Namun sebagai insan yang mengharap seperti penulis, hanya doa yang terdaya dilakukan supaya ‘wada’ di Madinah ini bukanlah ‘wada’ bernoktah’. Hari ini kami petugas media Tabung Haji, telah pun bergerak ke Mekah al Mukaramah.

Dengan doa, “Ya Allah, Ja­nganlah Engkau jadikan ziarah hamba-Mu ini ke Makam Nabi-Mu SAW sebagai ziarah terakhir, akan tetapi sekiranya Engkau mengambil nyawaku, maka matikanlah kami dalam kecintaan kepadanya dan kepada sunnahnya. Terimalah permintaan kami, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dari segala yang me­ngasihani.”

Kami tinggalkan kota Madinah dengan perasaan sedih atas perpisahan.

Hampir 11 hari petugas media Tabung Haji berada di Madinah, banyak telah disaksikan mengenai kerja keras, pengorbanan tanpa mengira waktu dan ke­siapsagaan petugas Tabung Haji.

Bagi mereka, menjaga kebajikan 30,200 jemaah haji Malaysia pada Musim Haji 1438 Hijrah, adalah satu tanggungjawab besar dan ia dilaksanakan dengan hati yang ikhlas dalam menyantuni ‘dhuyufurrahman’.

Mereka bekerja dalam senyuman, diarah pergi ke mana sahaja, mengangkat barang apa sahaja, itulah petugas Tabung Haji - jemaah haji adalah ‘pe­langgan’ yang perlu diberi keutamaan.

Oleh itu, dalam menyaksikan ketibaan jemaah haji di beberapa hotel penginapan, mengurus hal kebajikan dan keperluan mereka di Madinah ini, penulis melihat satu persatu jemaah telah diberi layanan mesra bermula sejak ketibaan mereka di Terminal Haji Madinah.

Pelbagai ragam dapat dilihat, namun petugas Tabung Haji melayan dengan tenang dan sabar. Bukan mudah untuk menguruskan sejumlah rombongan yang besar sebegini dengan latar belakang berbeza, jawatan dan sebagainya, apatah lagi yang dilayan ini adalah ‘tetamu Allah’.

Percayalah, apa yang dilakukan itu demi kebaikan bersama sepanjang berada di bumi suci ini.

Inilah keluarga besar yang dihadapi bersama. Sakit mereka, maka sakitlah kita. Gembira mereka, gembiralah kami sebagai petugas Tabung Haji.

Sepanjang penulis berada bersama jemaah haji Malaysia, pujian awal sudah pun diterima - bantuan segera di hotel penginapan dan semasa program ziarah.

Mereka mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji kerana mengatur program itu dan gembira dengan penjelasan yang diberikan amat baik dan memuaskan. Mereka secara keseluruhannya berpuas hati dengan sambutan dan layanan petugas Tabung Haji di hotel penginapan.

Bagi penulis, jemaah haji Malaysia amat berdisiplin dan patuh dengan arahan. Kalau pun ada bunyi suara kecil yang kurang puas hati, itu biasa. Ia ada di mana-mana dan tidak mungkin semua kemahuan jemaah haji itu dapat dipenuhi oleh petugas Tabung Haji pada waktu serentak.

Maka, bagi jemaah haji pula, perbanyakkan bersabar dengan apa juga ujian yang ada di Madinah ini. Ini baru permulaan, ujian sebelum jemaah berangkat ke Mekah. Penulis optimis Tabung Haji akan sentiasa me­ningkatkan komitmen menjaga hal ehwal kebajikan jemaah.

Jadi betulkan semula niat, kerana ramai yang telah datang ke Madinah dan Mekah tetapi tidak mengerti hakikat kehadiran mereka ke bumi suci ini. Jaga adab dan kesopanan, bertenang dan paling penting: “Jemaah haji, anda adalah tetamu Allah.”