Kejernihan pemikiran datang dari hati yang ikhlas, amanah, telus dan tulus, keadilan yang mendekatkan diri kepada takwa dan kualiti keihsanan yang sifatnya menyantuni. Tanpa asas ini pada diri, ketidaktenteraman akan lahir, konflik pemikiran sering terjadi, rasa ragu-ragu bakal muncul dan membina keyakinan terhadap Pencipta menjadi terlalu payah.

Allah berikan manusia akal. Ia adalah anugerah yang ­paling berharga kepada manusia. Akal membolehkan manusia berfikir, menjana ilmu dan membuat keputusan. Tetapi akal juga mempunyai keterbatasan. Dalam memahami hal-hal ghaib, bantuan nakli atau wahyu amat diperlukan. Wahyu terkandung petunjuk dan mukjizat dari Allah. Ia ibarat suluh yang memberikan manusia pencerahan. Tanpa pedoman wahyu manusia boleh memahami yang nyata dan nampak tetapi tidak mempunyai pengetahuan menghubungkan yang nyata dengan yang ghaib.

Al-Quran sebagai sumber wahyu amat selari dengan penemuan saintifik. Terdapat banyak ayat al-Quran memberi pedoman mengenai sains dan alam sekitar. Banyak perkara yang manusia lakukan penemuannya melalui isyarat dari al-Quran. Kalau al-Quran tidak ­datang dari Allah, mana mungkin manusia menemui petunjuk secara inderawi semata-mata.

Kajian tentang langit dan bumi dan segala isinya ada kaitan dengan al-Quran. Asbab kejadian manusia dan mengapa manusia dicipta diberi petunjuk oleh al-Quran. Ia bukan rekaan Nabi Muhammad SAW kerana Nabi Muhammad ialah manusia seperti kita dan dipilih sebagai Rasul terbilang menyampaikan risalah kebenaran.

Dalam Islam, tunjangan yang memberikan manusia pedoman adalah hubungan menegak dengan Allah (hablum minallah) dan hubungan merentas dengan manusia dan sistem (hablum minannas). Tunjangan ini membentuk tasawwur atau fikrah Islami yang sangat perlu bagi manusia memahami hubungannya dengan Allah dan hubungan sesama manusia dan sistem.

Asas ini memberikan pedoman yang saling melengkapi antara faktor akal dan hubungannya dengan hati. Apa yang difikir oleh manusia tidak berada dalam kekosongan. Ia terhubung dengan diri khususnya hati. Pemikiran tidak boleh berdiri sendiri tanpa adanya keyakinan dan kepercayaan terhadap manfaatnya. Yang memberi pedoman kepada manfaat itu datangnya dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Menolak faktor nakliah (wahyu) bermakna pemikiran menjadi mekanistik, tanpa roh dan hala tuju.

Di sini pentingnya akal budi disantuni supaya niat dan amal kita mempunyai pedoman. Beramal tanpa niat yang telus dan tulus boleh membawa kepada penyimpangan. Amal berasaskan niat yang bersih dan jernih ada pertaliannya dengan Allah. Hubungan menegak dengan Allah memberikan daya kawalan dan pedoman supaya hati mengambil petunjuk Allah sebagai pedoman melakukan amal.

Bergantung semata-mata kepada akal sahaja menjadikan jalur berfikir tidak seimbang. Berfikir tentang alam pada hakikatnya berkaitan dengan Pencipta. Merenung perjalanan bintang dan cakerawala terkait dengan maksud Sunnatullah. Melihat rezeki yang melimpah ruah terhubung dengan rahmah dan nikmah Allah. Melihat perubahan watak dan gelagat manusia mempunyai kaitan langsung dengan jiwa kehambaan dan kekhalifahan yang dimiliki oleh seseorang insan.

Mereka yang tidak memiliki akal budi yang tinggi hanya berpaut kepada rasional dan logik. Kehidupan manusia ­kerana adanya roh dalam diri. Roh adalah sesuatu yang tidak nampak. Petanda roh itu ada adalah manusia dan haiwan hidup. Bila roh terputus dari jasad, manusia dan haiwan akan mati. Orang yang percaya kepada kekuasaan Allah akan terus yakin bahawa roh itu adalah milik Allah dan Allah itu sahajalah yang Maha Mengetahui hakikat roh itu bukannya manusia yang berpegang kepada akal semata-mata.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Dunia Melayu dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).