Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu baru-baru ini dan pengumuman itu lebih awal berbanding tahun-tahun kebelakangan. Lalu, ada yang bertanya, “Mengapa awal sangat?”

Soalan itu boleh menggambarkan corak pemikiran pihak yang bertanya iaitu sambutan Hari Kebangsaan hanya diraikan sepanjang bulan Ogos. Barangkali baginya, pada bulan lain hal-hal berkaitan sambutan Hari Kebangsaan atau memperingati kemerdekaan tanah air tidak perlu diperbesar-besarkan. Mungkin dianggap hanya merugikan masa.

Sungguhpun begitu sekurang-kurangnya pihak yang bertanyakan soalan berkenaan sedar bahawa Ogos adalah bulan ulang tahun kemerdekaan tanah air. Mungkin tercetus minat untuk mereka menyertai beberapa program sempena kedatangan bulan penuh bermakna ini terutama bagi sebuah negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Berbeza pula dengan sebahagian rakyat Malaysia seolah-olah tidak ambil kisah langsung tentang Hari Kebangsaan atau memperingati kemerdekaan. Go­longan ini kononnya tidak berminat untuk mengetahui apa-apa program yang dirancang dan dijayakan sempena ulang tahun kemerdekaan.

Dalam pada itu pihak penganjur sentiasa mengadakan kempen besar-besaran untuk menjayakan program-program tertentu sempena Hari Kebangsaan seperti Kempen Kibar Jalur Gemilang, Doa Untuk Malaysia, Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri dan acara perarakan di Dataran Merdeka bagi menarik lebih ba­nyak penyertaan dalam kalangan rakyat.

Mungkin ramai juga tidak me­nyedari semuanya ini diatur de­ngan harapan timbul rasa syukur dan bangga menjadi penduduk di bumi merdeka sekali gus mencetuskan semangat cinta dan sayangkan negara. Acara atau program-program ini bukan sahaja diadakan di ibu negara malah turut membabitkan peringkat negeri, daerah dan komuniti kampung.

Selain program-program utama, pihak penganjur khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan jabatan serta agensi-agensi di bawahnya saban tahun mengatur acara serta program-program lain seperti La­rian Merdeka, Kayuhan Merdeka, Karnival Merdeka selain pertandingan-pertandingan Instagram Merdeka serta Hiasan Merdeka.

Penulis juga ingin menge­syorkan agar pihak penganjur memikirkan beberapa pendekatan dan kaedah-kaedah baharu dan kreatif bagi menambah daya tarikan terhadap program-program yang diatur untuk tahun ini.

Ini sesuai dengan sasaran lebih ramai golongan muda tampil ‘me­rayakan’ Hari Kebangsaan selari dengan matlamat gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Umpamanya Jalur Gemilang ber­kibar serentak di alam siber.

Apa pun meraikan kemerdekaan bukan semestinya berpandukan acara atau program-program khusus yang diatur. Bukan juga semestinya di­sambut hanya pada Ogos setiap tahun sebaliknya, kemerdekaan perlu diraikan sepanjang masa. Kemerdekaan itu sangat mahal harganya. Sesungguhnya, kemerdekaan bukan sekadar diraikan dalam bulan tertentu sahaja.

Jangan pula ada yang tersalah faham. Sebenarnya meraikan kemerdekaan boleh dilakukan pada bila-bila masa asalkan menepati matlamat dan tujuan. Sebagai contoh dengan menunjukkan rasa syukur atas kurniaan Allah SWT apabila kita dianugerahkan sebuah negara yang bebas, berdaulat, aman, makmur dan sejahtera.

Dengan kata lain rakyat tidak perlu melakukan acara secara formal tetapi memadai dengan sentiasa menumpahkan kasih sayang dengan cara tidak me­lakukan sebarang tindakan yang boleh menggugat keharmonian. Misalnya kata-kata yang boleh mencetus sensitiviti antara agama serta kaum atau sengaja bertindak memburuk-burukkan pemerintahan yang sudah teguh dan stabil.

Bukankah lebih bermakna sekiranya kemerdekaan ini diterjemahkan menerusi pemupukan nilai-nilai budi dan kemesraan, fokus memajukan diri dan negara, saling hormat-menghormati, bertoleransi, bantu-membantu, menerima seadanya struktur politik serta pemerintahan yang sudah terpasak teguh sejak sekian lama.

Perlu diakui bahawa sebarang persengketaan khususnya berpunca daripada sentimen politik yang berbaur perkauman atau mementingkan kelompok-kelompok tertentu hanya akan membawa kehancuran.

Hakikatnya, sudah hampir 60 tahun usia kemerdekaan negara dan sepatutnya rakyat Malaysia semakin patriotik. Sayangilah negara dan hargai kedaulatan yang diperoleh. Sudah banyak kejayaan dan kemajuan yang dicapai. Sudah banyak kemudahan serta peluang dinikmati secara inklusif dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang budaya.

Juga tiada siapa yang dinafikan hak untuk maju dalam segala bidang dan segenap sudut kehidupan. Justeru, mengambil semangat usia 60 tahun kemerdekaan, telah sampai masanya bagi seluruh rakyat Malaysia memahami konsep mensyukuri kemerdekaan tanah air pada erti kata sebenar.

Setiap rakyat perlu mempu­nyai kesedaran dan keinsafan untuk menentukan kelangsungan kemakmuran dan kemajuan negara pada jangka panjang, bukan meraih kepentingan politik sempit yang tidak memberi impak apa-apa.

Kita juga perlu bersatu dan sedia menghadapi apa jua cabaran mendatang antaranya suasana ekonomi yang tidak menentu dengan tenang dan yakin. Bersama-samalah rakyat Malaysia berdiri teguh di bawah panji-panji Jalur Gemilang dengan megah berpadu, sambil membisikkan dalam hati, “Malaysia, Negaraku Sehati Sejiwa!”.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.