Kesengsaraan yang menimpa bangsa Yahudi dan Palestin boleh di ibaratkan sama beratnya kerana mempunyai ciri-ciri yang mampu melenyapkan kewujudan bangsa tersebut buat selama-lamanya.

Kesengsaraan Yahudi boleh dikaitkan dengan tragedi Holocaust yang menyaksikan peristiwa penghapusan hampir enam juta bangsa Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.

Sementara itu Palestin pula mempunyai al-Nakba iaitu peristiwa malapetaka apabila rakyat Palestin kehilangan tanah air mereka pada 1948 demi memastikan kewujudan negara yang dinamakan Israel.

Jika Yahudi dan Palestin telah melalui kesengsaraan dan masing-masing diungkapkan dengan Holocaust dan al-Nakba, tetapi persamaan nasib kedua-dua bangsa terhenti setakat itu sahaja.

Jika hari ini bangsa Yahudi mempunyai sebuah negara sendiri dinamakan Israel yang sebelum ini sepatutnya dikenali sebagai negara Palestin, berbeza pula dengan nasib bangsa Palestin hari ini.

Ada bangsa Palestin yang kekal tinggal di Israel sebagai rakyat negara tersebut, tetapi dilayan seperti rakyat kelas kedua dengan berbagai kekangan yang dikenakan oleh rejim kerajaan Israel.

Seramai dua juta lagi hidup di Semenanjung Gaza yang dianggap sebagai penjara terbuka terbesar di dunia dengan segala kedaifan akibat sekatan oleh rejim Israel.

Manakala seramai 2.5 juta rakyat Palestin yang berada di Tebing Barat pula terpaksa bersaing dengan 400,000 peneroka haram Yahudi yang telah merampas hampir 40 peratus kawasan yang paling subur di kawasan tersebut.

Pada ketika ini terdapat lebih dari 240 penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang keselamatannya di kawal oleh tentera rejim Israel dengan jumlah penempatan haram di Tebing Barat semakin bertambah setiap hari.

Bermula dengan 800,000 rakyat Palestin yang dihalau keluar dari tanah air sendiri pada 1948 dan menjadi pelarian di negara lain, pada hari ini jumlah tersebut telah meningkat sehingga lebih dari tujuh juta pelarian ramainya.

Penyelesaian

Nasib yang menimpa Yahudi dan Palestin bukan berlaku secara tidak sengaja tetapi telah dirancang secara halus sehinggakan begitu liciknya strategi tersebut, selepas 100 tahun berlalu perancangan tersebut masih lagi hidup.

Bayangkan sebelum 1948 rakyat Palestin mempunyai tanah air sendiri tetapi hari ini sama ada merempat di tempat sendiri, berstatus rakyat kelas kedua atau menjadi pelarian di negara orang.

Selepas tujuh dekad rakyat Palestin kehilangan tanah air mereka, hari ini jalan penyelesaian yang adil masih samar.

Malah menjadi bertambah buruk apabila kehilangan Baitulmuqaddis Timur gara-gara angkara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump yang memindahkan pejabat kedutaan AS di Tel Aviv sebagai sokongan tersurat Baitulmuqaddis milik Israel sepenuhnya.

Bermula dengan Pengisytiharaan Balfour pada 1917 dan seterusnya dari 1918 hingga 1948 di bawah naungan Mandat British di Palestin, perancangan telah di atur British untuk membentuk negara Israel, walhal diketahui bangsa Palestin telah menetap di kawasan tersebut dan bercita-cita menubuhkan negara yang dipanggil Palestin.

Salah satu strategi licik yang diamalkan oleh British pada ketika itu ialah untuk memisahkan kaitan ungkapan Arab dengan Palestin dengan harapan bila tiba masanya untuk membentuk negara Yahudi, tentangan dari negara Arab dapat dikurangkan.

Walaupun tercetusnya beberapa peperangan di antara negara Arab dan Israel seperti yang berlaku pada 1948, 1967 dan 1973, hakikatnya pada hari ini berlakunya konflik ketenteraan dalam kalangan negara Arab dan Israel kerana isu Palestin adalah begitu tipis sekali.

Begitu hebat strategi yang diamalkan British yang kesannya masih terpakai hingga ke hari ini kerana sudah tidak wujud senario kemelut Arab-Israel kerana yang tinggal kemelut Palestin-Israel.

Sebab itu penting diambil iktibar terhadap nasib yang menimpa bangsa Palestin yang bukan sahaja kehilangan tanah air, tetapi hidup merempat di tempat sendiri, hidup sebagai pelarian di negara orang atau menjadi rakyat kelas kedua.

Pada hari ini masyarakat antarabangsa seolah-olah tidak mampu menyekat kerakusan rejim Israel yang berlaku kejam terhadap rakyat Palestin dan mengamalkan sistem pemerintahan ala apartheid di Israel.

Setiap tanggal 15 Mei rakyat Palestin memperingati peristiwa malapetaka yang menimpa mereka pada 1948 dengan panggilan Hari Nakba.

Tetapi realitinya adalah ungkapan Nakba sepatutnya ditambah dengan ungkapan al-Mustamera yang membawa maksud malapetaka itu tidak terhenti pada 1948 tetapi masih lagi berlaku walaupun selepas tujuh dekad berlalu.

Memang tidak dinafikan semangat rakyat dan kerajaan Malaysia dalam membantu rakyat Palestin tidak pernah luntur walaupun rintangan yang dihadapi adalah begitu mencabar sekali.

Paling tidak pada bulan Syawal ini rakyat Malaysia berkongsi kenikmatan yang dikecapi demi meringankan beban yang dihadapi oleh bangsa Palestin dengan harapan kesengsaraan yang dihadapi dapat diringankan tidak kira di mana mereka berada.

Menjadi harapan juga peristiwa Nakba yang dilalui oleh bangsa Palestin tidak lagi berulang terhadap mana-mana bangsa atau rakyat negara lain.

- PENULIS adalah Geostrategist Perdana School and Geospatial Institute Universiti Teknologi Malaysia (UTM).