. Kita rakyat yang bijaksana ini berperanan menghakimi siapa di antara mereka ini yang mempunyai budaya politik yang lebih rasional untuk anak cucu kita warisi kelak.

Kecelaruan sistem 
pendidikan

Hari ini mereka yang memen­tingkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi menjadikan pendidikan sebagai satu cabang industri berkepentingan ekonomi. Dengan jaguh-jaguh ekonomi dalam kerajaan menyatakan ekonomi kita akan lebih pesat membangun jika diterajui sektor swasta, maka puak-puak kapitalis mengambil kesempatan meletakkan kepentingan ekonomi sebagai tunggak kepada pembangunan pendidikan di negara ini. Maka, peranan pendidikan dalam memupuk integrasi nasional, atau sebagai instrumen untuk terus merapatkan jurang ekonomi, sudah sama sekali terpinggir.

Komuniti politik pula me­ng­ambil kesempatan daripada per­­tu­karan kiblat ini untuk me­nukar kiblat pendidikan dan me­rasional­kan dengan arus globa­lisasi yang menjanjikan agenda nasional akan terkikis oleh arus deras globalisasi ini.

Bagi saya, jalan keluar daripada kemelut ini adalah dengan meletakkan kepentingan agenda pendidikan dari pelbagai sudut secara bersepadu, bukan melihatnya dari kiblat berasingan. Jika kita terima hakikat bahawa integ­rasi nasional kini berada dalam kedudukan yang amat rapuh, kita tiada pilihan selain menjadikan pendidikan sebagai instrumen utama mengembalikan kewujudan dan kelangsungan pembinaan negara bangsa.

Bahasa jiwa bangsa

Slogan ini nampaknya kini tinggal dalam lipatan sejarah. Hanya di negara ini bahasa ibundanya dianaktirikan. Tiada negara dalam dunia ini yang me­nganaktirikan bahasa ibundanya. Bahasa ibunda itu penting kerana terikat bersamanya kepentingan nilai-budaya. Sekali lagi pendirian kita bercelaru.

Jika dalam isu pendidikan ke­pentingannya dianjak-anjakkan kiblatnya mengikut siapa yang menguasainya, dalam isu ba­hasa dan budaya ini pun sama nasib­nya. Kepentingan ekonomi, sains dan teknologi berjaya mengaburi mata dan minda pemimpin sehingga mereka tidak nampak dan gagal menghayati slogan Bahasa Jiwa Bangsa.

Polarisasi agama

Bagi saya keretakan dalam kalangan umat Islam kerana fahaman agama yang berbeza jauh lebih kritikal jika diban­dingkan dengan keretakan politik. Ke­retakan orang politik boleh be­rubah sekelip masa. Hari ini me­­reka berseteru macam hendak berbunuh-bunuhan. Ja­ngan terkejut jika esok mereka ber­­kawan bak isi dengan kuku. Akan tetapi dalam kalangan agamawan, bila berbeza fahaman, mereka berseteru ibarat berputus arang berkerat rotan.

Pada hemat saya kita punyai terlalu banyak institusi agama terutama di peringkat nasional, walhal bidang kuasa mengenai Islam adalah tanggungjawab hakiki sultan dan raja. Tiba masanya semua institusi Islam yang banyak ini diperkemaskan dan diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja. Para ulama dan ilmuwan Islam dihimpun dan diperkasakan, di bawah tadbir urus Majlis Agama Islam di setiap negeri. Mereka ini hendaklah dipertanggungjawabkan membangunkan agenda Islam progresif.

Akhir kalam, saya berpendapat tanggungjawab membaikpulih keretakan sosial mampu dita­ngani jika semua pemegang-taruh komited untuk menyelesaikan kemelut ini secara bersama. Jika kuasa-kuasa Barat sudah mula bertindak meredakan keretakan sosial yang mula menghambat mereka, walhal gejala yang menghantui itu tidaklah begitu kompleks sepertimana yang kita hadapi, masakan kita yang berdepan dengan situasi yang mencemaskan ini masih berpeluk tubuh dan terus bertelagah.

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).