Berdasarkan perkiraan atas kertas, PKR dikatakan tidak berdepan masalah untuk mengekalkan kerusi tersebut. Bahkan mereka cukup yakin berupaya menang dengan majoriti besar di kawasan yang 71 peratus pengundi Melayu, 15 peratus India, 11 peratus Cina dan selebihnya lain-lain bangsa itu.

Sehinggakan calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang bersifat over confident bahawa beliau tidak bimbang sedikit pun dengan kerjasama antara UMNO dan Pas kerana yakin undi rakyat di Sungai Kandis akan berpihak kepadanya sebagaimana PRU-14 lalu.

Itu cuma atas kertas dan mengikut perkiraan parti PKR, tetapi menjelang akhir kempen sudah terlihat perubahan sikap dalam kalangan pengundi khususnya orang Melayu. Lebih-lebih lagi apabila Pas sendiri memberi isyarat agar mengundi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

Sebenarnya, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis datang pada masa yang amat menarik dan mencabar kepada kedua-dua parti iaitu PKR dan BN. Ia menarik kerana inilah buat kali pertama selepas negara ini merdeka, BN bertanding dalam pilihan raya sebagai pembangkang.

Tentu sekali ramai pemerhati dan rakyat keseluruhannya mahu melihat sejauh mana BN dan UMNO mampu berperwatakan, bersikap serta mempunyai mentaliti sebagai pembangkang bagi membolehkan rakyat memberi kepercayaan kepada wakil mereka untuk menjadi suara dalam DUN Selangor.

Ia juga menarik kepada PKR serta Pakatan Harapan (PH) kera­na walaupun sudah sah berdaftar pada Mei 2018 lalu, PH masih gagal bertanding sebagai sebuah entiti besar. PH masih lagi tiada keberanian bertanding menggunakan jenama PH sebaliknya kekal menggunakan lambang PKR seperti PRU-14.

Pada masa sama, tidak boleh tidak juga PRK Sungai Kandis ini akan menjadi pengukur atau percaturan kepada pemilihan dalaman PKR yang akan berlangsung bulan depan kerana baik kem ‘Segambut’ atau pasukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semua­nya ada perhitungan tersendiri.

Namun di sebalik semua itu, apa yang lebih penting, PRK Sungai Kandis ini adalah satu referendum kepada rakyat. Ia manifestasi bagi mengukur sejauh mana tindak balas atau penerimaan rakyat. Ini kerana baru pun tidak sampai 100 hari PH memerintah, banyak sudah perasaan orang Melayu dan umat Islam dilukai.

Dalam tempoh yang sama juga, kira-kira 17,000 pekerja kontrak di sektor awam menjadi mangsa kepada dendam politik, ditamatkan kontrak dalam bulan Ramadan tanpa ada rasa perikemanusiaan dan tidak sedikit juga diarahkan agar berhenti hanya kerana dilihat mesra kepada kerajaan terdahulu.

Dalam soal janji pula, sudah tidak terhitung banyaknya janji yang tidak ditunaikan dan ia mungkin tidak akan ditunaikan pun kerana kepimpinan PH sendiri sudah menegaskan janji manifesto bukan kitab suci. Sudahnya, siapa yang tertipu dan tentu sekali pengundi Sungai Kandis adalah antara mangsanya.

Justeru, jika Lokman menang ia akan memberikan isyarat bahawa orang Melayu belum bersedia melepaskan kedudukan bumiputera dan agama Islam yang merupakan sebahagian daripada perjuangan kemerdekaan lalu. Orang Melayu tidak rela dihina sebagai kaum pendatang di bumi sendiri.

Selain itu, jika Lokman menang juga ia memberikan isyarat yang rakyat akan menghukum sesiapa sahaja yang ‘kaki kencing’ dan bukan semata-mata menolak BN sebelum ini hanya kerana sentimen. Sememangnya lagi, itu adalah hak rakyat untuk bangkit menuntut setiap apa yang dijanjikan PH.

Sebaliknya, jika Mohd. Zawawi menang besar seperti keputusan PRU-14 lalu ia memberi isyarat bahawa Melayu bandar sudah tidak peduli semua perjuangan lalu dan PH bebas merombak apa sahaja yang mereka mahu dalam tempoh lima tahun ini. Mereka juga tidak kisah walaupun dibohongi di siang hari.

Sehubungan itu, di Sungai Kan­dis ini hanya satu, apakah rakyat khususnya orang Melayu merelakan semua yang berlaku sejak PH mengambil alih kuasa atau mahu bangkit bersuara? PRK Sungai Kandis hanyalah satu ujian kepada rakyat.

Ia satu referendum kepada rakyat mengenai bukan sahaja dalam aspek janji-janji pilihan raya iaitu jauh lebih penting adalah soal kedudukan agama Islam, orang Melayu, bahasa Melayu dan raja-raja Melayu.