Kita sangat bersyukur kerana ramai antara kita yang berkemampuan mengadakan ibadat korban yang menambahkan kemeriahan Aidiladha. Berbanding dengan sesetengah negara, kesederhanaan dan kemiskinan hidup membuatkan kebanyakan mereka tidak dapat melakukan ibadat tersebut.

Di samping itu, ada orang perseorangan dan syarikat-syarikat tertentu di negara kita mengadakan korban di luar negara dengan memfokuskan negara-negara yang penduduknya jarang dapat menikmati daging.

Di negara kita kebanyakan masjid, surau, keluarga dan orang persendirian melakukan korban. Hal ini memperlihatkan betapa ramai antara kita yang berkemampuan dan sanggup mengagih-agihkan kemampuan itu dengan orang lain.

Dalam pada itu, ada dalam kalangan warga bandar yang pulang ke kampung kemudian membuat korban di kampung halaman mereka. Walaupun ada sesetengah pihak menganggap harga lembu dan kambing di negara kita kini agak tinggi tetapi ibadat korban masih mampu dilakukan oleh ramai penduduk Islam di Malaysia. Berdasarkan kajian pihak-pihak tertentu, harga ternakan ini meningkat disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk terutamanya pada musim pe­rayaan.

Kemampuan ini juga dibantu oleh disiplin tinggi dalam kalangan sesetengah umat Islam di negara kita untuk melakukan korban. Ada yang menyimpan wang secara bulanan, mingguan malah ada yang mengadakan tabung khas untuk melakukan ibadat korban.

Awal Ogos lalu, Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani mengimport kira-kira 40,000 ekor lembu dan kambing dari Thailand untuk memenuhi keperluan ibadat korban di negara kita.

Hari Raya Aidiladha bagi sesetengah negeri di negara kita masih meriah kerana masih ada yang menziarahi jiran dan sebagainya. Malah ada di sesetengah tempat budak-budak masih bergerak mencari duit raya. Di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu perayaannya hampir-hampir sama dengan Aidilfitri.

Malah, ramai perantau yang asalnya dari negeri-ne­geri tersebut berusaha pulang ke kampung pada Aidiladha ini kerana sambutan di sana agak meriah. Bertepatan de­ngan cuti sekolah seminggu, beberapa laluan sesak dan dijangka berterusan sehingga malam raya.

Apa pun, kita mesti bersyukur dengan keamanan negara sehingga kita boleh melakukan apa-apa ibadat sekalipun dengan mudah. Kita juga mesti bersyukur dengan negara kita yang bebas daripada malapetaka yang mampu menjejaskan aktiviti harian.

Apa yang diharap, kita mestilah menjalani kehidupan dengan sederhana dan jangan bermegah-megah. Dalam konteks ibadat korban, tidak perlulah kita hendak berlumba-lumba siapa yang boleh melakukan korban de­ngan jumlah binatang sembelihan yang banyak.

Apa yang penting, ibadat korban mestilah ikhlas dan agihan daging korban biarlah sampai kepada golongan yang berhak menerimanya. Bukan semua penduduk di negara ini hidup mewah yang boleh merasai apa yang dinikmati oleh golongan yang berkemampuan.

Oleh itu, agihan daging korban biarlah sampai ke ta­ngan golongan yang miskin dan kurang berkemampuan. Dengan cara itu, ibadat korban akan lebih bermakna kerana salah satu tujuan diadakan korban adalah untuk mendidik hati kita supaya tidak terlalu sayang akan harta-harta dunia.

Selain itu, ibadat korban memperlihatkan kesanggupan kita berkongsi rezeki dan nikmat dengan golongan yang kurang bernasib baik. Selamat Hari Raya Aidiladha.