Pelantikan peguam yang juga bekas anggota kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bukan sahaja menimbulkan kontroversi tetapi membuatkan sambutan hari raya segelintir pemimpin politik dan masyarakat umum sedikit terencat.

Isu ini begitu mewarnai suasana hari raya malah menjadi topik hangat setiap kali bertandang ke rumah saudara mara dan sahabat handai. Dah kenapa Tun Dr. Mahathir Mohamad lantik orang luar jadi ketua pesuruhjaya, dah tak ada penjawat awam sesuai ke?

Atau nampak gayanya kita semua kena kencing lagi sekali? Itu antara persoalan cepu emas yang berlegar setiap kali berjalan raya minggu lalu.

Nampaknya kisah politik begitu terbawa-bawa sehingga di depan hidangan. Tak lengkap nampaknya raya tanpa “membawang” kisah politik terutama pelantikan Latheefa Koya sebagai orang besar SPRM.

Namun bukan Dr. Mahathir namanya kalau tidak mencetuskan kontroversi, mungkin kerana tempoh khidmatnya dikatakan sudah semakin ke penghujung, beliau amat serius mahu hapus rasuah. Mungkin...

Kali ini bukan sahaja pembangkang yang menghentam pelantikan Latheefa Koya, malah secara “berjemaah” sekutu mereka dalam Pakatan Harapan (PH) turut sama mengambil peluang menyatakan ketidakpuasan hati mengenai pelantikan yang dikatakan menimbulkan curiga dan prasangka sesama mereka.

Baik orang kuat DAP mahupun PKR tanpa berselindung berkata ini tidak sepatutnya terjadi dengan menggunakan pelbagai alasan. Malah menyifatkan tindakan Dr. Mahathir ini kebangkitan semula diktator yang selama setahun ini umpama hanya memendam rasa.

Ketahanan
 Namun secara peribadi saya kagum dengan sikap dan ketenangan Latheefa Koya dalam berhadapan kontroversi ini. Beliau bukan sahaja wanita pertama memimpin SPRM, tetapi ketenangannya dalam berhadapan kritikan dan kelancangan orang yang bercakap buruk terhadapnya bagi saya perlu dihormati.

Beliau tidak cepat melatah apatah lagi menari mengikut rentak pihak yang tidak bersetuju dengan pelantikannya. Latheefa Koya tetap tenang menjalankan tugas, mungkin kerana sudah menyangka hal sebegini akan berlaku dan telah bersedia untuk berhadapan tekanan dan asakan yang mahu menjatuhkan beliau.

Apatah lagi dengan sokongan padu Perdana Menteri yang tetap tegas dengan keputusan dan tidak akan mengubah pendirian.

Mungkin pengalaman Latheefa Koya berjuang dalam Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang sangat dikenali dengan keberanian dan ketegasan berhaluan kiri banyak membentuk keperibadian dan ketahanan beliau dalam berhadapan kecaman dan serangan yang adakalanya tidak masuk akal.

Dalam hal ini sememangnya tidak ada isu besar pun selain orang melihat Dr. Mahathir sekali lagi bersikap keras kepala tidak mahu berunding dengan sesiapa.

Namun hakikatnya tindakan Dr. Mahathir ini tidak melanggar undang-undang, kalau ada kekesalan pun mungkin dalam kalangan penjawat awam yang terpaksa menelan air liur atas pelantikan Latheefa Koya itu.

Tetapi seperti yang dinyatakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, setakat ini Dr. Mahathir tidak melanggar undang-undang kerana tidak berunding dengan Kabinet mahupun Jawatankuasa Khas Parlimen.

Tanpa kompromi

Oleh itu jika benar ramai tidak berpuas hati dengan pemilihan Perdana Menteri itu maka perlulah dilakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan seandainya badan perundangan mahu mengehadkan kuasa Perdana Menteri daripada membuat lantikan unilateral khasnya jawatan utama kerajaan.

Apatah lagi jika alasan tidak selari dengan janji-janji yang dibuat PH dalam manifesto pilihan raya umum lepas terutama yang melibatkan SPRM perlu melapor kepada Parlimen dan bukan lagi Perdana Menteri, ia kedengaran agak lucu serta dangkal bunyinya.

Ini kerana banyak lagi janji dalam manifesto yang kelihatan muluk bunyinya dan membuatkan ramai pengundi terpesona seperti menghapuskan PTPTN, pendidikan dan tol percuma serta banyak lagi yang hingga sekarang belum nampak bayang ia akan dilaksanakan.

Tetapi dalam hal pelantikan Latheefa Koya ini mereka boleh pula bercakap soal janji dan integriti. Padahal ia tidak memberi kesan pun kepada rakyat terbanyak kecuali perasuah, bukan seperti janji manifesto yang jika dilaksanakan mampu melegakan semua orang.

Oleh itu seharusnya semua pihak perlu bertenang dalam soal pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM ini dan memberi ruang seluas-luasnya kepada Latheefa Koya menjalankan tugas dan amanah yang diberikan. Bagi saya buatlah kerja sebaik mungkin walaupun akan berdepan kontroversi demi kontroversi selepas ini.

Adalah sangat diharapkan beliau akan melakukan tugas tanpa memilih bulu terhadap semua pihak yang terlibat dalam rasuah, baik pembangkang mahupun kerajaan, atau ikan jerung dan ikan bilis tanpa kompromi.

Rakyat sebenarnya sudah muak dengan hal-hal rasuah yang sudah terlalu membarah di negara ini dan sampai ke tahap merosakkan hampir di semua peringkat.

Jalankan amanah ini demi menyelamatkan maruah agama, bangsa dan negara dan biarkanlah mereka yang tidak bersetuju ini yang kita boleh umpamakan seperti anjing menyalak bukit tetapi bukit takkan runtuh.