Daripada jumlah itu seramai 356,411 bekas pelatih telah menyertai Briged Sukarelawan Khidmat Negara. Program ini menggunakan gabungan modul latihan ketenteraan dan modul penerapan nilai-nilai perpaduan dan kewatanan dalam diri golo­ngan belia.

Menariknya PLKN berbeza dengan program kerahan tenaga yang dijalankan oleh beberapa buah negara lain kerana menggunakan acuan dan pendekatan sendiri dengan mengambil kira latar belakang sosiobudaya masyarakat Malaysia. Kejayaan program ini memikat hati dan mendorong beberapa buah negara lain seperti Brunei untuk turut sama mengguna pakai model yang serupa untuk pembangunan golongan belia di negara itu.

Para pelatih terpilih akan menjalani latihan menggunakan beberapa modul seperti modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dah khidmat komuniti. Menerusi modul berkenaan, golongan belia dan remaja dapat membina kemahiran, ketahanan mental, fizikal, emosi dan spi­ritual selain memperoleh pe­ngetahuan tentang kenegaraan, pembinaan negara bangsa dan meningkatkan rasa cinta dan sa­yang kepada pertiwi.

Pada masa yang sama golo­ngan remaja dan belia juga dapat membina perwatakan diri, keluarga di samping memperkukuhkan ciri-ciri kesukarelawan dan jati diri. Bagaimanapun baru-baru ini mula timbul desakan agar program tersebut dimansuhkan semata-mata kerana perkara itu terkandung dalam manifesto pilihan raya kerajaan baharu. Oleh kerana itu adalah satu janji dalam kempen pilihan raya, kerajaan baharu perlu mengotakan janji tersebut yang menyifatkan PLKN sebagai membazir dan menjadi alat kerajaan sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sewaktu menjawab soalan di Dewan Rakyat memberitahu, kerajaan membelanjakan RM8.43 bilion bagi pelaksanaan PLKN sejak dimulakan pada 2004. Menurutnya, perbelanjaan ter­tinggi iaitu 43 peratus adalah untuk penyewaan kem-kem latihan.

Memang PLKN diwujudkan oleh kerajaan terdahulu tetapi objektif dan matlamatnya murni iaitu untuk melahirkan golongan rakyat yang tinggi semangat kewatanan, ada jati diri, cekal, tahan lasak dan cintakan perpaduan. Selama 14 tahun program itu berjalan, tidak ada sesiapa dapat menafikan faedah dan keberkesanan program tersebut.

Menurut Jabatan Latihan Khid­mat Negara (JLKN), seba­nyak 82 peratus remaja memiliki semangat patriotisme yang tinggi selepas tamat menjalani program tersebut. Pelbagai kajian yang dijalankan oleh institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan membuktikan modul-modul yang diperkenalkan itu berkesan dalam memupuk nilai-nilai yang baik dalam jiwa kala­ngan belia.

Program apa-apa pun sudah pasti ada sedikit kekurangan dan kecacatan tersendiri apatah lagi jika dilaksanakan dalam skala besar dan menelan perbelanjaan tinggi. Bagaimanapun segala kelemahan itu tidak patut dijadikan alasan untuk menghentikan terus program yang dapat memberi faedah jangka panjang kepada pembangunan negara bangsa Malaysia. Kelemahan mungkin dilihat dari sudut kewangan dan kebendaan semata-mata dan bukannya secara menyeluruh. Desakan sedemikian juga mungkin dibuat kerana sudah ‘terperangkap’ dengan janji sepanjang kempen pilihan raya.

Pemansuhan program ini pasti memberi kesan besar kepada banyak pihak terutama pengendali kem, kontraktor, vendor dan banyak pihak lagi.

Penangguhan yang di­umumkan sebelum ini pun su­dah memberi kesan besar kepada mereka. Ada yang disenarai hitam dan diisytihar bankrap oleh institusi kewangan kerana masalah pembayaran balik pinjaman. Sebahagian besar yang terjejas adalah kontraktor dan vendor kecil.

Kenyataan Mohamad Sabu bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai semula keberkesanan dan im­plikasi penutupan program itu sesuatu yang patut dipuji. Satu kajian terperinci boleh dilakukan terutama kejayaan besar program ini dalam melahirkan golongan belia dan rakyat yang bersatu padu dan mempunyai jati diri tinggi. Apa yang penting ialah menambah baik segala kelemahan dan kekurangan yang ada.

Sebagai contoh jika didapati ada unsur-unsur pembaziran, ketirisan atau perlakuan rasuah sehingga berlaku amalan monopoli dalam kontrak-kontrak program tersebut, perkara tersebut mesti dihentikan segera.

Kerajaan tidak perlu terburu-buru dalam isu ini. Kerajaan juga tidak perlu merasa berdosa mengingkari satu bab dalam manifesto pilihan raya demi meneruskan sesuatu yang baik untuk masa depan negara. Bukan sesuatu yang memalukan jika perkara baik dan bermanfaat dipertahankan.