Hari ini, China makin menjadi tumpuan dunia. Negara yang satu ketika dahulu menutup pintu kepada dunia luar telah menjadi sumber rujukan kepada pelbagai bentuk inovasi. Banyak teknologi di negara itu adalah hasil keringat dan kreativiti rakyat mereka kerana negara tersebut telah mendidik rakyat mereka untuk berdikari selama ratusan tahun.

Hasilnya kini banyak ciptaan dan amalan ekonomi di negara tersebut mula menjadi perhatian. Malahan, China sebagai gergasi baharu ekonomi dunia telah mula melaburkan dana mereka ke merata negara termasuklah Malaysia. Apabila China meng­umumkan rasa tidak senang hati dengan Singapura, para penganalisis mula tertanya-tanya tentang masa depan ekonomi Asia dan mencari-cari apakah strategi kedua-dua negara yang memiliki kuasa ekonomi yang kuat itu.

Kita pasti semua tahu bahawa semua negara tidak berdiam diri dengan perlumbaan kemajuan sebegini. Biarpun China dilihat kian menonjol dalam penguasaan ekonomi, banyak negara maju lain turut mengatur strategi agresif dan strategik. Jerman umpamanya kian giat dalam ­melahirkan pelbagai jenis teknologi untuk masa depan. Teknologi satelit dalam pembangunan kende­raan alaf baharu mula dimajukan di negara tersebut. Kenderaan kawalan jauh sama ada kende­raan darat dan udara kian giat dilakukan di negara tersebut. Negara-negara Barat lain termasuk Amerika Syarikat (AS) pula dilihat begitu teliti mengatur strategi untuk menjadi rakan karib kepada pengeluar sumber tenaga dan gas asli dunia sehinggakan banyak syarikat AS bertapak di Asia Barat. Penglibatan negara Barat yang mencetuskan peperangan di Asia Barat seringkali dikaitkan dengan perlumbaan dalam penguasaan tenaga.

Yang pastinya kesemua berita perkembangan ini meledak dengan pantas menerusi medium teknologi komunikasi. Maka pemimpin-pemimpin di negara membangun mula tercari-cari arah untuk menentukan perubahan agar sentiasa kekal relevan dengan perkembangan dunia.

Presiden Indonesia, Jokowi turut mendedahkan kebimbangan beliau tentang perlumbaan per­ubahan dunia dan menggesa para menteri kanan untuk memikir semula tentang strategi perubahan kemajuan Indonesia. Aspek yang sama juga seringkali disebut-sebut oleh para pemimpin tertinggi negara kita. Sejauh mana amalan sedia ada benar-benar relevan untuk kemajuan negara akan datang hendaklah sering dibuat penilaian.

Dalam membaca perubahan masa depan ini, kurikulum pendidikan negara perlu sentiasa peka dan berpandangan jauh. Sejarah telah menunjukkan bagaimana perancangan kurikulum di Kesatuan Soviet yang terlalu obses dengan sains dan teknologi disaingi dengan bijak oleh AS dan Britain menerusi penekanan kurikulum keusahawanan, perniagaan dan ekonomi.

Akhirnya kemajuan sains dan teknologi tanpa pengurusan ekonomi yang cekap telah melemahkan negara-negara dalam Kesatuan Soviet. Hal ini bermakna keseimbangan dalam merancang masa depan perlu disusun dengan teliti. Penumpuan kepada kurikulum pendidikan negara terhadap sains dan teknologi perlu sekali di­seimbangkan dengan disiplin lain termasuklah sains sosial, ekonomi, perundangan dan sebagainya. Sejarah keruntuhan Kesatuan Soviet tersebut amat wajar dijadikan iktibar dalam perancangan perubahan masa depan negara.

Pakar pendidikan UKM, Profesor Datuk Dr. Norazah Mohd. Nordin menegaskan bahawa amat penting sekali untuk kita memahami dan mengikut rapat revolusi industri keempat. Hal ini kerana amalan sedia ada tidak lagi re­levan sejajar dengan perubahan teknologi dunia. Teknologi digital telah mengambil alih buku bercetak dan menjadikan perpustakaan digital telah menjadi pilihan ramai. Hampir kesemua sektor telah mengalami perubahan drastik dalam era teknologi digital ini.

Namun, kita perlu berhati-hati dengan perubahan dan kepesatan teknologi ini kerana ramalan perubahan dunia masa depan berkemungkinan berlaku dalam keadaan sebaliknya. Perlumbaan teknologi dalam ketenteraan turut membawa kepada satu kerisauan baharu. Peluru berpandu yang dikawal menerusi teknologi satelit berkemungkinan boleh dilancarkan ke mana-mana negara sahaja. Malahan penggodaman dalam sistem digital pertahanan negara boleh mencetuskan keadaan yang berbahaya.

Hari ini, peperangan psikologi telah dimainkan secara halus menerusi internet. Propaganda berlaku dengan pantas dan ­kemunculan pelbagai kumpulan yang dilabelkan sebagai pengganas seperti militan Daesh, IS dan sebagainya dikupas dalam pelbagai perspektif oleh pelbagai pihak.

Situasi ini perlu diambil kira dalam meramal perubahan dunia. Mesej utama adalah perlumbaan dalam teknologi boleh memungkinkan kehidupan menjadi lebih efisien, pantas dan selesa atau boleh juga membawa kemudaratan. Maka, dalam meramal perubahan masa depan negara, sejarah jatuh dan bangun tamadun dunia amat perlu diberi perhatian serius. Pelajari daripada sejarah secara empirikal dan teliti untuk meramal perubahan masa depan adalah kunci utama kepada kebijaksanaan mengurus masa depan negara.

Menjadi negara yang terkehadapan dalam eranya adalah tidak mustahil jika semua perancangan dan amalan dilakukan dengan memahami masa lampau (retrospektif), masa kini (perspektif) dan kemungkinan perubahan masa depan (prospektif).

DR. MOHD. MAHZAN AWANG ialah Ketua Pusat Kepelbagaian Pelajar dan Pembangunan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).