Masa dulu-dulu adalah satu dua kali bertemu beliau sekitar tahun 90-an. Waktu itu jiwa sentiasa bergelora mahu scoop wartawan akhbar-akhbar saingan. Maka sekali dua adalah kelibat Daim dalam exclusive story .

Kini Daim adalah Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan di luar Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bila Daim pada Khamis lepas tiba-tiba membuat kenyataan yang sudah lama ditunggu-tunggu ramai - minta henti salahkan kerajaan yang lepas, dengan Kerajaan Pakatan Harapan harus tumpukan usaha tunaikan janji - Tumpang lalu fikir ada sebab mengapa ia diluahkan.

Ya, sudah enam bulan pilihan raya umum ke-14 berlalu, maka elok sangatlah blame game ini dihentikan.

Daim bukan membuat ‘pusingan 360 darjah’. Bagi seorang penjangka tepat keputusan pilihan raya umum 2008, 2013 dan terakhir 2018, beliau barangkali ‘sudah naik berbulu di mata’ memerhati, mendengar kerenah, gelagat dan prestasi menteri-menteri muda yang ‘baru setahun jagung’ ini.

Agaknya depa ini ambil masa lama sangat untuk belajar. Mungkin ‘terkejut’ dengan jawatan yang dijinjing. Tiba-tiba sahaja naik business class, bukan economy class. Meloncat masuk tingkap, bukan pintu, mana tak ‘terkejutnya’.

Sudah tentu KPI menteri-menteri kerajaan ini tidak terduga oleh bukan sahaja Daim, tetapi Dr. Mahathir sendiri.

Seingat Tumpang lalu lah, sudah dua kali Dr. Mahathir meluahkan isi hati serupa.

Pertama, pada 24 Ogos lalu ketika menegaskan mengapa khidmat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang diketuai Daim masih diperlukan.

“Saya perlu bekerja dengan cepat dan saya perlukan seseorang yang berpengalaman untuk menyusun sesuatu tugas.

“Menteri baharu tidak berapa tahu mengenai tanggungjawab dalam setiap kementerian. Mereka masih tercari-cari jalan dan mereka tidak boleh melakukan banyak siasatan,” sambil Dr. Mahathir memperakui mereka yang meng­anggotai CEP mempunyai banyak pengalaman untuk menyelesaikan pelbagai isu penting.

Dan kali kedua awal September lepas yang turut dilihat dalam soal prestasi Kabinetnya dengan menekankan keperluan bertindak dalam tempoh masa yang pantas.

“Saya tidak pernah berpuas hati. Saya kalau boleh hendak buat (apa-apa tindakan) kelmarin, bukan hari ini,” kata negarawan berusia 93 tahun itu.

Peringatan dua kali itu sudah dua bulan berlalu. Dan 8 November lalu disusul pula oleh Daim.

Kadang-kala bila Tumpang lalu duduk fikirkan sejenak apa yang ‘dibuat’ oleh menteri-menteri baharu ini, timbul rasa pelik dan kecewa.

Sepatutnya bila baru naik jawatan menteri, tidak perlulah buat kenyataan seperti ‘mengugut’ Naib-naib Canselor hingga ke Timbalan Naib Canselor universiti awam yang kononnya pro kerajaan terdahulu supaya meletak jawatan.

Betulkah tanggapan itu? Ada bukti, faktanya sekalikah? Apa salahnya pentadbir universiti masih berkomunikasi dengan bekas menteri?

Keterbukaan, bersikap rendah diri serta mendekati mereka ini dalam kalangan cendekiawan perlu diutamakan. Bukankah keterbukaan adalah kekuatan?

Portfolio-portfolio di Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (sekadar menyebut beberapa nama) sentiasa menjadi perhatian rakyat saban hari.

Tidak hairanlah sampai portfolio Menteri Pendidikan suatu ketika pun disandang sekejap oleh Dr. Mahathir sendiri sebelum dengan tenang dan bersahaja beliau pantas melepaskannya bila berlaku ‘pelanggaran’ manifesto.

Keputusan-keputusan yang di­buat oleh Kabinet memberi kesan ke atas kehidupan rakyat. Itu sebab utama Dr. Mahathir sampai dua kali mengingatkan barisan anggota Kabinetnya.

Tidak puas hati bukan bermakna Kabinet sedia ada lemah. Cuma Dr. Mahathir dan Daim mahu menjadi pengingat - untuk menge­lakkan sebilangan mereka yang berada dalam Kabinet tidak alpa setelah kuasa berada dalam tangan.

Orang lama kaya pengalaman seperti Tan Sri Dr. Rais Yatim yang berkhidmat dan bekerja di bawah enam Perdana Menteri pun sebut hal sama pasal fiil menteri-menteri baharu ini. Ego agak tinggi. Panggilan telefon dan surat tidak berjawab - sampaikan Datuk A. Kadir Jasin mahu mereka ‘disekolahkan’ lah.

Apa pun, pastikan KPI pentadbiran kerajaan efisien. Mampu elakkan perut rakyat ‘kosong atau berkeroncong’.

Kalau tidak, risikonya pasti Pakatan Harapan ‘melayang’.