Satu Syawal yang lalu umat Islam meraikan hari raya Aidilfitri dengan begitu meriah sekali. Apa sebenarnya yang kita raikan? Apakah kita meraikan pemergian Ramadan? Atau apakah meraikan kehadiran Syawal?

Hakikatnya, Aidilfitri disambut bagi meraikan kemenangan umat Islam melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan. Selama ­sebulan menahan diri dari makan dan minum dari Subuh hingga ke waktu Maghrib kerana Allah. Bukan itu sahaja, semua pancaindera dan anggota badan kita dipelihara dari menikmati dan melakukan perkara-perkara dilarang agama. Dalam masa sama, semua pancaindera dan anggota kita dilazimkan dengan amalan-amalan soleh yang dituntut agama demi mengejar ganjaran pahala.

Dengan kepatuhan kita mela­kukan semua ini bersungguh-sungguh sepanjang Ramadan dan dengan rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya, boleh dianggap bahawa dengan berakhirnya Ramadan dan masuknya Syawal, kita akan kembali menjadi diri kita yang fitrah, suci lahir dan juga batin. Dalam kata lain, dengan amalan yang ikhlas dan bersungguh-sungguh sepanjang Ramadan, kita akan menjadi ‘orang baharu’ menjelang 1 Sya­wal. ‘Orang baharu’ yang lebih bertakwa selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: ‘‘Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Jika kita imbas kembali apa yang berlaku pada pagi 1 Syawal, ketika menyarungkan pakaian baharu ke badan, terfikirkah kita tentang diri kita sendiri? Apakah diri kita itu ialah ‘orang baharu’ dengan takwanya sebaharu dan secantik baju raya yang disarungkan? Seorang hukama dilaporkan pernah berkata: “Bukanlah hari raya itu dengan baju baharu, tetapi hakikat hari raya itu adalah dengan takwa yang semakin jitu”.

Semakin jitukah takwa kita? Sama ada kita telah berpuas hati ataupun tidak dengan ‘orang baharu’ yang lahir dari madrasah Ramadan yang lalu, kita sentiasa boleh memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti ‘orang baharu’ ini. Cara paling mudah ialah de­ngan terus melakukan apa yang lazimnya dilakukan sepanjang Ramadan seperti solat berjemaah, solat tahajud, membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah setiap hari.

Mungkin ada yang berasa sukar untuk meneruskan amalan-amalan ini kerana bulan Ramadan tidak sama dengan bulan lain dari segi penekanan dalam beribadat. Namun, demi kelangsungan madrasah Ramadan itu, kita boleh me­lakukannya mengikut kemampuan kita. Misalnya, solat berjemaah Maghrib dan Isyak sahaja berbanding solat berjemaah lima waktu, solat tahajud dua rakaat berbanding lapan rakaat, membaca 10 ayat al-Quran sehari berban­ding satu juzuk sehari, beristighfar 70 kali sehari berbanding zikir lain dan bersedekah RM1 setiap hari berbanding RM5 sehari di bulan Ramadan.

Meneruskan amalan-amalan ini pada skala yang lebih kecil tidak sepatutnya melemahkan semangat kita. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Iringi amalan-amalan ini dengan doa agar Allah SWT menetapkan hati kita dengannya.

Dikatakan bahawa takwa manusia digerakkan oleh empat faktor asas: (i) takut pada siksa Allah, (ii) harap pada rahmat dan nikmat Allah, (iii) sabar terhadap ujian-ujian Allah dan (iv) syukur terhadap kurniaan Allah. Cara kita menjalani kehidupan seharian kita perlu menggambarkan bahawa kita berpegang kepada keempat-empat perkara ini.

Sebagai contoh, budaya me­ngadakan rumah terbuka. Dalam majlis seperti ini, tampilkanlah nilai dan sikap ‘diri baharu’ kita. Di pihak tuan rumah misalnya, majlis itu diadakan sebagai tanda syukur atas rezeki yang Allah kurniakan. Bagi mendapat keredaan Allah, majlis itu akan dijadikan medan untuk mengeratkan lagi hubungan dengan sanak-saudara, jiran tetangga dan handai-taulan.

Persediaan yang dibuat pula adalah sederhana agar tidak berlaku pembaziran makanan yang bakal mengundang murka Allah SWT. Dengan segala niat baik dan persediaan rapi, kita akan sabar dan reda sekiranya ada perkara-perkara di luar jangkaan berlaku sepanjang majlis itu berlangsung.

Ramadan telah pergi meninggalkan kita. Ia bukan seperti angin atau hujan yang datang dan kemudian pergi meninggalkan dengan kenikmatan sementara. Ramadan adalah madrasah untuk mendidik diri menjadi Muslim yang sebenar. Kita boleh melepaskannya pergi begitu sahaja. Namun, adalah lebih afdal jika dapat mengambil pengajaran darinya dan menjadikan amalan sepanjang Ramadan sebati de­ngan hidup kita bagi menyokong dan mengisi ‘orang baharu’ yang lahir daripadanya.

PENULIS ialah Felo Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (Emas), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).