ANTARA menteri, timbalan menteri dan wakil pembangkang yang aktif dalam sidang Dewan Rakyat penggal
ANTARA menteri, timbalan menteri dan wakil pembangkang yang aktif dalam sidang Dewan Rakyat penggal pertama dari 16 Julai hingga 16 Ogos tahun lalu. Dari kiri atas, Yeo Bee Yin (PH-Bakri), Zuraida Kamaruddin (PH-Ampang), Hannah Yeoh (PH-Segambut), Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam).

Jangka masanya 20 hari. Tidak lama. Tumpang berharap tidak ada lagi menteri atau timbalan menteri yang gagal hadir untuk menjawab soalan lisan di Parlimen seperti mana sesi Julai/Ogos dan Oktober tahun lepas.

Ketika itu macam-macam gelagat kurang enak dicetuskan menteri dan timbalan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14. Antara ‘aksi menarik’, soalan sampai ke-13 tiada wakil kementerian yang jawab.

Terkena tempias itu antaranya Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong yang menegur “walaupun ada menteri tak sihat tapi sekurang-kurangnya mesti ada kelibat timbalan menteri menjawab soalan”.

Kegagalan menteri dan timbalan mereka ke Parlimen pernah ditegur Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 23 Julai tahun lepas. Beliau tak puas hati.

Tapi, wal hasil balik asal. Keesokannya, 24 Julai sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya disambung semula selepas waktu rehat pukul 2.30 petang terpaksa ditangguhkan sebentar kerana tidak cukup korum.

Kehadiran dalam sidang dewan penting untuk membantu menteri menjawab dan menangkis isu-isu melibatkan kerajaan.

Sudah sepatutnya Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk mengukur prestasi menteri dan timbalan menteri menjalankan tugas di Parlimen diperkenalkan.

Ini lebih-lebih lagi dalam senario semasa hari ini yang mana rakyat dahagakan berita-berita yang sahih dan maklumat tepat daripada kerajaan untuk mereka mengharungi kehidupan termasuk kos sara hidup.

Tumpang percaya, dari hari ke hari, minggu ke minggu mendatang ini, Dewan Rakyat akan ‘berbahang’.

Bagi mana-mana ahli Parlimen, tidak kira dari kerajaan, apa lagi wakil pembangkang, mereka menyedari segala tindak tanduk dan penampilan mereka jadi perhatian.

Ini bukan sahaja dari lensa jurugambar dan pemberita tetapi juga mata yang mengisi galeri awam dalam dewan.

Bahagian komunikasi korporat Parlimen pernah merekod kehadiran orang awam ke Parlimen dalam setahun mencecah 30,000 orang.

Selain pemberita, para pegawai kementerian-kementerian tidak menang tangan. Mereka perlu mengambil dan membuat laporan sesi perbahasan, permohonan peruntukan dan isu berkaitan kementerian masing-masing dalam soal jawab.

Purata sesebuah kementerian menghantar lapan hingga 10 pegawai untuk bertugas di Parlimen semasa sidang kedua-dua dewan. Kalau 25 kementerian, sudah berapa? Hampir 250 orang.

Bahkan, bajet kerajaan yang diperuntuk pada Parlimen bukannya sedikit. Tumpang difahamkan, anggaran kos perbelanjaan untuk setahun bersidang sahaja mencecah RM30 juta.

Ini merangkumi bayaran elaun perjalanan dan sara hidup Ahli-Ahli Dewan, sewaan, kos utiliti, pengangkutan barang-barang, penyelenggaraan, bahan makanan dan minuman, bekalan bahan mentah juga perkhidmatan dan hospitaliti.

Begitupun yang pasti, sidang Dewan Rakyat kali ini akan makin ‘berapi’ sejak kerajaan Barisan Nasional (BN)tumbang 9 Mei tahun lalu.

Bagi penyokong kerajaan, sebilangan mereka perlu pantas merungkai persoalan dilontar pembangkang.

Lazimnya, menteri adalah suatu istilah seni untuk menggambarkan pegawai-pegawai kanan yang mengetuai kementerian dan jabatan dalam lingkungan kerajaan yang luas.

Kalau semasa zaman Kesultanan Melaka lagi (jauh Tumpang mengimbau), menteri sebahagian dari anggota majlis eksekutif Sultan. 
 Disebabkan waktu itu tiada pilihan raya, kelayakan mereka tertakluk kepada keperibadian yang meyakinkan Sultan dari aspek kebijaksanaan dan kewibawaan.

Sejarah Melayu sering menggunakan pantun berikut untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik, termasuklah kalau sekarang Ahli Parlimen:

Kalau mencari tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.