Sistem pendidikan negara yang semakin baik me­ngubah paradigma masyarakat moden menjadi lebih inovatif, kreatif, segar dan berani melontarkan sebarang idea serta mencabar idea-idea yang sedang dilaksanakan tetapi tidak secocok dengan kemodenan masyarakat Malaysia.

Misalnya, apabila ada segelintir pihak hotel tidak membenarkan pekerjanya memakai tudung. Ini satu bentuk idea yang dicabar oleh masyarakat moden kini kerana jauh menyimpang daripada norma masyarakat sejahtera. Manakan tidak, pemakaian tudung tidak langsung mengganggu pekerjaan dalam bidang perhotelan. Tambahan pula, tiada hujah yang kuat tentang pengharaman pemakaian tudung dalam kalangan pekerja hotel. Sebaliknya, pemakaian tudung wajar dibenarkan dalam apa jua sektor pekerjaan di negara ini termasuklah melibatkan industri perhotelan.

Bentuk diskriminasi sebegini hanya menunjukkan betapa kolotnya sistem yang dikatakan moden dan antarabangsa yang dijaja oleh Barat. Bahkan, diskriminasi ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuklah dalam hal pengambilan pekerja berasaskan kaum yang terang-terangan jauh daripada tuntutan keadilan masyarakat moden pada masa kini. Apa sahaja bentuk diskriminasi perlu ditentang habis-habisan kerana ini akan merosakkan ekosistem kondusif yang ingin dicapai dan dirasai oleh masyarakat.

Masyarakat moden pada masa kini inginkan kehidupan ekosistem yang kondusif yang tidak bercanggah dengan agama dan budaya mereka. Paling utama, meletakkan kepentingan agama melebihi segala-galanya termasuklah kepentingan diri sendiri. Ekosistem yang kondusif mustahil dapat dicapai jika kepentingan diri diutamakan, misalnya dalam bidang hartanah, pembinaan rumah yang mahal dan mewah oleh pemain sektor berkenaan diberikan penekanan ekoran dapat memberi pulangan tinggi kepada pemegang saham syarikat-syarikat tersebut.

Mentaliti dan tindakan sebeginilah yang sering merosakkan kehidupan manusia sejagat. Yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin hanyut dengan kemiskinan mereka meskipun cuba dibantu. Mana mungkin mereka ini dapat menjalani kehidupan yang sejahtera dalam ekosistem yang kondusif jika ketamakan golongan kaya ini menenggelamkan usaha untuk membantu golongan miskin. Sistem Barat terang-terangan telah merosakkan kehidupan manusia sejagat dek kerana ketaksuban pemikiran liberalisme dan kebebasan tanpa ada hadnya.

Ditambah pula, amalan menitikberatkan kekayaan pemegang saham telah dan sedang merosakkan kehidupan masyarakat dunia.

Mereka menjual idea yang hanya menguntungkan mereka seperti terhadnya sumber alam, walhal sumber alam seperti tanah mencukupi untuk digunakan oleh manusia dan makhluk ciptaan-Nya.

Allah SWT mencipta alam ini untuk dihuni oleh makhluk ciptaan-Nya, maka sudah tentulah sumber yang disediakan-Nya mencukupi untuk semua. Malangnya, Barat menjaja seolah-olah sumber seperti tanah terhad dan tidak mencukupi. Apa yang sebenarnya tidak mencukupi adalah nafsu manusia itu sendiri. Nafsu inilah yang perlu dihadkan atau dibataskan.

Natijahnya, mereka mula bercakap tentang tanggungjawab sosial walhal dari awal lagi mereka tidak melaksanakan tanggungjawab sebenar terhadap masyarakat secara keseluruhannya. Tanggungjawab sosial mereka hanyalah sekadar menutup pelbagai kelemahan yang telah dilakukan oleh mereka.

Mengenakan pelbagai penindasan sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti melaksanakan sistem kewangan yang hanya menguntungkan mereka telah jelas merosakkan ekosistem kondusif yang didambakan masyarakat dunia. Selepas pelbagai skandal kewangan dan keruntuhan ekonomi yang terkena batang hidung mereka, barulah mereka bercakap tentang kesejahteraan masyarakat.

Itu pun hanya setelah mereka mengaut kekayaan yang begitu lumayan dan berlagak menjadi seolah-olah hero kepada masyarakat dunia dengan menjamukan apa yang kononnya bukti bahawa mereka telah melaksanakan tanggungjawab terhadap masyarakat. Kita tidak wajar terikut-ikut dengan cara mereka. Jauh sekali lebih teruk daripada itu.

Misalnya, selepas menggondolkan alam sekitar dengan hujah pembangunan dan kemajuan, kini mereka cuba menjadi juara alam sekitar dengan pelbagai idea yang sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Usah kita menjadi seperti mereka. Menjadi juara pembangunan dan kemajuan tetapi pada masa yang sama merosakkan ekosistem alam sekitar yang kondusif yang diwarisi oleh nenek moyang kita.

Usah sesekali lupa bahawa dunia dan bumi ini bukan hanya untuk didiami oleh segelintir manusia sahaja. Bumi ini untuk keseluruhan makhluk ciptaan-Nya. Justeru, berusahalah menuju ekosistem yang kondusif berasaskan kerangka kehidupan yang dituntut oleh agama Islam.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).