Dalam hubungannya dengan generasi berusia antara kekuatan yang dimiliki adalah mereka melalui perjalanan sejarah sejak sebelum merdeka kepada zaman merdeka sehingga kini menjadi sesuatu yang amat bernilai.

Khazanah pengalaman ini sangat penting dikongsi ge­nerasi muda kerana kesenangan yang dirasai kini hasil pengorbanan, jatuh bangun dan susah payah yang dilakukan oleh mereka bagi mendepani kerenah zaman yang mencabar. Harus wujud kesinambungan tradisi yang baik diperku­kuhkan dan perubahan berasaskan faktor-faktor fundamental diperkasa.

Perjuangan kerana agama, bangsa dan negara adalah sesuatu yang fundamental bagi orang Melayu dan harus difahami dengan baik oleh generasi muda. Konsep bangsa jangan dilihat dalam skop yang sempit. Ia harus dilihat dalam konteks luas bahawa bangsa Melayu yang menganut agama Islam harus melakukan litaarrafu atau kekenalan seperti yang diungkapkan al-Quran dalam Surah al-Hujurat ayat ke-13. Kekenalan itu mendorong umat Melayu mempelajari, berkongsi, memberi dan menerima kebaikan dari orang lain dan melakukan sinergi supaya ia membantu kepada pembangunan bangsa yang sifatnya menyumbang.

Memperkasa agama adalah sesuatu yang paling utama. Walaupun Islam sering dijadikan sasaran agama yang disalah faham, bayangkan umat Melayu tanpa Islam, binaan watak dan etika tidak akan menjadi keutamaan. Melayu akan bersifat oportunis, rakus, hilang integriti, tidak memiliki prinsip dan menjalani hidup ibarat sesumpah ikut arus dan kepentingan.

Binaan negara atas asas bangsa yang diperluaskan sebagai bangsa Malaysia memerlukan perpaduan sebagai landasan. Perlembagaan dan Rukun Negara meletakkan asas ini untuk warganya menghayati terutama generasi muda.

Generasi muda Melayu yang patuh kepada ajaran Islam diharap mampu menggilap potensi diri supaya kehadirannya me­nyumbang terhadap pembangunan negara dan kekuatan umat Melayu dan bangsa Malaysia terjadi.

Keselesaan yang dinikmati kini antara lain menyebabkan mereka lupa dan setengahnya kehilangan adab menyantuni tradisi yang baik dan bersikap liberal seolah-olah perubahan dan kemajuan berlaku sekelip mata. Sebahagian dari mereka yang belajar di Barat kehilangan jati diri dan merasakan Barat itu segala-gala tanpa melihat realiti Malaysia dalam konteks membangun berasaskan acuan kita sendiri.

Menelusuri persejarahan Malaysia, faktor umat Melayu dalam dimensi agama, bahasa dan budaya menjadi faktor teras yang menghasilkan keseimbangan dalam negara majmuk. Generasi muda harus memahami hakikat ini. Kita tidak menolak perubahan dan kemajuan tetapi landasan yang dipilih adalah mengukuhkan masyarakat teras supaya ekuiti atau pegangannya dalam ekonomi meningkat dan etika serta akhlaknya menjadi contoh.

Golongan muda sebahagiannya amat ghairah dengan suasana terbuka dan liberal tanpa menyedari agenda memperkasa masyarakat teras adalah suatu tuntutan. Satu suasana yang tidak kena adalah aplikasi media sosial yang digunakan semahu-mahunya tanpa pertimbangan benar atau salah perkhabaran yang ditularkan atas sikap berseronok. Ia boleh membawa kepincangan kepada masyarakat kalau tidak dikendali dengan seimbang dan jujur terutama terhadap isu persepsi dan pemikiran netizen.

Aspek lain yang menuntut perubahan adalah mentaliti subsidi yang berakar sekian lama. Sikap bergantung kepada kerajaan dan kurang menampilkan jiwa mandiri (berdiri atas kekuatan sendiri) supaya mereka menjadi produktif, memiliki daya saing yang tinggi di samping memanfaatkan ruang dan peluang untuk maju dalam semua bidang menjadi faktor yang menuntut perubahan.

Sikap sebegini menyebabkan orang Melayu terus terpinggir dan kelompok yang mempu­nyai kuasa beli yang tinggi terus maju ke hadapan. Ia bertambah mencabar kerana kelompok kelas mene­ngah dalam kalangan orang Me­layu sebahagiannya tidak melihat mengubah sikap orang Melayu adalah suatu tuntutan dan tanggungjawab bersama.

Generasi berusia baik dalam konteks keluarga, institusi pendidikan, sektor ekonomi, perniagaan dan politik harus mendekati generasi muda supaya mereka terbimbing dan terpedoman untuk memahami faktor-faktor persejarahan umat Melayu dan menilai kembali setakat mana kekuatan yang ada pada mereka untuk bersaing dalam sistem domestik dan dunia yang kompetitif kini.

Dasar-dasar baik yang dikemukakan oleh kepimpinan harus difahami generasi muda sebaik-baiknya. Apabila generasi muda bakal tampil dalam kepimpinan masa depan cabaran dan proses yang sama bakal dilalui. Bentuk cabaran sudah tentu berbeza tetapi etika pendekatan tetap sama iaitu pentingnya ilmu, amanah, kejujuran, keadilan dan kebijaksanaan.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).