Menteri Luar Bangladesh, A.H Mahmood Ali mengadakan perbincangan di Dhaka dengan wakil pemimpin awam Myanmar, Aung San Suu Kyi dan berkata kedua-dua negara telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelaraskan penghantaran pulang etnik Rohingya.

“Kedua-dua belah pihak bersetuju membuat cadangan untuk membentuk kumpulan kerja bersama bagi menyelaraskan proses penghantaran pulang,” kata menteri itu kepada pemberita selepas bertemu Menteri Pejabat Kaunselor Myanmar, Kyaw Tint Swe di Dhaka.

Menteri Luar Bangladesh itu tidak memberi tempoh masa untuk penghantaran pulang dan tidak mengatakan sama ada Myanmar juga akan mengambil 300,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh dalam siri keganasan sebelum ini.

Beliau berkata pelarian akan disahkan oleh kumpulan kerja bersama, namun PBB tidak terlibat.

“Bangladesh telah mencadangkan perjanjian dua hala (dengan Myanmar) untuk membantu melaksanakan penghantaran pulang,” katanya.

Masih tidak jelas di mana etnik Rohingya akan tinggal jika mereka kembali ke Myanmar selepas kebanyakan kampung mereka telah dibakar dalam operasi ketenteraan yang disifatkan sebagai penghapusan etnik itu.- AFP