Sebaliknya, BN Tapah berada dalam kemegahannya sendiri apabila menang 3-0 iaitu kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Ayer Kuning dan DUN Chenderiang.

Lebih menarik, BN Tapah adalah kawasan contoh bagaimana wakil rakyatnya terdiri daripada 1Malaysia kerana ketiga-tiga kerusi yang dimenangi diwakili tiga parti komponen utama dalam BN.

Ahli Parlimennya Datuk M. Saravanan dari MIC, DUN Chenderiang pula dimenangi Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon manakala DUN Ayer Kuning dimenangi Ke­tua UMNO Bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Agak menakjubkan kerana ketiga-tiga wakil rakyat BN itu menang besar dalam PRU-13 iaitu Saravanan menang 7,927 undi, Hang Soon 4,764 undi manakala Samsudin 3,485 undi.

Rahsia benteng kukuh BN Tapah yang mampu menahan gelora dan tsunami politik dalam PRU-13 ialah sikap toleransi yang tinggi sesama pengerusi parti-parti kompenan dalam BN.

Sikap bertoleransi yang ditunjukkan begitu tinggi sesama pemimpin parti komponen BN di Tapah dalam memastikan tiada percakaran berlaku dalam pembahagian kerusi.

Apabila tiada pergeseran dalaman, hilang rasa tidak puas hati, maka gerak kerja semasa kempen pilihan raya dalam dijayakan secara bersama dalam kalangan ketiga-tiga parti komponen.

Hasilnya, BN Tapah langsung tidak terkena tempias tsunami pe­ngundi dalam PRU-13 sebaliknya gah mencatat kemenangan besar. Ini membuktikan asakan, tohmahan, serangan dan cabaran daripada parti pembangkang tiada apa-apa jika BN sendiri kukuh dari dalam.

Semangat toleransi BN Tapah menarik perhatian dan pujian daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sehingga mahu seluruh jentera BN mengambil semangat daripada BN Tapah dalam PRU-14.

“Semangat BN Tapah harus dibawa ke tempat lain. Mesti ada semangat untuk menang besar seperti di Tapah. BN akan menang cemerlang jika semangat berkongsi kuasa seperti mana di Tapah ini digendong jentera BN di semua bahagian,” katanya ketika melancarkan jentera BN Tapah baru-baru ini.

Mesej yang mahu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri ialah komponen BN tidak harus bertegang leher untuk berebut kerusi, apatah lagi di kerusi-kerusi yang tradi­sinya kepunyaan sesebuah parti. Ia merupakan masalah yang boleh menjejaskan kekuatan BN.

Perlu diakui bahawa ini bukan masa untuk memikirkan sentimen kepartian atau bernostalgia mengenang kegemilangan silam di kerusi tradisi sedangkan hakikatnya senario politik sekarang sudah jauh berubah.

Perkara itu dipersetujui oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menyedari hakikat itu dan menegaskan pemilihan calon akan dibuat bersama komponen BN dengan melihat kedudukan di setiap tempat.

Ini disebabkan mungkin ada parti yang mengatakan suatu tempat itu mungkin selamanya dimiliki oleh satu-satu komponen tetapi dalam masa yang sama perlu buat penilaian tentang kepentingan BN. Ini bagi memastikan BN menang di setiap kawasan yang ditandingi, bukan atas faktor satu parti semata-mata.

Kalau calon yang dipilih di sesuatu tempat itu hanya kerana ia adalah kuota atau tempat itu mesti parti tertentu tetapi jika tidak memberi kemenangan kepada BN, ia tidak beri apa-apa hasil.

“Sebab itu dalam BN, calon akan buat penilaian dalam memberi kemenangan kepada BN.

“Sekiranya ia tidak boleh lagi bertanding di kawasan berke­naan dari segi peluang untuk memenangi kawasan itu agak sukar, jadi tentunya kena fikir kaedah lain,” kata Zambry baru-baru ini.