DR. MAHATHIR MOHAMAD
DR. MAHATHIR MOHAMAD

Mara diminta oleh pengeluar pesawat utama Eropah itu supaya menggugurkan perkataan ‘bumiputera’ dalam konteks jalinan kerjasama pembangunan perindustrian aeronautik itu kerana tidak mahu wujud elemen rasis. Mara akur tetapi masih kekal dengan visinya untuk melaksanakan agenda pembangunan bumiputera di negara ini.

Setakat hari ini sejak ditubuhkan pada 1966, Mara telah memiliki kira-kira 200 collaborator termasuklah bekerjasama dengan Universiti Cambridge dan Universiti Oxford.

Mara adalah organisasi glo­bal. Kalau dijenguk inisiatif Mara untuk pembangunan negara ini, impaknya bukan sedikit. Rakyat bukan Melayu turut menerima limpahan nikmatnya. German Malaysian Institute (GMI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan satu dua lagi dimiliki Mara turut membuka ruang penyertaannya kepada mereka.

Dalam kala­ngan bumiputera, pelbagai etnik turut menjadi pe­main-pemain yang penting. Etnik Kadazandusun menjadi pengetua MRSM; orang Iban sebagai timbalan pengarah Mara di Sarawak manakala Bidayuh dan Suluk turut mendapat tempat.

Jika dihitung setakat hari ini lebih empat juta orang telah mendapat faedah daripada Mara. Mereka terdiri daripada golo­ngan pelajar, usahawan, ahli perniagaan, petani, pekerja sektor awam atau swasta, pesara dan sebagainya. Ramai daripadanya te­lah berjaya dan mengecap nikmat dalam bidang yang diterokai atau dalam kerjaya masing-masing.

Mara berjaya melahirkan 1.2 juta modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang. Agensi ber­kenaan melahirkan sejuta usahawan Melayu dan bumiputera yang berjaya.

Impak MRSM sendiri jangan ce­ritalah, telah me­lahirkan para ilmuwan yang ce­merlang. Sejak di­tubuhkan pada 1972, institusi yang kini berjumlah 53 itu berjaya melahirkan generasi baharu bumiputera yang berpelajaran, berpendidikan dan berkelayakan mendapat kerjaya yang baik.

Malah, keberkesanan sistem pendidikan Mara melahirkan ‘bu­dak Mara’ yang sempat diingati Tumpang lalu seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub; angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Demikian juga institusi-institusi lain yang menaik bilangannya seperti Institut Kemahiran Mara (11), dan GiatMara (231). Di seluruh pelosok negara, pusat pentadbiran Mara telah mence­cah lebih 566. Antaranya termasuklah meliputi 25 bahagian/unit, 14 di negeri-negeri dan 122 di daerah manakala di luar negara sebanyak lapan pejabat dibuka, antaranya di London dan Washington.

Cuma kalau benarlah ada usaha-usaha untuk memecah­kan fungsi Mara kepada beberapa kementerian, antaranya Mara Pelaburan diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi; GiatMara (Kementerian Pembangunan Usahawan); Mara Pendidikan diketuai pula Kementerian Pendidikan sementara ada agensi-agensi Mara yang lainnya di bawah Kementerian Pemba­ngunan Luar Bandar, Tumpang lalu berasa agak terkilan sedikit.

Bukan kerana apa, bimbang ia akan menjadikan Mara suatu entiti lain, dengan lain perkataan melenyapkan identitinya, sekali gus berkuburlah Mara.

Kalau tak mahu letakkan Mara di bawah satu kementerian - tak kiralah Kementerian Pembangunan Luar Bandar atau Kementerian Pembangunan Usahawan - Tumpang lalu fikir Mara harus ada ekosistemnya sendiri.

Agenda pemerkasaan bumiputera merupakan agenda nasional yang perlu sentiasa dipertahan dan diperjuangkan oleh kerajaan. Tidak kiralah sama ada kerajaan BN terdahulu atau kerajaan Pakatan Harapan hari ini.

Sebarang bantuan kepada masyarakat bumiputera sejak dahulu, sekarang dan pada masa hadapan adalah wajar dan tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana langkah tersebut diambil demi keadilan masyarakat dan sosial.

Api perjuangan Mara dari hasil Kongres Ekonomi Bumiputera 1965 yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak harus terus menyala dalam diri mana-mana pemimpin kerajaan atas semangat mempertahankan agenda bumiputera.

Dan Tumpang lalu cukup yakin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mencari jalan tengah untuk tidak memecahkan fungsi Mara. Barangkalikah ada yang sengaja ‘jolok untuk tengok reaksi’?

Semalam, Tumpang lalu menjenguk balik dalam google ucapan Dr. Mahathir semasa program ‘Wacana Intelek Ulung: Syarahan Perdana Bersiri Bersama Tun Dr. Mahathir’, anjuran Alumni UiTM di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 19 Oktober 2009.

Ia dihadiri oleh ramai personaliti graduan UiTM termasuk Naib Canselor UiTM waktu itu, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah.

Kata Dr. Mahathir: “Orang Melayu mampu dilindungi kerajaan kerana dasar-dasar yang ada. Apa akan jadi sekiranya kerajaan yang wujud tidak lagi bersimpati kepada orang Melayu, majoriti warganegara ini?” sambil menjelaskan di masa lepas, Dewan Rakyat dikuasai dua pertiga oleh Ahli-ahli Parlimen yang ‘bersimpati kepada orang Melayu’.

Kata Perdana Menteri keempat masa itu (kini Perdana Menteri ketujuh):

“Ada pihak yang berasa bangga kerana kerajaan berjaya mewujudkan ‘Bandar Melayu’ seperti Shah Alam, Bangi dan Putrajaya. Kejayaan ini tidaklah boleh dibanggakan sangat kerana ia kuasa perancangan bandar baharu yang ada pada ‘tangan orang Melayu” dan “lainlah kalau kita boleh jadikan (transform) tempat seperti Cheras, Puchong, Serdang dan Petaling Jaya sebagai ‘Bandar Melayu.”

Dan Dr. Mahathir turut mengingatkan orang Melayu bahawa mereka juga perlu bergerak untuk mengadakan ‘Strategi Budaya’ yang menjuruskan kepada kemampuan Melayu tanpa kuasa politik.

Sambil menyifatkan ‘budaya’ itu sebagai ‘nilai’ dan ‘cara hidup’, orang Melayu selama ini ‘membudayakan kehidupan’ yang berdasarkan kuasa politik berada di tangan mereka.

Harapan Tumpang lalu mahu melihat Mara kekal dengan status quonya. Segalanya terpulang kepada kerajaan hari ini. Dan ak­hirnya berserah kepada-Nya.