Tidak ketinggalan, majlis rumah terbuka termasuk di pejabat. Setiap hujung minggu, ada sahaja jemputan. Bagi agensi kerajaan atau syarikat swasta, hari-hari biasa atau hari bekerja menjadi pilihan sementara untuk Jumaat, Sabtu dan Ahad, kebanyakannya dianjurkan oleh individu. Di rumah terbuka, pelbagai juadah disediakan, ada yang ‘ringan’ dan ada yang ‘berat’. Suasana sambut­an bertambah meriah apabila ada juga yang mengambil kesempat­an mengadakan majlis kenduri kahwin seawal minggu pertama Syawal. Setiap minggu pada hari cuti ada sahaja majlis kenduri yang dilangsungkan. Sabtu lalu, saya menerima empat undangan untuk majlis kahwin. Itu belum dikira lagi majlis rumah terbuka yang dijangka semakin rancak pada minggu ini.

Menghadiri majlis-majlis ini, apakah hidangan wajib yang disediakan? Selain nasi, sudah menjadi lumrah di kebanyakan majlis kenduri kahwin akan ada menu tambahan. Suasana ini sudah dapat dilihat di kampung-kampung yang semakin ‘maju’. Selain menu utama nasi yang lauknya sudah pasti ayam, daging dan ikan, beberapa menu tambahan disediakan. Paling kurang dua jenis. Menu tambahan itu seperti laksa, mi rebus, bubur, bihun sup, kambing golek serta kuih muih yang semuanya manis. Minuman juga pelbagai, akan ada teh tarik, cendol, air batu campur dan pelbagai lagi. Menyelak kembali menu berkenaan, adakah apa yang dihidangkan semasa majlis rumah terbuka atau kenduri kahwin itu dapat mendidik masyarakat mengurangkan penyakit? Dalam erti kata lain, adakah ia menu yang sihat?

Lebih malang lagi, apabila berlaku keracunan makanan yang mungkin berpunca daripada ama­l­an pengendalian makanan.

Menyedari peningkatan mendadak kes keracunan ini, Kementerian Kesihatan telah menasihatkan orang awam supaya sentiasa peka dengan keselamatan makanan sama ada yang disediakan untuk tetamu atau yang mereka makan di majlis-majlis hari raya. Selain amalan pengendalian makanan yang bersih, para tetamu pula perlu mengamalkan kaedah “lihat, hidu dan rasa” sebelum menjamah makanan.

Sambil meraikan pelbagai makanan, kita harus menjadi pengguna yang bijak dengan mengutamakan kesihatan, kebersihan, dan keselamatan makanan sebelum menikmati juadah raya.Di samping menjaga kesihatan, perhatian juga harus diberi supaya pembaziran dapat dielakkan ketika menyediakan makanan. Jangan asal teringat sahaja, semua menu mahu disediakan sehingga juadah berlebihan. Bijaklah memilih menu, cukup satu atau dua menu yang berat serta menu ringan atau pencuci mulut. Buatlah anggaran yang betul supaya tidak terlebih ketika menyediakannya.

Ingatlah bukan kita seorang yang mengadakan rumah terbuka kerana ada orang lain juga berbuat demikian sehingga tetamu yang sama kekenyangan. Tetamu sekadar datang ‘menunjuk muka’ dan minum tanpa makan akibat kekenyangan. Akhirnya, banyak makanan dibazirkan disebabkan sikap boros ketika memasak tanpa mengambil kira jumlah tetamu yang bakal datang. Mungkin lebih baik masak secara berperingkat dengan melihat suasana. Langkah itu dapat mengelakkan pembaziran dan makanan tidak basi begitu sahaja.

Pembaziran juga dapat dielak­kan jika acara rumah terbuka ini dibuat secara berkongsi sama ada adik beradik, rakan sepejabat atau jiran tetangga. Begitu juga amalan membawa juadah atau potluck. Bercakap mengenai pembaziran, kerajaan khususnya kementerian boleh menjadi contoh untuk memastikan sambutan rumah terbuka tidak membazir dan mematuhi kempen MYSaveFood yang dilancarkan tidak lama dulu.

Menyelak kembali kempen yang dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Dr. Ali Hamsa, beliau mengarahkan supaya semua jamuan yang dianjurkan di peringkat kementerian dan jabatan kerajaan tidak menyediakan makanan secara berlebihan. Langkah itu menurutnya ber­upaya mendidik penjawat awam menghargai makanan dengan tidak membuang hidangan yang masih boleh dimakan.

Menurut arahan itu, jamuan mesyuarat yang diadakan bertukar kepada nasi bungkus, tidak lagi konsep bufet. Walaupun arahan itu tidak sesuai dengan jamuan rumah terbuka hari raya tetapi lakukanlah sesuatu untuk dijadikan contoh supaya penjimatan dapat dilakukan di samping mengutama­kan makanan sihat demi penja­gaan kesihatan. Contohnya minuman. Adakah kerana hari raya, teh tarik misalnya menjadi kemestian? Gunakan jamuan hari terbuka ini untuk mendidik tetamu supaya mengamalkan pemakanan yang sihat sambil memupuk sikap berjimat. Biarlah, jabatan kerajaan menjadi contoh kepada orang lain. Mungkin bagi kementerian yang bakal mengadakan rumah terbuka dapat menyajikan menu sihat untuk tetamu mereka atau mencari kaedah supaya pengambilan makanan mengikut jumlah kalori (kcal) yang ditetapkan.

Pernah satu ketika, semasa majlis rumah terbuka anjuran Kementerian Kesihatan, setiap makanan diletakkan jumlah kcal di samping makanan sihat. Malangnya, ramai tidak peduli angka-angka kcal yang menggerunkan apabila dibaca. Makanan sihat pula kurang sambutan! Akhirnya makanlah ikut selera tetapi biar berpada.

Apa pun, kempen MYSaveFood perlu dilaksanakan secara berkesan dengan hasrat mencapai matlamat Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan separuh pembaziran makanan menjelang 2030. Malaysia kini berhadapan masalah pembaziran makanan apabila 3,000 tan matrik makanan bernilai RM6 juta yang masih elok dibuang di tapak pelupusan sampah setiap hari.

Ingatlah ketika kita melakukan pembaziran, masih ramai yang tidak mendapat makanan secukup­nya. Akhirnya, jangan dilupakan anak-anak yatim, orang tua dan mereka yang kurang berkemampuan yang telah kita santuni sepanjang Ramadan lalu. Mereka jangan dilupakan sebaik sahaja Ramadan melabuhkan tirainya. Sepanjang Ramadan, bantuan mencurah-curah termasuk mengadakan jamuan berbuka puasa di hotel di samping sumbangan pakaian, makanan dan duit raya. Jangan biarkan anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan sumbangan ini ternanti-nanti sehingga Ramadan akan datang untuk disantuni semula.