ALHAMDULILLAH, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah serta kurnia-Nya, maka kita dapat bersama-sama berkumpul pada petang yang penuh gemilang ini sempena majlis ulang tahun ke-48 majalah Wanita.

Seperti yang umum sedia maklum, Wanita adalah sebuah majalah terbitan anak syarikat Kumpulan Utusan iaitu Utusan Karya Sdn. Bhd. yang merupakan wadah bacaan yang paling popular dalam kalangan kaum wanita di negara kita. Pada hari ini, kita amat bangga kerana dapat sama-sama meraikan kejayaan majalah Wanita yang mengungguli pasaran terbitan selama 48 tahun.

Menyelusuri sejarah, terbitan majalah Wanita adalah bertitik tolak daripada cetusan idea yang terhasil semasa seminar penulis-penulis wanita di Dewan Perkumpulan Wanita anjuran Utusan Melayu pada Mac 1969. Pada ketika itu, para penulis wanita berasakan perlu adanya sebuah bahan bacaan atau majalah khusus untuk tatapan kaum hawa. Justeru, pada tanggal 13 Ogos 1969, lahirlah majalah Wanita yang mana isi kandungannya hampir sepenuhnya membawa isu dan aspirasi golongan wanita.

Saya percaya, pasti ramai di antara kita di sini membesar dengan majalah Wanita. Apa yang uniknya, majalah ini menjadi wadah bacaan ilmiah pilihan turun-temurun oleh para ibu dan anak-anak daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pada mulanya majalah ini hanyalah sekadar bahan bacaan ringan tetapi kini telah berkembang menjadi sumber rujukan untuk wanita pelbagai profesion, sekali gus menjadi manifestasi kepada pembangunan wanita di Malaysia.

Sepanjang tempoh penerbitannya, majalah ini telah menjadi medium dalam memberikan informasi terkini mengenai wanita dan penyalur aspirasi. Kredibiliti majalah Wanita terus terserlah apabila sering melaporkan berita-berita eksklusif dan terkini yang bukan sahaja menyalurkan informasi berguna tetapi juga mendidik minda kaum hawa agar menjadi lebih sukses dalam kehidupan dan kerjaya serta melahirkan para wanita yang berintelek dan peka dengan persekitaran terkini.

Dengan paparan isu-isu terkini dan informasi berkualiti dalam pelbagai bidang berkaitan kesihatan, kecantikan, kerjaya, kewangan, fesyen, hiasan rumah, kemasyarakatan dan kekeluargaan, pengisian Wanita dilihat lebih holistik menjadikannya sebuah majalah yang sesuai untuk dibaca oleh masyarakat pelbagai bangsa dan usia.

Ibarat usia mematangkan minda, kemampuan Wanita untuk bergerak progresif sejajar dengan peralihan masa dan terus kekal relevan lagi mampan di dalam pasaran terbitan selama 48 tahun adalah satu indikator bahawa Wanita mempunyai competitive advantage dan sustainability factor mengatasi terbitan-terbitan lain di pasaran. Atas kejayaan yang amat memberangsangkan ini, saya dengan penuh bangga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada majalah Wanita atas pencapaian cemerlang ini.

Paparan eksklusif pelbagai cerita

Isu menarik dijadikan gubahan

Tahniah buat majalah Wanita

Empat puluh lapan tahun gah bertahan

Melihat kepada arus perubahan ini, saya yakin para pengarang dan sidang redaksi majalah tentunya memahami bahawa menerbitkan sebuah majalah ini bukanlah sekadar menghasilkan satu wadah bacaan semata-mata tetapi peranannya adalah lebih dari itu. Suka saya ingin menekankan di sini bahawa terdapat satu hubungan yang istimewa antara majalah Wanita dan masyarakat. Majalah berkonsepkan wanita ini boleh diposisikan sebagai mempunyai kelebihan atau peranan penting dalam pemikiran, budaya, nilai dan gaya hidup masyarakat di samping mengetengahkan perbincangan mengenai topik-topik seperti kemodenan, hak-hak asasi dan lain-lain isu sosial semasa khususnya berkaitan kaum wanita dan kekeluargaan.

Oleh yang demikian, saya melihat peranan majalah berkonsepkan wanita ini boleh bertindak sebagai nadi kepada transformasi wanita dan support system kepada komuniti sejagat dalam membawa perubahan kepada landskap pembudayaan keluarga, nilai-nilai murni kekeluargaan yang seterusnya akan memberi kesan jangka panjang terhadap pembangunan modal insan.

Jika kita menyingkap perjalanan lebih empat dekad ini, majalah Wanita secara eksklusifnya telah melakarkan pelbagai kisah pahit manis kejayaan ramai ikon dan personaliti wanita berwibawa di Malaysia yang menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain. Lanjutan itu, saya kira amatlah bersesuaian untuk saya menyentuh serba sedikit tentang tahap pencapaian wanita di Malaysia yang telah berevolusi dan melangkah lebih jauh sejak beberapa dekad ini.

Dalam tempoh 10 tahun ini, kaum wanita di Malaysia telah mencatat pelbagai kejayaan yang signifikan lagi membanggakan di peringkat kebangsaan mahupun di persada antarabangsa sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik, sains kesihatan, sains angkasa mahupun kesenian. Antara contoh yang membanggakan, Malaysia berjaya mencapai pariti dari sudut penyertaan tenaga kerja di mana penglibatan tenaga kerja wanita telah meningkat daripada 47% pada tahun 2015 kepada 52% pada tahun 2016. Ini jelas menunjukkan dalam sektor pekerjaan, kaum wanita adalah sebahagian daripada modal insan yang berpotensi menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.

Secara perbandingan dengan negara-negara ASEAN pula, Malaysia adalah satu-satunya negara yang meletakkan sasaran dan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor awam dan korporat. Sehingga 2016, kita telah berjaya melepasi sasaran dengan pencapaian sebanyak 35.8% wanita di peringkat pengurusan tertinggi di sektor awam manakala sektor korporat pula hampir mencapai sasaran yang telah ditetapkan sebanyak 29.9%.

Dari segi ekonomi, kesihatan dan pendidikan pula, The Global Gender Gap Report 2016 melaporkan bahawa Malaysia telah mencapai tahap pariti yang hampir setaraf dengan negara-negara maju.

Peningkatan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan keusahawanan serta perubahan sosio budaya dalam kalangan masyarakat telah membolehkan wanita bergerak progresif dan berpeluang untuk menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara. Ini diperkukuhkan lagi dengan sokongan kerajaan yang sentiasa mengambil berat tentang isu dan kepentingan wanita serta mengiktiraf wanita selaku rakan pembangunan negara.

Saya akui, bukan mudah untuk kaum wanita yang bertindak selaku isteri, ibu dan wanita bekerjaya untuk mendepani arus perdana pembangunan globalisasi yang penuh dengan liku-liku cabaran. Namun, berdasarkan kejayaan dan pencapaian gemilang ini, ternyata bahawa negara kita telah menampakkan perubahan magnitud yang besar dalam melaksanakan agenda-agenda memperkasakan pencapaian wanita dan menangani pelbagai isu-isu wanita yang lain. Jika mahu dibandingkan dengan senario global semasa, kedudukan kita sebagai wanita Malaysia ternyata jauh lebih baik berbanding negara-negara lain. Kita seharusnya bersyukur dengan segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan sehingga mencapai kejayaan ini.

Sejajar dengan kejayaan yang membanggakan ini, majalah Wanita wajar diberi penghargaan di atas usaha mereka dalam memberi sanjungan dan menjulang martabat wanita dengan memaparkan pencapaian-pencapaian tertinggi oleh kaum wanita di negara kita. Sorotan kisah-kisah inspirasi oleh majalah Wanita melambangkan wanita masa depan Malaysia yang membentuk generasi akan datang.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan sekalung tahniah kepada majalah Wanita kerana berjaya bertahan selama lebih empat dekad di pasaran. Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran pada era digital serta media sosial, namun Wanita kekal unggul sebagai majalah bercetak khas untuk kaum hawa di negara kita. Besarlah harapan saya agar wanita terus relevan dan mengekalkan keunikan dengan menyajikan informasi yang lebih menarik dan berkualiti untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berketrampilan tetapi juga intelek serta berkarisma dalam segenap bidang yang diceburi.

Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Kumpulan Utusan dan majalah Wanita di atas pengurniaan Anugerah Tokoh Wanita kepada saya pada hari ini. Saya difahamkan ini adalah anugerah yang julung kalinya diperkenalkan oleh majalah Wanita bagi mengiktiraf dan menghargai peranan wanita dalam pembangunan institusi keluarga dan kemasyarakatan. Sesungguhnya, saya berasa amat terharu dan berbesar hati atas penghargaan ini.

Penglibatan saya dalam program PERMATA serta program-program berkaitan wanita sememangnya amat dekat di hati saya. Sesungguhnya, penglibatan ini lahir dari hati yang ikhlas untuk menabur jasa bakti kepada generasi muda kita yang menjadi perintis kepada kepimpinan negara. Saya berharap penganugerahan ini juga akan memberi rangsangan kepada wanita-wanita lain untuk menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

Semoga majalah Wanita terus sukses sebagai medan ilmu dan menyerlahkan lagi kredibiliti, kualiti dan iltizam dalam diri setiap kaum hawa di negara kita.

Pesona indah hiasan mata

Padat isinya penuh bergaya

Semoga berjaya majalah Wanita

Teruskan usaha martabatkan karya.