Baru-baru, Ketua Pegawai Eksekutif Integriti, Datuk Anis Yusal Yusoff mem­beritahu bahawa satu rang undang-undang derma dan per­belanjaan politik akan dise­rahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Katanya, satu jawatankuasa pe­nggubalan draf undang-undang itu telah bermesyuarat selepas mendapat lampu hijau dari jemaah menteri. Kesemua 32 perakuan yang di­kemukakan oleh Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan mengenai Kewa­ngan Politik (National Consultative Committee on Political Finan­cing) akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Sehubungan itu, Institut Integriti membuat pertemuan dengan semua wakil parti politik di negara ini untuk menjelaskan undang-undang yang sedang digubal ini. Antara peruntukan penting yang akan dimasukkan adalah mewujudkan jawatan pengawal, yang akan dikawal selia oleh satu lembaga dianggotai oleh individu bukan dalam kalangan ahli politik.

Selain itu, segala derma kepada parti politik perlu dimasukkan dalam akaun bank dan penerima derma itu hendaklah menyerahkan satu kenyataan kewangan yang diaudit kepada pengawal sebelum 30 Jun pada setiap tahun.

Rang undang-undang ini kha­barnya tidak meletakkan apa-apa had kepada amaun derma yang boleh diterima oleh parti politik, tetapi setiap derma me­lebihi RM3,000 atau jumlah derma setahun melebihi RM3,000 dari sumber sama hendaklah dimaklumkan kepada Pengawal. Derma dalam bentuk wang dari sumber luar negara adalah diharamkan.

Berbeza dengan Malaysia, Singapura menguatkuasakan Akta Der­­ma Politik serta peraturannya mulai 15 Februari 2001, iaitu lebih 16 tahun lalu. Akta itu ­mengharamkan derma wang dari luar negara, dan menghalang parti politik serta calon mereka menerima apa-apa derma politik kecuali daripada penderma yang diizinkan, manakala ­penderma anonymous (identiti mereka di­rahsiakan) tidak boleh menderma lebih daripada S$5,000 dalam satu-satu tempoh laporan.

Selain itu, undang-undang di Singapura mewajibkan setiap parti politik, setiap orang yang ingin menjadi calon parti dalam pilihan raya, dan penderma yang menderma melebihi S$10,000 dalam setahun, membuat laporan kepada Pendaftar Derma Politik.

Di United Kingdom (UK), undang-undang mengenai derma politik terkandung dalam Political Parties, Elections and Refe­rendums Act 2000 (PPERA). Di bawah undang-undang ini, setiap penerima derma politik melebihi £1,000 daripada penderma yang diizinkan mesti melaporkannya, manakala derma bernilai lebih dari £200 dari sumber yang tidak dikenal pasti atau dari penderma yang tidak diizinkan mestilah juga dilaporkan. Istilah penderma yang diizinkan bermaksud individu yang didaftarkan sebagai pemilih di UK dan syarikat yang didaftarkan di negara itu.

Di Amerika Syarikat, undang-undangnya Federal Election Campaign Act (FECA) mengharamkan mana-mana warga asing memberi derma, sumbangan atau dana berhubung apa-apa pilihan raya di peringkat pusat, negeri atau tempatan, secara langsung atau tidak langsung.

Di British Columbia, Kanada, tidak ada undang-undang di pro­vinsi itu yang menghalang atau mengharamkan derma politik dari mana-mana syarikat, kesatuan atau sumber luar negara, dan tidak ada had jumlah yang boleh didermakan oleh mana-mana pi­hak. Walau bagaimanapun, ada­lah satu kesalahan menerima derma politik dari satu sumber yang identitinya dirahsiakan.

Di Jepun, sejarah silamnya (skandal rasuah 1988-1993) ­me­­­nunjukkan undang-undang der­ma politik berkait rapat dengan integriti serta jangka hayat sebuah kerajaan. Setelah memerintah selama 38 tahun, kerajaan pimpinan Liberal Democratic Party (LDP) tumbang.

Kerajaan yang mengambil alih menjalankan pembaharuan termasuklah mengharamkan semua derma politik dalam masa lima tahun (iaitu mulai 1 Januari 2000). Sementara itu, pada 1994 satu undang-undang Political Funds Control Law (Seiji Shikin Kiseiho) dikuatkuasakan untuk menjadikan aliran derma politik di negara itu lebih telus lagi.

Sejarah LDP tidak sama de­ngan sejarah Barisan Nasional (BN), tetapi ini tidak bermakna pe­mimpin kita tidak boleh me­ngambil iktibar daripadanya.

Mengikut satu kajian melibatkan undang-undang isu ini di 180 negara oleh International Institute for Democracy and Electoral Assistance (IDEA), derma politik oleh sektor korporat diharamkan di 39 negara termasuk Mexico, Pe­rancis dan Costa Rica, manakala 126 negara lain membenarkannya tetapi tertakluk kepada beberapa syarat dan sekatan, termasuklah UK, Jerman dan Argentina.

Analisis ringkas ini menunjukkan kedudukan undang-undang derma politik berbeza-beza antara banyak negara. Setiap negara memilih acuannya sendiri. Malaysia nampak­nya kini mahu mewujudkan undang-undang khas mengenai isu ini. Semoga apa yang hendak dilaksanakan ini akan membawa kebaikan yang berkekalan kepada kita semua.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Pro­fesor Tamu Universiti Teknologi Ma­­laysia (UTM) Skudai, Johor.