Berwukuf di Arafah adalah detik yang paling dinanti-nantikan oleh jemaah haji. Walaupun wukuf dalam rukun haji berada pada kedudukan kedua selepas niat, namun perbuatan itu adalah paling utama dalam ibadah haji.

Rasulullah SAW bersabda: “Haji itu adalah Arafah. Barang siapa datang pada malam tanggal 10 Zulhijjah, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah.” (Riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan).

Arafah dianggap kemuncak penyempurnaan ibadah haji. Di sini jugalah Rasulullah SAW menyampaikan khutbah baginda yang terkenal dengan nama khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Peristiwa itu berlaku pada 10 Hijrah. Nama itu diberikan kerana selepas beberapa bulan khutbah tersebut disampaikan baginda wafat untuk bertemu dengan Allah SWT.

Arafah juga dianggap gambaran Padang Mahsyar ke­rana lebih dua juta umat Islam berkumpul dalam satu masa. Arafah turut mencatatkan sejarah sebagai tempat Adam dan Hawa bertemu semula di Jabal Rahmah selepas beratus tahun terpisah.

Selain itu wukuf di Arafah adalah detik terbaik kepada jemaah haji untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Di Arafah, kesabaran dan tahap pengorbanan seorang hamba Allah akan diuji. Jika sebelum ini apabila jemaah tiba di Madinah atau Mekah, mereka enak berbaring di atas tilam empuk dan mengecap keselesaan di dalam bilik hotel yang berhawa dingin, tetapi di Arafah semua itu tidak akan dinikmati.

Mereka akan diuji dengan tinggal beramai-ramai di dalam khemah dan ditambah lagi dengan cuaca panas mahupun siang dan malam. Seharusnya semua itu tidak menjadi rungutan kerana bukan keselesaan hidup yang mereka buru di Arafah tetapi pengampunan daripada Allah SWT.

Oleh itu, seperti mana disaran oleh para alim ulama, bentangkanlah dosa-dosa yang pernah kita lakukan de­ngan memohon agar Allah SWT mengampunkan kita. Dalam apa juga perkara yang dilakukan berkaitan soal ibadah kepada Allah SWT, jangan sesekali berasa ragu sebaliknya tanamkanlah keyakinan bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Sesungguhnya pada hari tersebut bumi Arafah akan di­limpahi dengan rahmat Allah khusus untuk tetamu-Nya yang hadir semata-mata mahu mendapatkan reda Allah SWT. Kepada umat Islam yang tidak berpeluang atau belum dijemput menjadi tetamu Allah mereka juga mempunyai kesempatan untuk meraih keberkatan hari wukuf di Arafah iaitu dengan melakukan puasa sunat pada 9 Zulhijjah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda; “Ketika puasa pada hari Arafah, aku berharap Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa setahun yang lalu dan dosa-dosa setahun yang akan datang.”

Oleh itu, pengampunan Allah SWT pada hari Arafah bukan sahaja untuk mereka yang berwukuf tetapi juga mereka yang tidak menunaikan ibadah haji. Rebutlah ­peluang ini dalam usaha kita mendapatkan rahmat dan reda Allah SWT dunia dan akhirat.