Posting peristiwa memalukan itu mendapat pelbagai kecaman dalam kalangan netizen media sosial dan pengguna Facebook @Nyonya Harun antara yang menitipkan komen pedas berbunyi:

“Inilah bangsa tak malu dan tak boleh nak diajar. Lingkup harta awam dengan perangai pelik-pelik dan tak bertamadun macam ni, vandalisme dan buta sosial namanya!”

Komen tersebut ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa. Masakan tidak, sikap memalukan wanita itu secara tidak langsung memberi gambaran negatif bahawa umat Islam di negara ini masih bermentaliti kelas ketiga.

Mengulas peristiwa itu, ibu berseloroh berkata: “Mungkin dia nak tunjuk dalaman tren MRT luas dan sangat selesa... terasa seperti di rumah. Tak pun nak buktikan kemudahan disediakan berkualiti tinggi, kukuh dan gantung buai besi pun tak patah.”

Berkaitan larangan makan di dalam tren pula, saya teringat alasan jelik seorang teman ‘menghalalkan’ perbuatannya yang melanggar peraturan apabila berkata: “Tak apa makan, asalkan bukan burger.” Terkedu juga mende­ngar jawapannya.

Sama ada dangkal atau bergurau atau berfikir di luar kotak, saya tahu dia merujuk makanan barat itu sahaja yang dijadikan simbol makanan berdasarkan senarai perkara yang tidak boleh dilakukan penumpang ketika berada di dalam tren.

Realitinya, banyak perangai ‘meriah’ berkaitan kesusilaan rakyat di negara ini. Meninggalkan meja bersepah dengan sisa makanan berterabur bagaikan tongkang pecah antara kebiasaan yang dapat dilihat di mana-mana restoran.

Itu belum lagi terlihat benda asing terapung-apung dalam mangkuk tandas awam. Kadang-kadang terfikir, apakah perangai sama dilakukan di rumah mereka (tidak pam tandas setelah menggunakannya).

Lain-lain perbuatan mentaliti kelas ketiga rakyat Malaysia termasuklah tidak meletak semula troli pasar raya di tempat disediakan, merokok di kawasan zon larangan, membuang sampah di jalan raya, meletak kereta secara bertindih, berasak-asak masuk lif tanpa menghiraukan pengguna yang mahu keluar terlebih dahulu dan sengaja memecut laju kereta apabila nampak pejalan kaki sedang melintas.

Ironinya, majoriti rakyat kita berkata ‘jangan terikut-ikut budaya barat’ sedangkan ada sesetengah budaya positif mereka yang boleh diteladani kerana jelas mengikut tuntutan ajaran Islam.

Misalnya, di Ikea Frankfurt tidak ada pengemas meja dan tukang sapu lantai. Namun restoran tetap bersih walaupun padat dengan pengunjung. Ini kerana budaya rakyatnya yang mengemas sendiri meja setelah selesai makan.

Jika waktu puncak di Malaysia, pengunjung Ikea terpaksa berdiri lama menunggu meja kosong, di Jerman lain pula ceritanya. Sesiapa yang hampir selesai makan akan segera mempelawa anda duduk di meja yang telah mereka kemaskan. Berbeza, bukan?

Sikap bukan Islam yang lebih Islam daripada orang Muslim sendiri juga dipraktikkan rakyat Jepun ketika dilanda tsunami dahulu. Biarpun masa bencana, mereka masih tetap beradab tertib dan beratur untuk mengambil bantuan.

Di Malaysia, sikap tamak dan tak kisah ambil hak orang apabila ada yang berkemampuan tetap berlumba-lumba memohon bantuan. Mereka terbabit berasa ‘susah hati’ kalau orang lain dapat, waima bantuan bernilai celah gigi!

Sikap ‘lari’ daripada membayar hutang pinjaman belajar pun satu hal. Anggapan mereka, itu duit rakyat dan sebahagiannya adalah hak mereka. Lupakah anda bahawa membayar hutang itu hukumnya wajib dalam Islam?

Hakikatnya, sikap dan mentaliti adalah penanda aras ketamadunan. Kebimbangan besar negara sekarang untuk melaksanakan Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Mana mungkin kita mahu bermegah diri seperti rak­yat di negara maju jika mentaliti warga Malaysia masih di takuk kelas ketiga? Buku Mentaliti Jamban karya Khairul Abdullah ada memaparkan cerminan wajah sebenar rak­yat negara ini, bacalah.